LONDON: Kobbie Mainoo hanya ingin menempa tempat dalam kesebelasan utama Manchester United di awal musim ini.
Namun, beliau kemudian menjadi wira apabila jaringannya merupakan gol kemenangan buat kelab tersebut dalam final Piala FA menentang Manchester City.
Mainoo, 19 tahun, bak seorang yang cukup matang semasa mengawal bola di bahagian midfield – begitu tenang sehingga membawa kejayaan buat pasukan itu.
Menurut media, selepas membuat penampilan buat United dalam peringkat suku akhir Piala Carabao menentang Charlton pada Januari 2023, Mainoo bermain seganda lebih banyak dalam musim itu – berbanding 87 minit dalam musim sebelumnya.
Ternyata sejak itu beliau sudah mula menunjukkan kemampuannya dan kemudian mendapat tempat dalam pasukan bimbingan Erik ten Hag dalam musim kali ini.
namun, satu perlawanan persahabatan menentang Real Madrid berakhir dengan kecederaan dan beliau memerlukan pembedahan.
Anak kelahiran di Stockport, England itu kemudian terpaksa menjalani pemulihan jangka panjang yang berakhir apabila beliau bermain dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) pada November menentang Everton.
United menang 3-0 dalam perlawanan tersebut.
Kemajuannya yang pantas begitu menyerlah apabila beliau kemudian menjaringkan gol kemenangan United ke atas Wolverhampton Wanderers pada Februari.
Beliau juga dipuji semasa menyarung jersi England menentang Brazil pada Mac, ditabal selaku pemain terbaik England dalam perlawanan persahabatan menentang Belgium, dan jaringannya yang cantik semasa United seri 2-2 dengan Liverpool pada April.
Dan yang terkini, beliau menjaringkan gol kemenangan United dalam final Piala FA menentang Manchester City.
United menang 2-1 dalam pertandingan.
“Ia merupakan musim yang tidak menentu tapi mengakhirinya dengan final merupakan satu impian jadi nyata buat peminat kelab ini sama seperti saya.
“Memang sebelum ini saya mengalami kecederaan itu tapi saya telah sembuh.
“Di padang banyak yang telah berubah. Ramai orang yang kini mengenali saya.
“Tapi di rumah, keluarga sekeliling saya memastikan saya kenali diri dan tiada apa yang berubah, meskipun apabila saya ke kedai berdekatan saya, mendapat sedikit perhatian (orang awam),” katanya.
Menceritakan tentang kecederaan yang dialaminya, Mainoo berkata ia merupakan detik yang amat sukar buatnya.
“Ia memang detik sukar dan ia memerlukan saya mengambil beberapa hari untuk mengatasi minda saya ketika itu.
“Tapi selepas mengatasinya, saya tumpukan kepada usaha untuk kembali cergas.
“Memang saya sedar tiada apa yang boleh saya lakukan, dan yang penting hanyalah pemulihan saya.
“Saya mempunyai keluarga baik yang memberi dorongan dan membantu saya selepas pembedahan dan saya hanya perlu tumpukan kepada usaha untuk kembali cergas,” ujarnya.
Beliau menambah pada ketika itu, tumpuannya bukan untuk menyarung jersi England, tapi untuk bersama pasukan United.
“Jadi berjaya ke final merupakan impian saya,” tambahnya.
Kemenangan pada 25 Mei di Wembley ke atas City bak merawat luka United yang mengakhiri musim EPL kali ini di tangga kelapan.
Menewaskan pasukan City sudah pasti sesuatu yang membahagiakan Mainoo memandangkan ramai orang di sekelilingnya tempat beliau membesar – Stockport – merupakan peminat City.
Semasa musim EPL berlangsung, United tewas dua kali kepada pasukan City yang dibimbing Pep Guardiola – 0-3 dan 1-3.
Namun dua perlawanan di akhir musim, United menang ke atas Newcastle 3-2 dan 2-0 ke atas Brighton merupakan keputusan memberangsangkan.
“Kami mempunyai semangat juang yang kuat sebagai sebuah pasukan.
“Sebabnya kami mempunyai pemain yang boleh memimpin pasukan ini dan boleh menyuntik tenaga yang diperlukan,” tambahnya.
Mengenai pemilihannya dalam skuad England, Mainoo berkata beliau amat teruja apabila secara rasmi beliau terpilih dalam pasukan antarabangsa itu.
“Saya enggan fikirkan terlalu banyak mengenainya, tapi saya akan tetap ke kem latihan dan sekiranya terpilih ke Euro, ia sesuatu yang menyeronokkan,” ujarnya.
England tergolong dalam kumpulan C bersama Slovenia, Denmark dan Serbia.
Perlawanan pertama England adalah untuk menentang Serbia pada 17 Jun; disusuli Denmark pada 21 Jun; dan kemudian Slovenia pada 26 Jun. – Agensi berita.
“
Ia merupakan musim yang tidak menentu tapi mengakhirinya dengan final merupakan satu impian jadi nyata buat peminat kelab ini sama seperti saya... Di padang banyak yang telah berubah. Ramai orang yang kini mengenali saya.Tapi di rumah, keluarga sekeliling saya memastikan saya kenali diri dan tiada apa yang berubah, meskipun apabila saya ke kedai berdekatan, saya mendapat sedikit perhatian (orang awam).

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg