Demam bola sepak ‘menjangkiti’ peminat Singapura semula selepas kejayaan skuad Singa melangkah ke separuh akhir Piala AFF Mitshubishi Electric 2024.
Dengan aksi pertama Singapura menentang Vietnam dijadualkan berlangsung di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember, ramai penyokong tidak mahu melepaskan peluang menunjukkan sokongan padu mereka dengan mendapatkan tiket perlawanan pada 22 Disember.
Meskipun tiket mula dijual pada 12 tengah hari, ada penyokong sudah beratur seawal 8 malam pada 21 Disember.
Tinjauan jurugambar Berita Harian (BH) pada tengah malam 21 Disember menunjukkan ada penyokong membawa kerusi lipat sebagai persediaan untuk bermalam di stadium itu.
Pasangan ibu dan anak Cik Sheila Gustarisha, 43 tahun, dan Encik Qash Adam Ng, 24 tahun, merupakan penyokong pertama yang sampai di stadium itu pada 7.30 malam.
“Apabila mereka mengumumkan bahawa tiket hanya akan dijual di stadium, kami telah menjangka ramai orang akan turun untuk mendapatkan tiket mereka awal.
“Jadi kami mengambil keputusan untuk mula beratur pada Sabtu malam, namun tidak sangka kami akan jadi orang pertama beratur,” ujar Encik Qash Adam.
Sebagai tanda penghargaan, kapten pasukan Singapura, Hariss Harun, membuat kejutan dengan memberi empat tiket Kategori 1 setiap seorang kepada 10 penyokong pertama berada dalam barisan.
Lebih daripada 5,000 tiket habis dijual menjelang 6 petang, enam jam selepas ia mula dijual.
Setiap individu dibenarkan membeli hingga empat tiket, yang berharga $49, $35 atau $24 setiap satu.
Singapura mara ke separuh akhir selepas seri dengan Malaysia pada 20 Disember, sekali gus menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A, di belakang Thailand.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg