Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ten Hag perlu menang untuk selamatkan kerjaya

May 24, 2024 | 3:25 PM
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, mengalami risiko dipecat akibat musim Manchester United yang mengecewakan. Namun beliau percaya bahawa kemenangan Piala FA ke atas Manchester City pada 25 Mei berpotensi menyelamatkan kerjayanya.
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, mengalami risiko dipecat akibat musim Manchester United yang mengecewakan. Namun beliau percaya bahawa kemenangan Piala FA ke atas Manchester City pada 25 Mei berpotensi menyelamatkan kerjayanya. - Foto REUTERS

LONDON: Erik ten Hag bertekad menjulang Piala FA dan meneruskan projek Manchester Unitednya.

Beliau hadapi tekanan semasa membuat persiapan menjelang final menentang Manchester City pada 25 Mei.

United mengakhiri musim ini di tempat kelapan Liga Perdana England (EPL) - kedudukan terendah sejak 1990.

Akibat prestasinya yang kurang memuaskan, United dikhabarkan akan menggantikan Ten Hag dengan sama ada pengurus England, Gareth Southgate; bekas pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino; pengurus Bayern Munich, Thomas Tuchel; atau pengurus Ipswich, Kieran McKenna.

Namun Ten Hag yakin bahawa dengan memenangi Piala FA pertama United sejak 2016, ia boleh mengubah nasib beliau.

Dengan memenangi piala ini, United boleh membalas kekalahan mereka kepada City pada peringkat akhir tahun lepas dan memastikan pasukannya layak ke Eropah.

City menjadi juara EPL musim ini - Piala EPL keempat mereka dalam empat musim berturut-turut, dan enam Piala EPL dalam tempoh tujuh tahun.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola telah menewaskan United dua kali musim ini, dan Ten Hag melihat kemenangan ke atas City kali ini berpotensi menyelamatkan musim beliau dan United.

“Ia tentang memenangi piala. Kami mempunyai peluang yang baik untuk mendapatkan piala. 10 tahun kebelakangan ini, kelab ini tidak berjaya mendapat begitu banyak piala tetapi kami mempunyai peluang mendapat dua piala dalam masa dua tahun,” kata beliau.

“Ia bukan mudah tetapi kami harus usahakannya. Kami harus percaya kami boleh. Kami tahu apabila kami berdepan dengan pasukan yang bagus, kami bermain di tahap terbaik kami dan perkara yang sama harus berlaku pada 25 Mei,” tambah beliau.

Pasukan Ten Hag dibebani kecederaan pemain utamanya seluruh musim ini.

Namun, ramai daripada mereka sempat pulih dan mungkin beraksi dalam final Piala FA.

Lisandro Martinez dan Raphael Varane telah kembali bermain sepenuhnya, malah Victor Lindelof, Mason Mount dan Anthony Martial turut berlatih baru-baru ini.

Hanya Harry Maguire dan Luke Shaw yang disahkan tidak dapat bermain.

Marcus Rashford tidak dipilih untuk pasukan England selepas musim yang mengecewakan bagi beliau.

Namun, Ten Hag mencabar Rashford untuk membuktikan bahawa pilihan Southgate salah pada peringkat akhir menentang City nanti.

“Apabila prestasi anda menurun, kami juga boleh melihatnya sebagai sumber motivasi, dan itu apa yang saya dapat lihat semasa latihan,” jelas Ten Hag.

“Beliau (Rashford) rasa amat bersemangat. Biar persembahannya yang membuktikan bahawa beliau benar-benar berbakat.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg