Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banyak perubahan, tapi pemain import baru beri BG Tampines keyakinan

Aug 15, 2025 | 4:35 PM
Ketua Jurulatih BG Tampines Rovers, Akbar Nawas, berkata anak didiknya tidak sabar untuk membuktikan kemampuan mereka untuk memenangi setiap perlawanan musim ini.
Ketua Jurulatih BG Tampines Rovers, Akbar Nawas, berkata anak didiknya tidak sabar untuk membuktikan kemampuan mereka untuk memenangi setiap perlawanan musim ini. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kepulangan Akbar Nawas ke BG Tampines Rovers untuk musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 membawa emosi bercampur-baur.

Kali terakhir membimbing pasukan itu sebagai Ketua Jurulatih pada 2017, beliau kini mengambil alih pasukan itu ketika ia melalui fasa perubahan besar.

Pasukan itu baru sahaja kehilangan beberapa pemain import musim lalu yang menjadi tunjang pasukan; serta melalui penukaran pengerusi daripada peguam, Desmond Ong, ke pegawai bank pelaburan dari Jepun, Shungo Sakamoto.

Akbar turut mengambil alih kerusi panas itu daripada Gavin Lee, yang kini menjadi Ketua Jurulatih sementara pasukan bola sepak negara.

Meskipun berdepan perubahan tersebut, Akbar berkata anak didiknya tidak sabar untuk membuktikan kemampuan mereka untuk memenangi setiap perlawanan musim ini.

“Banyak perkara baru musim ini dan pemain memahaminya.

“Namun, mereka tidak sabar untuk memulakan musim bagi membuktikan kemampuan masing-masing dan memberi keyakinan kepada penyokong terhadap projek ini,” kata Akbar kepada Berita Harian (BH).

Pasukan BG Tampines Rovers akan berdepan Lion City Sailors pada 16 Ogos di Stadium Jurong East untuk perlawanan Perisai Masyarakat.
Pasukan BG Tampines Rovers akan berdepan Lion City Sailors pada 16 Ogos di Stadium Jurong East untuk perlawanan Perisai Masyarakat. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Untuk mengisi lopong yang ditinggalkan pemain import itu, Tampines mendapatkan beberapa pemain import terbaru.

Menurutnya, untuk menilai kualiti pemain tersebut, mereka perlu menyesuaikan diri dan beraksi secara kompetitif – dan tiada ujian lebih baik daripada menentang Lion City Sailors (LCS) di perlawanan Perisai Masyarakat pada 16 Ogos.

Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Jurong East.

“Apabila tiba perlawanan kompetitif, di situlah anda dapat dilihat sama ada pemain import kami mempunyai kualiti yang sama seperti musim lalu.

“Menentang pasukan seperti LCS sebenarnya sesuatu positif kerana prestasi kami pada hari itu akan memberi gambaran tentang mutu kami,” ujar jurulatih yang berusia 49 tahun.

Akbar perlu berpuas hati dengan skuad yang kehilangan tonggak pemain import termasuk Seia Kunori, Milos Zlatkovic, Itsuki Enomoto; dan bintang tengah Singapura, Kyoga Nakamura.

Untuk mengatasi kekosongan tersebut, pasukan yang digelar Sang Rusa Jantan itu telah mendapatkan khidmat penyerang bintang kelahiran Australia dari Malta, Trent Buhagiar, 27 tahun.

Sering beraksi di bahagian sayap atau penyerang, Buhagiar menyertai Tampines dari kelab Liga Perdana Azerbaijan, Kapaz PFK.

Beliau juga mempunyai pengalaman beraksi di Liga Australia bersama Central Coast Mariners, Sydney FC, dan Newcastle Jets serta di Serie B, Itali bersama Brescia.

Sehingga kini, Buhagiar mempunyai tiga penampilan bersama pasukan bola sepak negara Malta.

Bintang terbaru BG Tampines Rovers, Trent Buhagiar.
Bintang terbaru BG Tampines Rovers, Trent Buhagiar. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Selain itu, Tampines turut mendapatkan khidmat empat pemain Jepun terbaru.

Antaranya penyerang, Hide Higashikawa; pemain tengah, Seiga Sumi dan Koya Kazama; bek kiri, Takeshi Yoshimoto.

Tampines turut dikuatkan dengan kehadiran pemain tengah Singapura, Jacob Mahler, yang menyertai mereka dari Muangthong United, Thailand, serta dua pemain muda negara tersebut, Nalawich Inthachareon, dan Witthawat Phraothasiong.

