LONDON: Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) telah mengumumkan kejurulatihan luar gelanggang akan dibenarkan dalam sukan tenis mulai Januari 2025.
Keputusan ini dibuat pada mesyuarat agung tahunan badan induk dan berikutan ujian terkini pada pertandingan Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) lelaki dan Persatuan Tenis Wanita (WTA).
ITF menyatakan bahawa langkah ini akan menjadikan tenis “lebih adil dan berpotensi lebih menghiburkan”.
Perubahan baru ini bermakna jurulatih boleh memberikan bimbingan secara lisan atau melalui isyarat tangan pada bila-bila masa kecuali semasa permainan.
Bimbingan jurulatih juga mestilah “singkat dan tidak mengganggu”, kecuali sewaktu masa rehat dalam pertandingan.
Dalam acara pasukan sahaja, yang mana kapten pasukan duduk di gelanggang, kapten pasukan juga boleh memberikan bimbingan.
Pemain juga boleh mengakses ‘teknologi analisis pemain’ yang diluluskan pada masa-masa bimbingan jurulatih dibenarkan.
Keputusan sama ada untuk melaksanakan perubahan peraturan ini akan berada di bawah bidang kuasa badan kelulusan setiap kejohanan atau acara individu.
Bimbingan jurulatih semasa pertarungan telah menjadi topik kontroversi pada masa lalu dengan beberapa pemain dituduh menerima petunjuk yang tidak dibenarkan – termasuk kemarahan Daniil Medvedev dalam pertarungannya menentang Stefanos Tsitsipas di Terbuka Australia 2022.
Bekas pemain nombor 10 dunia, Denis Shapovalov, telah mengkritik perubahan terbaru ini, menulis di platform sosial X:
“Bukan hanya sebagai pemain tenis tetapi sebagai peminat sukan ini, sedih melihat peraturan kejurulatihan luar gelanggang yang baru ini.”
Stuart Miller, pengarah eksekutif kanan ITF bagi integriti dan undang-undang, berkata: “Kami telah mengumpulkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan termasuk pemain, jurulatih dan pengadil.
“Pemain merasakan ia adalah perkembangan positif dan menjadikan kejohanan lebih menarik bagi mereka.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg