Bintang dunia bakal hangatkan kejohanan di S'pura
Atlet badminton acara perseorangan lelaki dan wanita yang baru dinobatkan sebagai juara Terbuka All England, Lin Chun-yi dan Wang Zhiyi, bersedia untuk beraksi di Terbuka Badminton Singapura Karim Family Foundation (KFF) yang akan berlangsung dari 26 hingga 31 Mei, sambil mereka memburu kejayaan lebih besar.
Sebagai acara Jelajah Dunia Super 750 Persekutuan Sedunia Badminton (BWF), kejohanan bernilai AS$1 juta ($1.27 juta) di Stadium Tertutup Singapura itu akan menampilkan kesemua 15 pemain perseorangan dan 10 pasangan beregu teratas dalam ranking dunia.
Ini merupakan tahun terakhir penganjuran kejohanan berstatus Super 750 sebelum ia diklasifikasikan semula sebagai Super 500 mulai 2027.
Dalam edisi 2025, atlet Thailand, Kunlavut Vitidsarn, menewaskan Lin Chun-yi dari Taiwan dalam perlawanan separuh akhir dan Lu Guangzu dari China dalam perlawanan akhir, untuk meraih gelaran pertama Terbuka Singapura.
Pencapaian ini sekali gus menempatkan Vitidsarn di ranking dunia nombor satu buat kali pertama.
Selepas layak ke separuh akhir All England pada Mac, atlet Thailand itu kembali menguasai tangga teratas dunia.
Dalam kategori perseorangan wanita, pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, An Se-young, melihat rekod kemenangan berturut-turutnya pada 2025 terhenti pada 27 perlawanan, apabila tewas kepada pemain China, Chen Yufei, yang kemudian menewaskan rakan senegaranya, Wang Zhiyi, untuk merangkul trofi kemenangan.
Begitu juga, pasangan beregu lelaki nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae, yang memenangi beberapa kejohanan Jelajah Dunia pada 2025, kini memburu gelaran Terbuka Singapura yang masih belum dimenangi.
Mereka tewas dalam final tiga set kepada pasangan Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, pada edisi sebelum ini.
Loh Kean Yew sekali lagi akan memikul harapan negara, apabila pemain nombor 11 dunia itu berusaha memperbaiki pencapaian terbaiknya pada 2022, apabila berjaya mara ke separuh akhir.
Atlet berusia 28 tahun itu berkata:
“Terbuka Badminton Singapura KFF sentiasa menjadi salah satu kejohanan paling istimewa kerana saya dapat beraksi di tanah air, di depan penyokong kita.
“Suasana di Singapura memang luar biasa, dan sokongan ini amat bermakna bagi kami semua di dalam Team Singapore.
“Saya harap peminat akan hadir sekali lagi pada 2026, untuk menikmati minggu yang hebat dengan badminton dan menyaksikan pemain terbaik dunia beraksi.”
Penganjur acara berjanji untuk “menyediakan pengalaman lebih hebat dan interaktif bagi peminat” sepanjang minggu kejohanan, termasuk sesi temu mesra tambahan serta peluang lain untuk berinteraksi dengan atlet.
Maklumat lanjut, termasuk mengenai pengalaman premium Champion Club, akan diumumkan kemudian.
Tiket boleh dibeli melalui Ticketmaster, dengan jualan awal dari 16 hingga 28 Mac.
Harga pas harian bermula dari $30 hingga $320, manakala pas musim bermula dari $105 hingga $1,888.
Pengerusi penganjur, Encik Bryan Long, berkata:
“Dengan sokongan berterusan daripada penaja utama, KFF, dan penaja penyampai, JK Technology, kami membina momentum daripada edisi terdahulu untuk menyediakan bukan sahaja kejohanan badminton bertaraf dunia, tetapi juga pengalaman peminat yang lebih hebat.
“Kami tidak sabar untuk menyambut penyokong dari Singapura dan seluruh rantau ini bagi menyaksikan acara yang tidak boleh dilupakan dengan persaingan dan suasana bertaraf dunia.”

