Topik diikuti
Pergi ke BHkuBiasiswa SOF-Peter Lim jadi batu loncatan atlet-pelajar perkukuh kewangan keluarga
Biasiswa SOF-Peter Lim jadi batu loncatan atlet-pelajar perkukuh kewangan keluarga
Biasiswa agihkan $1.1j bagi 414 atlet-pelajar, senarai sukan kini diperluas dengan pengenalan tiga sukan baharu iaitu e-sukan, kriket, dan ski air.
Biasiswa SOF-Peter Lim jadi batu loncatan atlet-pelajar perkukuh kewangan keluarga
Apabila Putri Nur’Naiema Muhammad Ismail, mendapat tahu bahawa ibunya, menghidapi barah pangkal rahim tahap empat pada pertengahan 2025, seisi dunia seolah-olah menghempap dirinya.
Dalam sekelip mata, Naiema, 20 tahun, perlu menjadi tonggak utama bagi menampung keluarga – ibu dan empat adik-adiknya yang berusia antara tujuh dengan 19 tahun.
Walaupun masih menuntut dalam jurusan Integrasi Sistem Keselamatan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, pelajar tahun ketiga Higher Nitec itu cekal melakukan dua pekerjaan demi menyara keluarganya, sekali gus menguji ketahanan mental dan emosinya.
Walau demikian, gadis bertubuh kecil yang berhati kental itu berjaya menjadikan sukan sebagai medan untuk melepaskan segala tanggungan yang terbuku.
Setiap kemenangan dalam kejohanan bola sepak menjadi pencetus semangat untuk beliau, yang berusia 20 tahun, bangkit daripada kemelut hidup.
Naiema berkata:
“Bagi saya, setiap kemenangan membawa perubahan besar dalam hidup kerana sebelum ini saya jarang menang dalam apa-apa bidang, kecuali bola sepak.
“Maka, apabila saya berjaya memenangi sesuatu, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya hadiahkan untuk membuatkan ibu saya bangga.
Pada 30 Jun, Naiema merupakan antara 140 atlet-pelajar yang menerima Anugerah Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura (SOF)-Peter Lim di bawah kategori pengajian tinggi yang diadakan di Pusat Konvensyen Tay Eng Soon di Ibu Pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Kolej Central.
Anugerah tersebut diraih susulan kejayaan cemerlangnya sepanjang 2025 sebagai pemain bola sepak.
Beliau merangkul Kejohanan antara Politeknik-Institut Pendidikan Teknikal atau POL-ITE dan Sukan Institut Pendidikan-Varsiti-Poly (IVP) 2024/25.
Secara keseluruhan, seramai 414 penerima daripada 119 buah sekolah merentasi 41 jenis sukan telah menerima peruntukan berjumlah $1.115 juta di majlis penyampaian tersebut.
Selain daripada kategori pendidikan tinggi, ia turut mengandungi sekolah rendah, menengah, dan Prestasi Tinggi Bawah 18 Tahun (HPU18).
Majlis itu dihadiri oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, sebagai tetamu kehormat.
Beliau ditemani Pengerusi SOF, Encik Ng Ser Miang; anak lelaki Encik Lim, Encik Kiat Lim; dan ratu pecut negara yang pernah beraksi di Olimpik 2024 serta penerima Biasiswa SOF–Peter Lim pada 2014 dan 2015, Veronica Shanti Pereira, sebagai tetamu istimewa.
Selain daripada Shanti, antara penerima biasiswa SOF-Peter Lim sebelum ini yang juga pernah beraksi di Olimpik termasuk pendayung, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee; jaguh renang, Joseph Isaac Schooling serta pasangan adik beradik Quah Zheng Wen dan Quah Jing Wen.
Bagi melayakkan diri untuk menerima biasiswa tersebut, penerima perlu memenuhi beberapa set kriteria yang merangkumi pencapaian konsisten dalam pertandingan sukan yang berkaitan.
Sesuai dengan pengedaran landskap sukan, senarai biasiswa kali ini juga memperkenalkan tiga jenis sukan baharu – sukan elektronik atau e-sukan (bagi kategori Pengajian Tinggi), Kriket, dan Ski Air (bagi kategori HPU18).
Ia sekali gus meluaskan peluang bagi atlet-pelajar merentasi kedua-dua disiplin sukan yang sedang meningkat mahupun tradisional.
Ketika berucap di majlis itu, Encik Neo berkata bahawa perkongsian bagi biasiswa seperti itu merupakan bahagian yang amat penting dalam usaha Singapura untuk mengasah setiap atlet serta membantu mereka mencapai potensi sukan yang sebenar.
“Biasiswa ini adalah lebih daripada sekadar sokongan kewangan.
“Ia merupakan tanda kepercayaan kami terhadap potensi anda – bukan sahaja sebagai atlet, malah sebagai suri teladan dan pemimpin masa hadapan.
“Bersama sokongan ini datangnya tanggungjawab – untuk berusaha demi kecemerlangan, menegakkan integriti, serta menjadi inspirasi kepada orang di sekeliling anda,” ujarnya.
Encik Neo menambah bahawa pemerintah akan sentiasa menyokong atlet negara sambil menegaskan kembali usaha yang dilakukan mereka.
Ini termasuk penubuhan program Kecemerlangan Sukan (Spex) Singapura pada 2026.
Menerusi program SpexSG, Singapura akan menyokong tambahan 200 atlet Team Singapore untuk berlatih sepenuh masa di samping meningkatkan kepakaran sains sukan, perubatan, dan pengurusan kerjaya atlet dengan menambah bilangan pakar sebanyak 40 peratus menjelang 2029.
Untuk Naiema, Biasiswa SOF–Peter Lim itu menjadi satu batu loncatan bagi beliau untuk membantu ibunya, Cik Aedah Yusoff, berusia lewat 40-an tahun, meringankan beban kewangan di rumah.
Terutama dengan keadaan kesihatan ibunya, yang menurutnya kini semakin baik.
Naiema – yang pernah meraih biasiswa itu pada 2025 – menambah bahawa beliau akan mengenepikan sebahagian daripada bantuan itu untuk memberikannya kepada ibunya serta membuat simpanan untuk masa depan beliau.
Walau terpaksa mengimbangi pelbagai tanggungjawab, anak kedua daripada enam beradik itu menjadikan hasrat melihat keselesaan keluarga sebagai motivasi utama untuk tidak berputus asa.
“Saya tidak mahu keluarga saya terus hidup dalam keadaan susah.
“Sejujurnya, saya pernah terfikir untuk berputus asa dan bekerja sahaja.
“Namun, saya sedar tanpa kelayakan akademik yang baik, mustahil untuk saya dapat pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi...sebab itulah saya kuatkan semangat untuk teruskan pengajian,” kata beliau yang juga pernah beraksi di Liga Perdana Wanita (WPL) dan Liga Nasional Wanita (WNL).
Selain daripada bola sepak, Naiema juga aktif dalam silat, dengan pernah meraih perak di Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) 2018 dan 2019.
Biasiswa SOF-Peter Lim diperkenalkan pada 2010 apabila usahawan Encik Lim menderma $10 juta kepada SOF.
Beliau kemudian menambah $10 juta pada 2019 untuk meneruskan biasiswa itu hingga 2030.
Sejak mula diberikan pada 2011, biasiswa itu telah memberikan 5,683 anugerah bernilai $13.7 juta kepada atlet muda berpotensi tinggi serta bantu mengurangkan isu kewangan dalam mengejar kecemerlangan sukan dan akademik.
