Apabila nama bintang bola sepak dunia, Lionel Messi, tertera dalam kesebelasan utama pasukan Argentina, rasa gerun pasti menyelubungi kem lawan.

Bukan sahaja kerana keupayaannya menggelecek dan menjaringkan gol, malah kehadiran kapten Argentina itu sendiri mampu meniupkan keyakinan kepada rakan sepasukan, sekali gus membuat pengurus lawan garu kepala.

Di Piala Dunia 2026, Messi sekali lagi membuktikan usianya sekadar angka. Pada usia 39 tahun, beliau terus menjadi nadi La Albiceleste ( nama gelaran Argentina) dengan lapan gol dan empat bantuan gol.

Namun, pengaruh Messi jauh menjangkau statistik. Aura kepimpinannya menjadi pemangkin kepada kebangkitan Argentina di kejohanan itu.

Sejak suku akhir, Argentina tidak pernah panik apabila ketinggalan, sebaliknya bangkit pada penghujung perlawanan untuk mencatat kemenangan, dengan Messi sering menjadi watak utama di sebalik kejayaan tersebut.

Kini, hanya Sepanyol – yang memiliki benteng pertahanan kebal – berdiri di antara Argentina dengan impian mereka untuk menjulang trofi Piala Dunia dua kali berturut-turut, di Stadium MetLife, di New Jersey, Amerika Syarikat, pada 20 Julai.

Pasukan Argentina meraikan jaringan kemenangan 2-1 ke atas England di perlawanan separuh akhir bersama kapten pasukan, Lionel Messi (kiri).
Pasukan Argentina meraikan jaringan kemenangan 2-1 ke atas England di perlawanan separuh akhir bersama kapten pasukan, Lionel Messi (kiri). - Foto EPA
Pada usia 39 tahun, Lionel Messi terus menjadi nadi pasukan bola sepak Argentina di Piala Dunia 2026 dengan lapan gol dan empat bantuan gol.
Pada usia 39 tahun, Lionel Messi terus menjadi nadi pasukan bola sepak Argentina di Piala Dunia 2026 dengan lapan gol dan empat bantuan gol. - Foto AFP

Argentina kini hanya selangkah sahaja lagi untuk bergelar pasukan pertama sejak Brazil pada 1958 dan 1962, dan Italy (1934, 1938) yang berjaya memenangi Piala Dunia secara berturut-turut.

Malah, apa yang lebih luar biasa, mereka juga selangkah lagi daripada memenangi kejohanan utama keempat berturut-turut.

Argentina memenangi Copa America pada 2021, yang merupakan kejuaraan kejohanan utama antarabangsa pertama buat Lionel Messi.

Setahun kemudian, mereka merangkul trofi Piala Dunia 2022 menerusi penentuan sepakan penalti menentang Perancis.

Dua tahun selepas kejuaraan Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 26 tahun, Argentina menewaskan Colombia untuk sekali lagi memenangi Copa America 2024.

Messi berkemungkinan besar sudah pun memegang gelaran pemain terhebat dalam sejarah bola sepak.

Kejuaraan kejohanan utama keempat berturut-turut dan trofi Piala Dunia kedua berturut-turut ini akan mengukuhkan lagi status beliau sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dalam bola sepak.

Namun, tugas mengukir sejarah bukanlah mudah.

Sepanyol merupakan pasukan yang sangat ‘degil’ kerana hanya dibolosi sekali sahaja dalam tujuh perlawanan Piala Dunia mereka setakat ini, dan gol tersebut berlaku ketika kemenangan 2-1 menentang Belgium di peringkat suku akhir.

Ia sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan utama bagi perlawanan akhir walaupun Argentina langsung tidak pernah tewas sepanjang kejohanan ini.

Penyerang Sepanyol Mikel Oyarzabal (kiri) meraikan jaringan penaltinya ke atas Perancis di perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026.
Penyerang Sepanyol Mikel Oyarzabal (kiri) meraikan jaringan penaltinya ke atas Perancis di perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026. - Foto AFP

Namun, Argentina mempunyai ayam tambatan mereka, Messi, dan apabila beliau bersinar, mereka mampu mengucar-ngacirkan lawan.

Messi menjadi nadi pergerakan pasukannya dengan membuat larian bahaya dan mencipta peluang jaringan.

Lihat sahaja ketika Argentina menumpaskan England 2-1 di separuh akhir. Jika ingin dibandingkan fizikal Messi dan lawan, beliau lebih kecil dan berusia, jauh beza dengan England.

Namun, kebijaksanaan bola sepaknya berjaya menampung tubuh kecilnya.

Messi memanfaatkan kelemahan dalam struktur permainan England dan corak pemain individu untuk mencetuskan kebangkitan pasukannya.

Selepas pemain tengah England, Elliot Anderson, berjaya mengekang pergerakan Messi pada peringkat awal perlawanan, pendekatan agresifnya mula menjadi tidak berkesan apabila Messi pantas menyesuaikan diri dengan gaya permainan lawannya itu.

Malah, Messi mula menggunakan cara agresif Anderson untuk memakan diri pemain itu sendiri.

Beliau memegang bola selama yang mungkin untuk memancing pemain berusia 23 tahun itu keluar dari posisinya, sebelum menghantar bola kepada rakan sepasukan yang mempunyai ruang.

Ini merupakan antara contoh di mana Messi bijak memanfaatkan kelemahan lawan dan mencari ruang. Jika satu perkara Sepanyol boleh bawa ke perlawanan akhir, mereka perlu berhati-hati dalam membendung bintang dunia itu.

Penyerang Lionel Messi (tengah) melepasi kawalan pemain England, Anthony Gordon (kiri) dan Elliot Anderson (kanan) ketika perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026.
Penyerang Lionel Messi (tengah) melepasi kawalan pemain England, Anthony Gordon (kiri) dan Elliot Anderson (kanan) ketika perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026. - Foto AFP

Pentas akhir itu juga akan menyaksikan sejarah apabila Messi bertemu dengan bintang masa depan yang mampu mengambil alih tempatnya, Lamine Yamal.

Menariknya, ini bukanlah kali pertama mereka berdua bertemu.

Pertemuan pertama itu berlaku pada 2007, ketika Messi yang berusia 20 tahun baru sahaja menjadi pemain kesebelasan utama yang tetap untuk Barcelona, manakala Yamal pula baru sahaja berusia lima bulan.

Detik pertemuan tersebut telah diabadikan dalam satu siri foto yang dirakam oleh Joan Monfort.

Gambar itu kembali tular pada 2024 apabila Yamal membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024, selepas bapanya memuat naik salah satu foto tersebut di media sosial dengan kapsyen “Permulaan bagi dua legenda”.

Di dalam gambar berkenaan, Messi kelihatan tersenyum sambil memangku dan memandikan seorang bayi lelaki kecil – yang tanpa disangka, bakal mengikut jejak langkahnya dalam dunia bola sepak.

Pertemuan pertama kedua-dua pemain itu di medan Piala Dunia pastinya menjanjikan satu tontonan yang sukar untuk dilepaskan penonton.

Yang seorang mahu memahat nama sebagai legenda abadi, manakala yang seorang lagi sedang mengorak langkah untuk merampas takhta pemain terbaik dunia.

Sejarah Lionel Messi (kiri) dan Lamine Yamal (bayi) bermula dua dekad yang lalu.
Sejarah Lionel Messi (kiri) dan Lamine Yamal (bayi) bermula dua dekad yang lalu. - Foto fail

Ramalan wartawan: Sepanyol 1 - 0 Argentina