Akbar turut berbesar hati dapat mengekalkan pemain tempatan yang beraksi cemerlang musim lalu, termasuk Shah Shahiran, Faris Ramli, dan Syazwan Buhari.

“Musim ini, Tampines ialah pasukan yang baru, kerana kebanyakan pemain tempatan kekal bersama kami dan terdapat penukaran pada pemain import kami,” kata Akbar.

Tampines dijangka menghadapi musim yang sibuk dengan saingan SPL, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dan Kejohanan Kelab Asean (ACC) menanti mereka.

Di ACL 2, kelab Rusa Jantan itu ditempatkan di Kumpulan H bersama pasukan dari Korea Selatan, FC Pohang Steelers; BG Pathum United dari Thailand; dan wakil Filipina, Kaya FC-Iloilo.

Untuk kejohanan serantau ACC atau Piala Shopee, mereka ditempatkan di Kumpulan A di mana mereka akan bersaing bersama pasukan Thailand, Buriram United dan BG Pathum United; pasukan Malaysia, Selangor FC; dan pasukan Vietnam, Cong An Ha Noi FC.

Pemenang bagi perlawanan kelayakan antara pasukan Filipina, Dynamic Herb Cebu FC, dengan pasukan Brunei, Kasuka FC akan mengisi satu lagi slot kumpulan itu.

Dengan pelbagai peluang untuk meraih kejuaraan, Akbar mahu pemainnya menghadapi setiap perlawanan satu persatu tanpa meletakkan sebarang tekanan berlebihan ke atas mereka untuk memenangi sebarang trofi.

“Tekanan yang saya letakkan ke atas pemain adalah pada setiap sesi latihan dan setiap perlawanan yang mereka bermain, untuk cuba memenangi setiap perlawanan, tidak kira siapa lawannya” tegasnya.

Walau demikian, Tampines sudah pasti ingin menamatkan kemarau tanpa trofi pada musim ini.

Kali terakhir mereka menjulang trofi ialah pada 2019, memenangi Piala Singapura.

Tampines akan memulakan kempen SPL pada 24 Ogos dengan derby Timur pertama musim ini menentang Geylang International di Our Tampines Hub.

Dalam tempoh terdahulunya sebagai Ketua Jurulatih Tampines, Akbar membimbing pasukan itu meraih kedudukan naib juara liga dan layak ke suku akhir Piala AFC pada musim 2016.

Walau berdepan musim yang mencabar, Akbar kekal positif dan menyifatkan kepulangannya ke Tampines ini “seperti kembali kepada pangkuan keluarga,” katanya.

Tiga pemain tumpuan

Trent Buhagiar, pemain sayap (27 tahun)

Bintang terbaru BG Tampines Rovers, Trent Buhagiar ialah pemain nasional Malta di Eropah. Beliau, yang dikenali sebagai pemain yang tangkas dan cekap mengawal bola pertama kali menyarung jersi nasional dalam perlawanan dengan Moldova pada 13 Oktober 2024.
Bintang terbaru BG Tampines Rovers, Trent Buhagiar ialah pemain nasional Malta di Eropah. Beliau, yang dikenali sebagai pemain yang tangkas dan cekap mengawal bola pertama kali menyarung jersi nasional dalam perlawanan dengan Moldova pada 13 Oktober 2024. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Hide Higashikawa, penyerang (23 tahun)

Penyerang BG Tampines Rovers dari Jepun, Hide Higashikawa ini sebelum ini beraksi dengan Tochigi City di Jepun yang beraksi dalam liga ketiga (J3) negara itu. Beliau pantas dan suka berlari dengan bola.
Penyerang BG Tampines Rovers dari Jepun, Hide Higashikawa ini sebelum ini beraksi dengan Tochigi City di Jepun yang beraksi dalam liga ketiga (J3) negara itu. Beliau pantas dan suka berlari dengan bola. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Shah Shahiran, pemain tengah (25 tahun)

Antara pemain tempatan yang dikekalkan BG Tampines Rovers, ialah Shah Shahiran (tengah) yang kini antara tonggak pasukan bola sepak nasional. Tubuhnya mungkin tidak berapa besar, tetapi Shah disegani kerana keberaniannya apabila mencabar pemain lawan dan wawasannya untuk mencari hantaran yang terbaik kepada teman.
Antara pemain tempatan yang dikekalkan BG Tampines Rovers, ialah Shah Shahiran (tengah) yang kini antara tonggak pasukan bola sepak nasional. Tubuhnya mungkin tidak berapa besar, tetapi Shah disegani kerana keberaniannya apabila mencabar pemain lawan dan wawasannya untuk mencari hantaran yang terbaik kepada teman. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg