Tidak lama lagi pelumba basikal trek Singapura tidak perlu menyeberangi Tambak Johor untuk berlatih, dengan arena basikal atau velodrom pertama negara ini dijadual siap di Kranji menjelang Disember 2027.

Kemudahan terbuka yang bakal dinamakan Arena Quantum x RS Cycles itu akan menampilkan trek sepanjang 250 meter yang memenuhi piawaian badan induk basikal dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ia juga akan berfungsi sebagai pusat prestasi atlet nasional bagi sukan lumba basikal trek, dan kerja-kerja pembinaan dirancang bermula pada Januari 2027.

Projek tersebut menerima suntikan pada 14 November selepas Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF) menandatangani perjanjian dengan syarikat berpangkalan di Singapura, Eastern Pacific Shipping (EPS).

Perjanjian itu dimeterai semasa majlis makan malam gala amal persekutuan itu di D’Marquee Downtown East, yang dihadiri Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, sebagai tetamu kehormat.

The Straits Times (ST) sebelum ini melaporkan bahawa pembinaan velodrom tersebut dianggarkan menelan belanja hampir $3 juta, dan bagi menyokong pembangunannya, syarikat basikal RS Cycles turut akan menyumbang kepada pembiayaan projek berkenaan.

Velodrom itu merupakan sebahagian daripada kempen Go for Gold (Memburu Emas) anjuran SCF bagi Sukan SEA 2029, yang bertujuan “membina skuad yang bersedia menaiki podium” apabila Singapura menjadi tuan rumah temasya dwitahunan tersebut pada 2029.

Presiden SCF, Dr Hing Siong Chen, berkata: 

“Kali terakhir kami berdiri di podium Sukan SEA dengan pingat emas dalam acara lumba basikal trek adalah pada 2017, hasil pencapaian cemerlang Calvin Sim.

“Sejak itu, selama bertahun-tahun pelumba basikal trek kita perlu ke luar negara semata-mata untuk berlatih di velodrom.

“Dengan sokongan rakan kongsi seperti EPS, kita kini selangkah lebih dekat untuk memiliki kemudahan sendiri yang bakal memperkukuh landasan prestasi tinggi kita, meluaskan penyertaan masyarakat serta membantu kita membentuk skuad yang bersedia menaiki podium menjelang 2029.”

Ketua Eksekutif EPS, Encik Cyril Ducau, pula berkata: 

“Atlet hebat perlukan tempat untuk dipanggil rumah, dan velodrom terbuka ini akan memberi pelumba basikal trek Singapura persekitaran latihan yang sepatutnya dinikmati mereka, di Singapura sendiri.”

Dr Hing sebelum ini memberitahu ST bahawa pembinaan velodrom terbuka itu akan membantu menyokong keperluan membina kemudahan tertutup bertaraf lebih tinggi pada masa akan datang.

Pelumba basikal trek kebangsaan Singapura buat masa ini berlatih di velodrom di Malaysia – termasuk di Johor dan Nilai, Negeri Sembilan – dan perjalanan tersebut menambah beban kepada atlet yang perlu mengimbangi komitmen sekolah atau kerja.

Selain latihan prestasi tinggi, kemudahan di Kranji itu juga akan digunakan bagi penganjuran pertandingan tempatan dan serantau serta program kemasyarakatan bagi penunggang daripada pelbagai lapisan umur dan peringkat keupayaan.

Ia juga merupakan sebahagian daripada pelan hala tuju SCF untuk membangunkan pusat prestasi kebangsaan bagi setiap disiplin lumba basikal.

Pengarah Prestasi Tinggi SCF, Encik Shayne Bannan, berkata: 

“Kemenangan dan kekalahan dalam acara lumba basikal trek ditentukan oleh perkara terperinci, iaitu ribuan jam di atas trek kayu, memperhalusi teknik permulaan, rentak kayuhan serta taktik perlumbaan.

“Sehingga kini, pelumba kita terpaksa menyeberangi tambak semata-mata untuk mendapatkan masa latihan di velodrom, yang mengehadkan kekerapan dan konsistensi latihan mereka.

“Trek di negara sendiri akan mengubah keadaan itu. Ia membolehkan jurulatih kita menjalankan latihan harian yang berstruktur, membimbing pelumba lebih muda daripada Akademi Lumba Basikal Trek bersama skuad kebangsaan kita, serta membuat persiapan rapi bagi Sukan SEA 2029.”

SCF melancarkan Akademi Lumba Basikal Trek pada Januari 2023 bagi belia berusia 14 hingga 18 tahun, dengan matlamat melahirkan pelumba yang dapat mewakili Singapura dalam pertandingan antarabangsa, termasuk Sukan SEA 2029.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti