BARCELONA: Kelab bola sepak Barcelona menjuarai La Liga buat kali ke-28 selepas bintang muda, Lamine Yamal, menjaringkan satu lagi gol menakjubkan dalam kemenangan derby ke atas Espanyol.
Pemain berusia 17 tahun itu menyempurnakan sepakan cantik ke penjuru kiri atas gol dari luar kotak penalti, mengesahkan Barcelona sebagai juara liga.
Berbaki dua perlawanan, Barcelona kini memiliki kelebihan tujuh mata yang tidak dapat dikejar oleh pencabar terdekat, Real Madrid.
Fermin Lopez menambah gol kedua dalam masa kecederaan hasil hantaran Yamal.
Namun, perlawanan dihentikan seketika pada separuh masa pertama apabila berlaku insiden di luar stadium.
Sebuah kereta telah merempuh sekumpulan penyokong, menyebabkan 13 orang cedera dan empat dihantar ke hospital – namun tiada yang dilaporkan dalam keadaan serius.
Perlawanan disambung semula tidak lama selepas itu, dan Barcelona membuka jaringan pada minit ke-53.
Ia merupakan gol ke-17 Yamal dalam musim 2024/25, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang pemain paling berkebolehan di dunia.
Espanyol kehilangan Leandro Cabrera pada 10 minit terakhir selepas dilayangkan kad merah kerana menghayun tangan dan mengasari Yamal ketika perebutan bola.
Setelah menjulang Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol, kejuaraan La Liga itu mengesahkan kejayaan ketiga buat Hansi Flick dalam musim pertamanya sebagai pengurus Barcelona.
Skuad kendalian Flick turut menewaskan Real Madrid dalam kededua final kejohanan Sepanyol dan memenangi kesemua empat pertemuan El Clasico musim ini.
“Kami sentiasa berfikiran positif dan dapat merasakannya dalam sesi latihan. Di Barca, anda perlu menang kejuaraan dan tiga kejuaraan ini sangat hebat.
“Kekuatan mental sangat penting. Itulah yang kami tekankan sepanjang musim. Kejayaan di Piala Super Januari lalu memberikan kami keyakinan.
“Seronok melihat pemain mencapai tahap tertinggi dan ramai yang mencatatkan kelakonan lebih baik,” kata Flick kepada agensi berita, Movistar Plus.
Barcelona, yang turut mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum tewas secara dramatik kepada Inter Milan, layak dinobatkan sebagai juara setelah meledak 169 gol dalam semua pertandingan.
Mereka hampir meraih kejuaraan lebih awal, namun Real Madrid menang saat akhir ke atas Mallorca pada 15 Mei.
Justeru, Barca perlu menang ke atas Espanyol untuk mengesahkan kejuaraan – walaupun perlu menempuh saat mendebarkan apabila Urko Gonzalez dan Javi Puado mensia-siakan peluang terbaik buat tuan rumah.
Namun, Yamal muncul sebagai wira sekali lagi dengan jaringan gol hasil hantaran Dani Olmo.
Beliau kemudian mencipta peluang untuk Lopez yang menjaringkan gol, yang terkena pemain lawan, sebelum wisel penamat.
Berdasarkan sejarah, Barcelona lebih kerap disahkan sebagai juara di gelanggang Espanyol berbanding di tempat sendiri sejak abad ke-21.
Mereka turut menjuarai liga di sana pada 2023, manakala keputusan seri Real Madrid di Stadium RCDE pada 2013 juga menyaksikan Barca dinobatkan juara.
Sejak 1990-an, mereka hanya menang dua kali di Stadium Nou Camp untuk memastikan kejuaraan liga.
Barcelona akan mengadakan perarakan juara menaiki bas terbuka di kota itu pada 16 Mei, dan akan menerima trofi kejuaraan di perlawanan terakhir menentang Villarreal pada 19 Mei di Stadium Nou Camp. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg