Topik diikuti
Pergi ke BHkuBintang muda Max Dowman tunjuk ‘taring’, bantu Arsenal benam Ipswich 4-2
Bintang muda Max Dowman tunjuk ‘taring’, bantu Arsenal benam Ipswich 4-2
IPSWICH (England): Pemain remaja Arsenal, Max Dowman, menyerlahkan kehebatannya apabila menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Ipswich Town 4-2 dalam saingan Piala Carabao di padang lawan pada 15 September.
Namun, pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menegaskan agar pembangunan pemain itu tidak dilakukan secara terburu-buru.
Pemain berusia 16 tahun itu beraksi dalam 13 perlawanan musim lalu, namun saingan kali ini menyaksikan beliau lebih banyak memanaskan bangku simpanan sehinggalah diberi peluang pada perlawanan menentang Ipswich.
Beliau menjaringkan dua gol kemas di Portman Road bagi membuktikan kemampuan serta menuntut minit permainan lebih banyak dalam saingan Liga Perdana England (EPL).
Namun, Arteta memberi amaran: “Beliau baru berusia 16 tahun dan kami perlu sangat berhati-hati.”
“Kami tidak mahu menyekat kemajuannya, kami tidak mahu memperlahankan langkahnya. Kami perlu membentuknya dan kami tahu apa yang beliau perlukan. Beliau pasti akan dapat peluang.”
Gol pertamanya pada minit ketujuh dihasilkan menerusi tindakan solo yang hebat apabila beliau meluru masuk, menewaskan pertahanan lawan sebelum menendang bola ke dalam gawang.
“Sangat luar biasa, beliau sukar dijangka, boleh bergerak ke mana-mana arah, sangat lincah dan menarik untuk ditonton,” kata Arteta.
Bagi gol kedua yang dijaringkan pada awal separuh masa kedua, Dowman menunjukkan ketenangan tinggi untuk melepaskan rembatan tepat ke sudut bawah gawang.
Beliau merupakan pemain berusia 16 tahun kedua yang berjaya menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan buat kelab Liga Perdana bagi semua pertandingan, selepas pencapaian Wayne Rooney bagi Everton menentang Wrexham pada 2002 – yang juga dilakukan dalam saingan Piala Liga.
“Dengan tuntutan besar yang kami tetapkan, untuk beraksi pada tahap ini adalah sangat sukar, namun beliau dapat menanganinya dengan lebih baik dari semasa ke semasa,” tambah Arteta.
“Beliau pemain yang luar biasa disebabkan perwatakan yang dimilikinya serta minat besar beliau untuk beraksi di pentas utama.
“Bukan mudah (untuk mengurus perhatian terhadapnya), saya faham, tetapi tugas kami adalah untuk menjaganya. Beliau baru berusia 16 tahun. Anda jarang melihat perkara ini dalam liga ini.
“Di liga lain di Eropah, konteksnya berbeza sama sekali. Namun dalam liga ini, dengan segala tuntutan yang ada, kami perlu memastikan setiap kali beliau diberi peluang, beliau berada dalam persekitaran dan persediaan yang betul.”
Mungkin Dowman menjangkakan beliau akan mendapat lebih banyak minit permainan pada musim ini lebih-lebih lagi selepas memecahkan beberapa rekod pada musim lalu.
Beliau menjadi pemain termuda yang pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara pada usia 15 tahun, pemain kesebelasan utama termuda Arsenal serta pemain termuda Liga Perdana yang beraksi dalam kesebelasan utama, menjaringkan gol dan memenangi kejuaraan.
Dalam 13 penampilan bagi semua pertandingan musim lalu, beliau menjaringkan satu gol penting ketika menentang Everton bagi mengesahkan kemenangan skuadnya dalam pemburuan kejuaraan liga.
Gol itu menyaksikan beliau memecut membawa bola merentas separuh padang sebelum menjaringkannya ke dalam gawang yang dibiar kosong akibat tindakan penjaga gol, Jordan Pickford, yang meninggalkan kawasannya.
Jaringan berkenaan turut dipilih sebagai ‘Gol Terbaik Musim Ini’ buat Arsenal.
Lebih hebat lagi, pencapaian tersebut diraih sewaktu beliau sedang menduduki peperiksaan sekolah.
Beliau menerima keputusan GCSE dari Sekolah Brentwood pada musim panas lalu sebelum menamatkan persekolahan untuk memberi tumpuan penuh kepada kerjaya bola sepak.
Namun, merebut tempat dalam skuad utama Arsenal tetap menjadi tugas mencabar buat Dowman, lebih-lebih lagi ketika juara Liga Perdana itu berada pada prestasi terbaik mereka.
Arsenal telah memenangi kesemua tujuh perlawanan merentasi empat pertandingan musim ini.
Dowman sekadar memanaskan bangku simpanan dalam empat perlawanan tersebut dan tidak disenaraikan bagi dua aksi lain, sebelum diturunkan beraksi bagi keseluruhan 90 minit menentang Ipswich Town.
The Gunners mengekalkan barisan serangan yang sama dalam setiap perlawanan liga setakat ini, merangkumi Bukayo Saka, Christos Tzolis, Martin Odegaard dan Kai Havertz.
Namun, mengambil kira tindakan Arteta yang pernah meletakkan kepercayaan kepadanya pada detik-detik penting perebutan kejuaraan musim lalu, Dowman berharap dapat memainkan peranan pembantu secara lebih kerap.
“Beliau memiliki bakat luar biasa,” kata rakan pasukan, Mikel Merino.
“Beliau baru berusia 16 tahun, jadi beliau memerlukan banyak bimbingan terutamanya dari segi taktik. Namun saya tidak boleh menafikan kehebatannya. Beliau sentiasa ingin belajar dan kami akan terus membantunya.”
Sebagai antara pemain berusia 16 tahun terbaik di dunia ketika ini, tidak mustahil untuk beliau mendapat tempat dalam skuad England menjelang Euro 2028. – Agensi berita.

