CHARLOTTE, Carolina Utara - Pemain Benfica, Andreas Schjelderup, menjaringkan gol pada separuh masa pertama untuk meraih kemenangan 1-0 ke atas Bayern Munich dalam cuaca panas terik pada 24 Jun.
Ini meletakkan pasukan Portugal itu di tangga teratas Kumpulan C dalam Piala Dunia Kelab.
Selepas meraih kemenangan pertama mereka ke atas Bayern, Benfica akan menentang Chelsea atau Esperance de Tunis dalam pusingan 16 terbaik kejohanan tersebut.
Bayern, yang menduduki tempat kedua, akan berdepan pasukan Brazil dan pendahulu Kumpulan D, Flamengo, lapor The Straits Times (ST).
“Saya rasa separuh masa pertama kami tidak cukup bagus. Dengan keadaan padang (yang kurang baik) dan cuaca panas, saya memang bimbang permainan ini tidak akan berjalan lancar seperti biasa,” kata jurulatih Bayern, Vincent Kompany, kepada agensi berita DAZN.
“Beginilah bola sepak. Jika anda ada peluang tetapi tidak mengambilnya, anda perlu membayar harganya… (dengan menentang Flamengo).
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami tahu kami mampu mencipta peluang.”
Schjelderup menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-13 dengan percubaan kali pertama, hasil hantaran rendah daripada Fredrik Aursnes dari sebelah kanan, disebabkan kelemahan kawalan pertahanan Bayern.
Memandangkan Bayern sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya, barisan pemain gantiannya kelihatan tidak cukup bersemangat, dan gagal melakukan sebarang rembatan tepat ke arah gol pada separuh masa pertama yang hambar.
Juara Jerman itu menunjukkan prestasi lebih baik selepas waktu rehat, dan Joshua Kimmich hampir-hampir menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun, jaringannya dibatalkan gara-gara Harry Kane berada dalam kedudukan ofsaid, selepas minit ke-60.
Penjaga gol Benfica, Anatoliy Trubin, memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelebihan pasukannya, dengan beberapa aksi menyelamatkan gol yang pantas dan cemerlang, menggagalkan percubaan Aleksandar Pavlovic dan Leroy Sane.
“Ia satu perlawanan hebat menentang pasukan yang mengagumkan. Bukan saya seorang, tetapi seluruh pasukan ini (telah memberikan persembahan terbaik),” kata Trubin, yang dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.
“Cuaca memang sangat panas, tetapi kami tetap menunjukkan persembahan terbaik,” katanya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg