Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gol Amad hidup peluang United ke pertandingan Eropah

May 16, 2024 | 1:29 PM
Pemain tengah Manchester United Amad Diallo (kanan) meraikan gol bersama kaptennya, Bruno Fernandes dalam kemenangan 3-2 ke atas Newcastle United.
Pemain tengah Manchester United Amad Diallo (kanan) meraikan gol bersama kaptennya, Bruno Fernandes dalam kemenangan 3-2 ke atas Newcastle United. - Foto AFP

MANCHESTER: Pemain Manchester United Amad Diallo menjaringkan gol Liga Perdana England (EPL) pertama dan memperolehi satu ‘assist’ untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 3-2 ke atas Newcastle United pada 16 Mei.

Pasukan bimbingan Erik ten Hag kekal di tempat kelapan EPL dengan 57 mata, sama seperti Newcastle yang menduduki tempat ketujuh.

Chelsea pula menduduki tempat keenam dengan 60 mata selepas menewaskan Brighton & Hove Albion 2-1 pada 16 Mei juga.

“Kami masih mempunyai satu perlawanan EPL, dan kemudian perlawanan terbesar musim ini, perlawanan peringkat akhir Piala FA (pada 25 Mei menentang juara bertahan Manchester City),” kata kapten United, Bruno Fernandes, kepada pihak media.

“Ia memang musim yang mencabar... penyokong kami sungguh hebat dan telah sokong kami sepanjang musim. Kami ingin lakukan lebih baik lagi kerana penyokong kami layak mendapatkan itu,” tambahnya.

Kobbie Mainoo memanfaatkan kelalaian pertahanan Newcastle pada minit ke-31, apabila beliau meloloskan diri daripada perangkap ofsaid akibat kecuaian Kieran Trippier untuk menjaringkan gol.

Anthony Gordon menyamakan kedudukan pada minit ke-49 tetapi United mendapatkan semula kelebihan melalui jaringan Diallo selepas tendangan sudut Fernandes pada minit ke-57.

Rasmus Hojlund, yang menyertai perlawanan pada minit ke-82, hanya mengambil dua minit untuk menjaringkan gol selepas melepasi dua pemain pertahanan Newcastle.

Lewis Hall berjaya mendapatkan satu lagi gol untuk Newcastle pada masa tambahan, namun United berjaya mempertahankan kemenangan mereka.

“Musim ini belum berakhir lagi. Kami akan ke Brighton untuk mendapatkan tiga mata dan kemudian kami akan ke Wembley,” kata Ten Hag.

“Dan saya berjanji, pemain kami akan memberikan segalanya untuk mendapatkan piala tersebut dan membawanya pulang ke Old Trafford,” tambahnya.

Jikalau pasukan Ten Hag memenangi Piala FA, mereka akan bermain di Liga Eropah pada musim depan.

Namun, jika mereka gagal untuk mendapatkan kemenangan, mereka perlu mengakhiri musim ini di tempat ketujuh untuk melayakkan diri ke pertandingan Eropah.

United, yang tidak pernah mengakhiri musim EPL di bawah tempat ketujuh, perlu mendapatkan keputusan lebih baik daripada Newcastle yang akan menentang Brentford pada 19 Mei, untuk mendapatkan tempat ketujuh.

Kededua pasukan mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol dan apabila Gordon dikasari di dalam kotak penalti United, pasukan Newcastle merayu kepada pengadil perlawanan untuk mendapatkan penalti.

Namun selepas semakan video penolong pengadil (VAR), penalti tersebut tidak diberikan.

“Saya tidak faham tujuan VAR. (Sofyan) Amrabat mengasari saya dan ia jelas bahawa ia satu penalti,” Gordon beritahu kepada media.

“Baiki VAR ataupun jangan gunakannya langsung,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg