Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BG Tampines Rovers ganti jurulatih Akbar Nawas selepas 83 hari

Sep 11, 2025 | 8:22 PM
Pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), BG Tampines Rovers telah mengumumkan mereka telah berpisah dengan ketua jurulatih mereka, Akbar Nawas dengan serta merta.
Pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), BG Tampines Rovers telah mengumumkan mereka telah berpisah dengan ketua jurulatih mereka, Akbar Nawas dengan serta merta. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dalam satu perkembangan yang mengejutkan, BG Tampines Rovers telah berpisah dengan ketua jurulatih Akbar Nawas meskipun pasukan itu memulakan musim tanpa sebarang kekalahan, termasuk kejayaan menjulang Perisai Masyarakat.

Pengumuman itu dibuat oleh pasukan bergelar The Stags itu menerusi media sosial pada 11 September, dua hari sebelum perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) menentang Tanjong Pagar United.

Mereka menyatakan bahawa “keputusan bersama telah dicapai antara kelab dengan jurulatih Akbar Nawas untuk berpisah serta-merta”.

Ini merupakan kali kedua Akbar membimbing The Stags, namun kali ini hanya bertahan selama 83 hari.

Menurut The Straits Times, penolong jurulatih Tampines dan ketua pembangunan belia, Noh Rahman, akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih.

Di bawah bimbingan Akbar, yang diumumkan sebagai jurulatih baru Tampines pada 20 Jun menggantikan Gavin Lee, pasukan tersebut memulakan musim dengan cemerlang.

Mereka mengejutkan juara SPL, Lion City Sailors, dengan kemenangan 4-1 dalam perlawanan Perisai Masyarakat pada 16 Ogos, sebelum menewaskan Cebu 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan Kejohanan Kelab Asean empat hari kemudian.

Namun, mereka seri tanpa jaringan dengan Geylang International dalam perlawanan SPL pada 24 Ogos.

Akbar memulakan kerjaya kejurulatihannya bersama skuad Bawah-21 Tampines sedekad lalu dan turut menjadi pembantu kepada ketua jurulatih utama ketika itu, V. Sundramoorthy, pada 2015.

Beliau mengambil alih pasukan utama pada 2016 dan membawa mereka ke tempat kedua dalam liga serta Piala Singapura, selain mara ke suku akhir Piala AFC sebelum meninggalkan kelab itu pada 2017 untuk menjadi jurulatih di luar negara.

Akbar membawa pasukan Global Cebu dari Filipina ke final Piala Singapura dan ke pusingan kalah mati Piala AFC pada 2017, sebelum merangkul kejuaraan I-League bersama Chennai City dari India pada 2019.

Akbar kembali ke Singapura pada 2021 untuk membimbing Balestier Khalsa, tetapi meletak jawatan sebelum tamat kontrak dua tahun untuk menyertai pasukan Liga 2 Thailand, Udon Thani pada 2022.

Pada 2023, beliau mencipta sejarah sebagai rakyat Singapura pertama yang membimbing pasukan liga utama Thailand apabila menandatangani kontrak dengan Nakhon Pathom United.

Selepas menamatkan musim pertamanya di tangga ke-12 daripada 16 pasukan, dan bermula hambar pada musim berikutnya, beliau meletak jawatan pada September 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg