Melihat barisan panjang penyokong beratur untuk membeli tiket perlawanan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 antara Singapura dengan Vietnam, ramai terkenang kembali era kegemilangan bola sepak Singapura. Ini termasuk sewaktu Piala Malaysia pada 1994 dan kejayaan pasukan Lions XII dalam Liga Malaysia pada 2013.
“Melihat orang ramai datang membeli tiket mengingatkan saya detik-detik Piala Malaysia dahulu. Ketika itu, penyokong bersatu memberi sokongan padu kepada skuad Singapura hingga mereka mengecap kejayaan. Jadi, saya sangat gembira kerana kita sebagai penyokong bola sepak tanah air masih dapat menunjukkan semangat sama,” kata Encik Sophian Zulkifli, 47 tahun.
Beliau datang bersama dua anak perempuannya serta dua anak saudara dan membeli 20 tiket – setiap orang hanya dibenarkan membeli hingga empat tiket – bagi perlawanan di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember.
Tiket perlawanan separuh akhir pertama itu mula dijual pada 12 tengah hari 22 Disember dan hanya di stadium itu. Ini bagi memastikan hanya penyokong Singapura dapat membeli tiket penyokong tuan rumah. Tiket berharga $24, $35 dan $49.
Pada peringkat kumpulan, skuad Singa kendalian Tsutomu Ogura, beraksi di Stadium Negara, yang mempunyai 55,000 tempat duduk. Di sana, mereka menewaskan Kemboja 2-1 dan tewas kepada Thailand 4-2. Dalam perlawanan di tempat lawan, mereka mengalahkan Timor-Leste 3-0 dan seri 0-0 dengan Malaysia.
Disebabkan perubahan jadual, perlawanan separuh akhir pertama mereka menentang Vietnam berlangsung di Stadium Jalan Besar kerana Stadium Negara akan digunakan bagi sebuah konsert. Pusingan kedua akan diadakan di Stadium Viet Tri, 80 kilometer dari Hanoi, pada 29 Disember.
Meskipun perlawanan ini akan diadakan di stadium lebih kecil, penyokong Singa tetap bersemangat dalam memberi sokongan padu mereka. Cik Sheila Gustarisha, 43 tahun, dan Encik Qash Adam Ng, 24 tahun, berkata sorakan penyokong tuan rumah akan lebih bergema pada perlawanan itu nanti.
Ketika Berita Harian (BH) meninjau di pekarangan stadium sekitar tengah hari 22 Disember, barisan panjang dapat dilihat bermula dari tangga berhampiran pintu masuk stadium di King George’s Avenue, hingga ke persimpangan stadium berdekatan Horne Avenue.
Penyokong pelbagai peringkat usia sanggup beratur panjang, dengan ada antara mereka mula beratur seawal 8 malam pada hari sebelumnya.
Dua sekawan, Encik Muhammad Nusair Md Noor dan Encik Muhammad Nur Syafiq Ismail, kedua-duanya 23 tahun, mula berada dalam barisan pada malam 21 Disember.
“Saya sebenarnya rancang untuk beratur pada hari penjualan tiket, tetapi selepas menghubungi Nusair, beliau memberitahu saya bahawa beliau sedang dalam perjalanan ke stadium pada malam itu. Disebabkan saya juga tidak mempunyai rancangan lain ketika itu, saya pun ‘join’ sekali beratur dan bermalaman di stadium,” kata Encik Syafiq.
Sekitar 1.40 petang, pegawai Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mula memberitahu penyokong di barisan belakang mungkin mereka tidak akan mendapat tiket disebabkan sambutan luar jangkaan.
Bagi Encik Mohamed Fauzi Ithnin, 47 tahun yang datang bersama isteri dan dua anak kecil berusia antara sembilan dengan 12 tahun, mereka tidak begitu kecewa jika tidak dapat membeli tiket bagi perlawanan tersebut.
“Walaupun anak-anak saya akan sedih kalau tidak dapat tiket, kami masih tetap akan beri sokongan kepada pasukan Singapura dari rumah. Kami berharap mereka akan berikan cabaran kepada Vietnam dan terus langkah ke peringkat akhir,” katanya.
Dek permintaan tinggi, ada orang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menjual semula tiket bahagian penyokong tuan rumah dalam talian pada harga hampir dua kali ganda. Ini bermakna tiket Kategori 1 yang asalnya berharga $49 kini berharga lebih $100.
Dalam satu kenyataan, FAS memberi amaran bahawa tiket yang dijual semula mungkin tidak sah atau palsu, dan mereka yang membelinya mungkin tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium.
Mereka juga memberi amaran kepada penyokong supaya jangan membeli daripada penjual semula, kerana mereka mungkin dilarang masuk atau dikeluarkan dari tempat tersebut jika ditemui di bahagian tempat duduk penyokong pasukan tuan rumah.
“Selain itu, kami juga menggesa peminat pasukan lawan supaya jangan membeli daripada penjual semula kerana anda mungkin tidak dibenarkan masuk ke stadium atau dikeluarkan dari stadium jika anda didapati duduk di bahagian yang dikhaskan untuk penyokong tuan rumah.
“Penyokong pasukan lawan hanya dibenarkan di bahagian penyokong lawan yang ditetapkan,” kata FAS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg