BARCELONA: Pemain sayap Barcelona berusia 18 tahun, Lamine Yamal, diberikan jersi nombor 10, yang sebelum ini dipakai oleh ikon kelab, Lionel Messi, sebagai pengiktirafan atas musim luar biasa bagi remaja itu.
Yamal memperoleh jersi tersebut setelah menamatkan musim gemilang dengan menjaringkan 18 gol dan 25 assist, setelah Barcelona memenangi treble domestik La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol serta melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara.
Remaja tersebut, yang memakai jersi nombor 19 musim lalu, telah melanjutkan kontraknya pada Mei lalu, yang akan menyaksikan beliau beraksi untuk Barcelona hingga 2031.
Yamal menerima jersi nombor 10 pada Rabu lalu daripada presiden kelab, Joan Laporta, di acara yang istimewa, lapor Reuters.
Jersi nombor 10 sangat bermakna di stadium Camp Nou, kerana dipakai oleh Messi sepanjang tempoh kerjayanya di kelab tersebut.
Pemain itu memenangi 34 trofi bersama Barcelona, sebelum meninggalkan kelab itu sebagai penjaring gol utama sepanjang masa dengan jaringan 672 gol. Messi terpaksa pergi pada musim 2020-21 akibat masalah kewangan kelabnya.
Nombor itu juga dipakai oleh pemain hebat terdahulu seperti Diego Maradona dan Ronaldinho, tetapi Yamal berkata beliau tidak akan dibebani oleh warisan tersebut.
“Messi membina warisannya dengan nombor 10, saya akan melakar jalan saya sendiri,” ujar Yamal kepada wartawan.
“Mereka ketiga-tiganya pemain legenda bola sepak dan kelab. Kanak-kanak berimpi mengenggam sebahagian bakat Messi, Ronaldinho dan Maradona... Saya akan cuba meneruskan warisan itu.
“Mulanya, saya mengimpikan membuat kemunculan sulung di Barca dan memakai jersi nombor 10. Semua orang yang membesar di sini mempunyai impian sebegitu. Saya bersyukur kepada kelab ini.”
Mengikuti pemergian Messi dari Barcelona, jersi nombor 10 mulanya diberikan kepada pemain sayap muda, Ansu Fati.
Namun, pemain berusia 22 tahun itu gagal menepati jangkaan dan akhirnya dipinjamkan ke Brighton & Hove Albion di Liga Perdana England.
Fati akan mewakili kelab perancis AS Monaco sebagai pemain pinjaman bagi musim akan datang, lantas memberi laluan kepada Yamal mewarisi salah satu nombor terkenal dalam sukan bola sepak.
Setelah memenangi Kejohanan Eropah bersama kelab negara Sepanyol pada tahun lalu, Yamal menyatakan: “Saya belum lagi menang Liga Juara-Juara dan Piala Dunia, inilah matlamat saya sekarang.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg