Apabila Sharjah FC menentang Lion City Sailors dalam final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 18 Mei, segala tumpuan dan harapan penyokong kelab dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) itu akan dipikul oleh seorang pemain – Caio Lucas Fernandes.
Dari Brazil ke Jepun, beliau kemudian mula menyerlah di UAE.
Pemain sayap berusia 31 tahun itu telah melalui perjalanan penuh cabaran dan kini berdiri sebagai harapan utama Sharjah untuk menjulang kejuaraan elit Asia ini.
Perlawanan ini bukan sekadar perebutan trofi, bagi Caio, ia adalah peluang untuk membuktikan beliau masih berbisa, dan masih layak berada di pentas tertinggi bola sepak.
Ketika rakan seangkatannya di Brazil mengejar peluang di Eropah, Caio berpindah ke Jepun apabila beliau berusia 17 tahun.
Beliau menempa nama bersama Kashima Antlers, sebelum berpindah ke UAE untuk menyarung jersi Al Ain pada 2016.
Di situ, beliau mula mengukir namanya, membantu Al Ain mara ke peringkat akhir Piala Dunia Kelab Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2018, menentang Real Madrid.
Real memenangi perlawanan itu 4-1.
Bayangkan, memporak-perandakan barisan pertahanan yang dipenuhi dengan bintang bola sepak di Real.
Walaupun Al Ain kalah, prestasinya dalam perlawanan itu mendapat tumpuan dan beliau dinobatkan sebagai pemenang anugerah Bola Perak, anugerah yang diberikan kepada pemain terbaik kedua dalam pertandingan tersebut.
Pemain sayap Real ketika itu, Gareth Bale, memenangi anugerah Bola Emas, sebagai pemain terbaik pertandingan.
Prestasi Caio turut menarik minat Benfica, pasukan ternama Portugal yang menandatanganinya pada 2019.
Apabila beliau kembali ke UAE bersama Sharjah FC pada 2020, ramai menyangka kerjaya bola sepaknya sudah berada di penghujungnya.
Namun hakikatnya, ia merupakan detik permulaan kebangkitan Caio.
Sejak menyarung jersi Sharjah, Caio bangkit semula sebagai pemain yang bukan sekadar bergantung pada kelajuan dan kelicikannya, bahkan bijak menggunakan pengalamannya di padang.
Musim ini, beliau menjaringkan 23 gol dan merintis lapan jaringan dalam 34 perlawanan dalam semua pertandingan – bukti beliau masih mampu merupakan ancaman besar pada barisan pertahanan lawan.
Beliau juga penuh dengan keyakinan.
“Saya sangat gembira dengan prestasi saya sekarang. Saya rasa ini boleh menjadi tahun terbaik dalam kerjaya saya dari segi jumlah gol dan bantuan jaringan,” kata beliau pada awal 2025 kepada pihak media.
Di pentas ACL2, Caio menjadi nadi serangan pasukan dengan lima gol dan tiga assist (merintis gol yang dijaringkan rakan sepasukan).
Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Cosmin Olaroiu, Caio bebas beraksi dengan gaya tersendiri – menggerakkan serangan, membuka ruang bagi rakan-rakannya yang lain, dan merobek pertahanan lawan dengan kreativiti semula jadinya.
Olaroiu, yang berasal dari Romania, mula memikul tanggungjawab sebagai jurulatih Sharjah sejak 2021, menghabiskan tiga setengah musim terakhir bersama pasukan itu.
Sebelum itu, beliau mempunyai pengalaman luas, menjadi jurulatih Al-Hilal di Arab Saudi, Al-Sadd di Qatar dan Al Ain sebelum berpindah ke China, di mana beliau memenangi kejuaraan Liga Super China bersama Jiangsu Suning pada 2020.
Kemahiran beliau turut menarik perhatian persatuan bola sepak UAE, dan beliau dilantik sebagai jurulatih kebangsaan mereka pada April 2025.
Jika Sharjah mahu menang, Caio mesti berada di tahap terbaiknya .
Caio sudah menang pelbagai kejuaraan – Liga UAE, Piala Presiden, Piala Super, dan Piala Liga, malah pernah menjulang trofi di Jepun.
Tetapi kemenangan pada 18 Mei ini akan membawa makna berbeza – kerana ia merupakan bukti kebangkitan dirinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg