BERLIN: Pemain muda Sepanyol, Lamine Yamal, menggegarkan sukan bola sepak selepas memecahkan rekod Pele yang sudah bertahan selama 66 tahun (sejak 1958) dan mencapai tahap yang Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo hanya boleh impikan pada usia 17 tahun.
Yamal mencapai kemuncak kerjayanya pada 14 Jun apabila beliau menjadi pemain termuda memenangi Kejohanan Eropah atau Piala Dunia – pada usia 17 tahun dan satu hari.
Dalam kemenangan 2-1 Sepanyol ke atas England pada perlawanan akhir Euro 2024 yang berlangsung pada 3 pagi 15 Julai, waktu Singapura, pemain sayap Barcelona itu mencipta gol pembukaan, Nico Williams, dan membuat dua percubaan berbahaya yang memaksa, Jordan Pickford, menyelamatkannya.
Dalam Euro 2024, tiada pemain terlibat dalam lebih banyak gol daripada Yamal, yang menjaringkan satu gol dan melakukan empat ‘bantuan’ atau ‘assist’ yang membawa kepada jaringan gol pasukannya.
Tiada pemain mencipta lebih banyak peluang gol dalam satu Kejohanan Eropah sejak rekod itu mula dicatat pada 1980.
Malah, tiada pemain terlibat secara langsung dalam jaringan gol pada perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir sebelum Yamal mencapai kejayaan itu.
Tidak menghairankan apabila beliau dinamakan, Pemain Muda Terbaik Kejohanan Euro 2024.
“Saya sangat gembira, ini adalah mimpi,” kata Yamal.
“Saya tidak sabar untuk kembali ke Sepanyol dan meraikannya bersama semua peminat. Ia adalah hadiah hari jadi terbaik yang pernah saya dapat.”
Bekas pemain pertahanan England, Rio Ferdinand, berkata remaja itu adalah “sensasi” dan “pemain elit”.
“Sebelum kejohanan ini, beliau adalah bintang tetapi sekarang, beliau seorang superstar (bintang handalan),” tambahnya.
Sepanjang beberapa minggu lalu, Yamal menjadi pemain paling muda bermain, melakukan ‘bantuan’ dan menjaringkan gol di kejuaraan Euro.
Beliau bukan sahaja berpotensi, malah sudah menjadi antara pemain paling menarik di dunia.
Bekas pemain tengah Sepanyol, Juan Mata, berkata:
“Saya sedang makan malam semalam dengan (bos Barcelona) Xavi dan beliau memberitahu saya beliau tidak pernah melihat pemain yang bermutu seperti Yamal.
“Saya tidak suka membuat perbandingan antara pemain atau membandingkan mereka dengan Messi, tetapi saya fikir bagi Yamal, (kebolehan dan pencapaiannya) tiada batasnya,” tambah Mata.
Pada usia 17 tahun, Yamal sudah mencapai beberapa kejayaan berbanding pemain legenda lain ketika usia itu.
Sebelum mencapai usia 17 tahun, Yamal telah bermain 51 kali untuk Barcelona, menjaringkan tujuh gol dan mencipta tujuh peluang gol.
Untuk Sepanyol, beliau tampil 14 kali, menjaringkan tiga gol dan melakukan tujuh ‘assist’.
Sebagai perbandingan, baik Lionel Messi mahupun Cristiano Ronaldo – dua pemain terhebat generasi ini – tidak pernah bermain untuk pasukan utama kelab atau negara mereka ketika berusia 16 tahun.
Perangkaan pemain yang dijangka bersaing bagi anugerah pemain bola sepak terbaik dunia, Ballon d’Or, pada masa depan – Kylian Mbappe dari Perancis dan Erling Haaland dari Norway – pada usia itu juga tidak dapat dibandingkan dengan Yamal.
Mbappe bermain empat perlawanan untuk Monaco, melakukan satu ‘assist’ sebelum mencapai usia 17 tahun; manakala Haaland bermain 23 kali di Norway untuk kelab divisyen dua Bryne dan divisyen satu Molde serta menjaringkan satu gol.
Malah, pemain yang pernah mencipta kejayaan pada usia 16 tahun, Wayne Rooney, hanya bermain 10 kali untuk Everton dan menjaringkan tiga gol sebelum mencapai usia 17 tahun.
Pada perlawanan separuh akhir Euro 2024 menentang Perancis, Yamal memecahkan rekod pemain legenda Brazil, Pele, yang sudah bertahan sejak 1958, iaitu menjadi pemain termuda beraksi dan menjaringkan gol di separuh akhir kejohanan Euro atau Piala Dunia.
Beliau kemudian mencipta sejarah lagi dengan menjadi pemain termuda beraksi di final kejohanan utama, lantas mengatasi rekod Pele. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg