Topik diikuti
Pergi ke BHkuBiar musim F1 berganti, Charles Leclerc hanya mahu jadi diri sendiri
Biar musim F1 berganti, Charles Leclerc hanya mahu jadi diri sendiri
Dalam dunia Formula Satu (F1) yang sentiasa berubah, Charles Leclerc daripada pasukan Ferrari cuma mahu menjadi satu-satunya yang kekal tidak berubah.
Namun, beliau sendiri turut berubah.
Sejak penampilan sulungnya dalam F1 pada 2018, beliau berpindah daripada Sauber ke Ferrari, beraksi bersama empat rakan sepasukan yang berbeza, memenangi sembilan perlumbaan dan kini sudah berkahwin.
Tidak terpengaruh dengan kemewahan dan glamor sukan itu, Leclerc yang lebih matang kekal berpijak di bumi nyata dan setia kepada dirinya sendiri.
Menjelang F1 Singapore Airlines Grand Prix Singapura pada 9 hingga 11 Oktober, Leclerc yang kelihatan banyak berfikir berkata:
“Pada akhirnya, perkara paling penting bagi saya ialah menjadi diri sendiri.
“Sama ada terdapat perhatian atau tidak, saya cuba menjadi diri saya sebaik mungkin, tanpa berpura-pura.
“Apabila ada banyak kamera dan ramai orang memerhatikan kita, memang sukar untuk menjadi diri sendiri. Namun itulah yang penting bagi saya dan itulah yang sentiasa saya cuba kekalkan.”
Pelumba dari Monaco itu bercakap kepada The Straits Times (ST) pada 7 Oktober, sebelum beliau menyambut lebih 500 peminat di acara Ray-Ban’s Beyond The Track di CQ @ Clarke Quay.
Leclerc kelihatan sopan, bertimbang rasa dan selesa walaupun jadualnya padat. Sebaik tiba selepas 5 petang, beliau diiringi dari satu tempat ke satu tempat dengan teratur dan bergambar kira-kira 12 kali sebelum sempat duduk.
Katanya, tidak sukar untuk kekal berpijak di bumi nyata di tengah banyak perubahan dalam hidupnya. Beliau memuji rakan-rakannya, “yang benar-benar ikhlas”, dan orang di sekelilingnya.
Mereka sudah menemaninya dalam perjalanan sukan permotoran sejak sebelum beliau menyertai F1 bersama Sauber pada usia 20 tahun.
Mengimbau perkembangan dirinya sejak perlumbaan F1 pertamanya pada 2018 dan perpindahan ke Ferrari pada 2019, beliau berkata:
“Saya memang sudah banyak berubah, sebagai pelumba dan sebagai seorang individu.
“Ini perkara biasa kerana sudah hampir 10 tahun saya dalam F1. Banyak perkara sudah berubah. Sekarang saya sudah berkahwin, dan sudah tentu banyak perkembangan saya dari segi peribadi.
“Saya jauh lebih matang berbanding dahulu. Sebagai pelumba, saya sudah melalui pelbagai situasi yang sangat berbeza. Daripada saat yang baik atau sukar, kita belajar banyak dan itu membentuk saya sebagai pelumba.
“Saya rasa saya lebih sabar, lebih tersusun dan lebih berdisiplin berbanding dahulu.”
Namun, beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-29 pada 16 Oktober, Leclerc menegaskan bahawa semangat dalam dirinya masih sekuat lapan tahun lalu.
Katanya: “Lumba kereta sentiasa menjadi minat saya. Saya mula ketika berusia tiga setengah tahun dan semangat itu masih membara seperti ketika saya mula dahulu.”