Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bintang muda Mercedes berlumba kejar kerjaya F1, tamatkan pengajian

Tamat perlumbaan di tempat keempat di Australia; keenam di China, Jepun; dan ketiga di Canada
Jun 18, 2025 | 4:04 PM
Pelumba termuda Mercedes, Andrea Kimi Antonelli.
Pelumba termuda Mercedes, Andrea Kimi Antonelli. - Foto AFP

Sepanjang sejarah 75 tahun Formula Satu (F1), hanya empat pelumba yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam enam tempat teratas pada setiap empat perlumbaan pertama mereka.

Jackie Stewart merupakan pemandu pertama mencapai pencapaian tersebut apabila beliau membuat penampilan sulungnya pada 1965, sebelum menjadi juara dunia tiga kali.

Kemudian, Lewis Hamilton menyamai rekod itu pada 2007 – kini beliau merupakan antara legenda F1 dengan lebih 100 kemenangan perlumbaan dan tujuh gelaran dunia.

Kini, kelab eksklusif ini telah disertai Andrea Kimi Antonelli, 18 tahun, yang memulakan perjalanan F1 bersama Mercedes dengan cemerlang tahun ini.

Beliau menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada pembuka musim di Australia, keenam di China dan Jepun, dan ketiga di Canada – semua dalam empat perlumbaan pertama beliau.

Keputusan beliau di Canada bermakna beliau merupakan pemandu Italy pertama yang berjaya ke podium sejak 2009.

Apa yang mengagumkan, Antonelli menyesuaikan diri dengan kehidupan F1 sambil menghadapi satu cabaran besar dalam hidupnya – peperiksaan akhir sekolahnya.

Tiada pelumba lain dalam F1 yang menghadapi tekanan itu, terutama kerana Antonelli merupakan pelumba termuda dalam F1 sejak Verstappen memulakan kerjayanya pada umur 17 tahun pada 2015.

Namun, iltizamnya untuk menamatkan pengajian membezakan beliau daripada ramai rakan sebaya yang memilih untuk berhenti sekolah demi memberikan tumpuan kepada F1.

Peperiksaan yang sedang dihadapinya merupakan diploma “maturità” dari Italy, yang merupakan kelayakan utama akhir sekolah menengah – setaraf dengan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ di United Kingdom (UK) dan peperiksaan SAT atau ACT di Amerika Syarikat.

Antonelli mengikuti pengajian secara dalam talian melalui sekolah ITCS Gaetano Salvemini, yang memberi fleksibiliti untuk beliau terus memburu kerjaya F1-nya .

Antonelli berkongsi tentang pengajiannya dalam temu bual bersama podcast, The Fast and the Curious, sebelum Grand Prix Jepun, dan menyedari betapa pentingnya bagi beliau menamatkan peperiksaan terakhir tersebut.

“Saya sudah lama bersekolah, jadi akan sayang jika berhenti di tahun terakhir.

“Ibu saya juga sangat mengambil berat tentang soal ini, jadi saya lakukan juga untuk beliau,” akuinya.

Antonelli menyukai subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani, tetapi kurang gemar Matematik.

Walaupun tumpuan utama Antonelli adalah F1, dan peperiksaan itu lebih bersifat formaliti pada 2025, Mercedes mengatur jadual perjalanan agar beliau dapat menghadiri peperiksaan secara bersemuka.

Permulaan cemerlang Antonelli dalam F1 tidak mengejutkan orang di sekelilingnya.

Mercedes telah melabur dalam kerjayanya sejak beliau berlumba go-kart, dan berharap suatu hari nanti Antonelli dapat menyertai George Russell (pelumba junior Mercedes lain) dalam pasukan utama mereka, kerana potensi besar dilihat pada dirinya.

Walaupun Hamilton mengumumkan perpindahan ke Ferrari pada Februari 2025, Mercedes tetap berpegang pada rancangan memasukkan Antonelli ke dalam F1.

Persiapan Mercedes, termasuk hampir 10,000 kilometer ujian perlumbaan persendirian, sangat membantu Antonelli mencapai tahapnya sekarang.

Pelumba berusia 18 tahun itu juga banyak meluangkan masa pada 2024 untuk mengenali jurutera masa depannya agar apabila tiba musim 2025, segalanya berjalan lancar dan kurang kejutan berbanding ketika berlumba di Formula Dua.

Namun, Mercedes hanya dapat benar-benar tahu bagaimana Antonelli dapat bertahan apabila beliau berada dalam situasi perlumbaan sebenar F1.

Dan cara beliau mengatasi cabaran sangat mengagumkan pasukan.

Di Australia, beliau tersingkir dalam sesi kelayakan pada suku pertama tetapi masih berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas berjaya membuat pertukaran tayar tepat pada masanya dalam keadaan hujan yang sukar.

Berbeza dengan pelumba baru lain yang banyak melakukan kesilapan, Antonelli tetap tenang untuk meraih keputusan hebat pada penampilan sulungnya.

Lebih mengagumkan lagi adalah perlumbaannya di Jepun.

Beliau pada mulanya rasa “keliru” dengan kereta ketika sesi latihan di litar Suzuka yang berkelajuan tinggi, tetapi kemudian menemui rentak yang baik untuk layak dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Beliau turut mendahului pusingan pertama dan mencatat pusingan terpantas pada separuh kedua perlumbaan.

“Prestasi beliau hebat sejauh ini jadi saya tidak terkejut,” kata Russell mengenai permulaan Antonelli.

“Kami saksikan perlumbaan yang sengit setakat ini.

“Kededua pemandu kami konsisten dalam setiap perlumbaan, dan perkara itu sangat membantu untuk kejuaraan.

“Kami saling membantu untuk dapatkan prestasi terbaik.”

Kededua pelumba memberi sumbangan penting kepada permulaan musim terbaik dan paling tekal Mercedes sejak 2021, dengan pasukan kelihatan seperti sudah mengatasi masalah dengan jenis kereta generasi ini.

Berbeza dengan pelumba baru terdahulu yang pernah disanjung sebagai bintang masa depan tetapi gagal memenuhi harapan, Antonelli berjaya memenuhi jangkaan yang diletakkan kepada beliau buat masa ini pada 2025.

Sudah tentu akan ada cabaran, tapi Mercedes yakin Antonelli mempunyai kematangan dan kekuatan mental untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang datang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg