Diego Forlan, yang merupakan bekas penyerang Uruguay dan Manchester United, mengimbas kembali pengalaman paling mencabar dalam kerjayanya – yang berlaku di gelanggang tenis, bukan di padang bola sepak – semasa beliau bersama United.
Semasa usia mudanya, Forlan merupakan pemain tenis yang sangat berbakat, dan hingga usia remaja, beliau mempertimbangkan untuk menjadi pemain tenis profesional.
Akhirnya, beliau memilih bola sepak, mengikuti jejak datuk, ayah, dan abangnya.
Pada 2003, setelah berusia 24 tahun, Forlan bermain untuk juara bertahan Liga Perdana, Manchester United.
Semasa lawatan pramusim di Amerika Syarikat, kelab itu mendapat akses ke gelanggang tenis di ibu pejabat Nike di Portland, Oregon.
Forlan teringin untuk bermain tenis dan beliau dicabar oleh rakan sepasukannya di United, penyerang antarabangsa Belanda, Ruud van Nistelrooy.
Seluruh skuad, termasuk Rio Ferdinand, Gary Neville, dan Paul Scholes, berkumpul untuk menonton.
Sir Alex Ferguson, pengurus mereka ketika itu juga turut menyaksikan perlawanan tersebut.
“Semua orang jangka saya akan menang, tetapi tekanan sangat besar dan saya fikir, ‘Saya mesti menang!’” kata Forlan sambil ketawa mengenang kembali peristiwa tersebut.
Pemain Uruguay berusia 45 tahun itu menceritakan kisahnya dan menjelaskan bagaimana beliau beralih ke pertandingan tenis jelajah dunia, ITF Masters Tour.
Beliau bermula dalam kategori usia 35 tahun ke atas, beralih ke kategori 40 tahun ke atas dan kini bermain dalam kategori 45 tahun ke atas setelah mencapai usia 45 tahun pada Mei.
Forlan telah berganding dengan pemain Argentina, Federico Coria, untuk menentang pasangan Bolivia, Boris Arias dan Federico Zeballos, dalam acara beregu lelaki di Terbuka Uruguay – satu acara di bawah ATP Tour utama.
Acara itu turut disertai oleh pemain seperti pemain Sepanyol Carlos Alcaraz; pemain Italy, Jannik Sinner; dan pemain Serbia, Novak Djokovic.
Forlan bermain di tahap ITF 1000, iaitu peringkat tertinggi dalam siri kejohanan biasa mereka.
Di situ, beliau berhadapan dengan bekas jurulatih, pemain peringkat kolej, dan mereka yang pernah meraih mata ATP dengan memenangi perlawanan profesional pada masa lalu.
Forlan, yang masih baik dari segi fizikal dan dengan rambut panjangnya yang ikonik, telah menyertai empat kejohanan Masters (dua di Montevideo, satu di Punta del Este – sebuah bandar lain di Uruguay, dan terkini di Lima, Peru).
Beliau mara ke suku akhir dalam acara perseorangan di Lima, menewaskan lawannya dengan mudah dalam tiga perlawanan pertama, dan bersama pasangannya menjuarai acara beregu tanpa sebarang kekalahan.
Forlan mengakui beliau memiliki daya saing yang kuat di gelanggang, walaupun kini bermain di hadapan hanya beberapa ratus peminat tenis, berbanding lebih 50,000 peminat ketika beliau bermain bola sepak.
Sebagai pemain bola sepak, Forlan seorang yang amat cergas, mahir secara teknikal, dan bermain dengan kedua belah kaki dengan baik.
Dua setengah tahun di Manchester United (2002 hingga 2004) menyaksikan Forlan mengatasi permulaan buruk tanpa gol selama lapan bulan dan 27 penampilan selepas tiba dari Independiente, Argentina.
Forlan menjaringkan dua gol yang diingati di Stadium Anfield pada Disember 2002 untuk mengalahkan Liverpool, dan memenangi hati penyokong dengan komitmennya yang tidak dapat dipertikaikan.
Selepas United, beliau menikmati kejayaan di Sepanyol bersama Villarreal, membantu pasukan itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (2005 hingga 2006), sebelum berpindah ke Atletico Madrid.
Forlan memenangi Trofi Pichichi – penjaring gol terbanyak La Liga – di kedua-dua Villarreal dan Atletico Madrid.
Di Atletico, beliau menjaringkan dua gol dalam final Liga Europa 2009 hingga 10 untuk menewaskan Fulham 2-1.
Dalam Piala Dunia 2010 pula, lima golnya membantu Uruguay mara ke separuh akhir.
Secara keseluruhan, Forlan menjaringkan lebih 300 gol dalam karjayanya yang membawanya ke Italy, Brazil, Jepun, India, dan Hong Kong, serta memenangi Anugerah Bola Emas (pemain terbaik) selepas berkongsi gelaran penjaring gol terbanyak dalam Piala Dunia 2010.
Pada usia 40 tahun, beliau bersara daripada bola sepak profesional.
Walaupun Forlan sering memiliki kelebihan fizikal dalam perlawanan, beliau berdepan dengan lawan yang lebih berpengalaman dalam tenis, dan salah satu cabaran terbesar adalah dari segi mental.
Sepanjang kerjaya bola sepaknya, Forlan sudah terbiasa untuk merebut peluang merembat bola secepat mungkin.
Kini, beliau terpaksa mengubah cara beliau bertindak untuk menyesuaikan diri dengan kesabaran yang diperlukan dalam tenis.
“Dalam bola sepak, banyak perlawanan saya tidak bermain dengan baik, tetapi saya tetap menjaringkan gol,” kata Forlan.
“Dalam tenis, kalau kehilangan satu mata, tidak bermakna ‘perlawanan tamat’. Masih ada masa untuk perbaiki permainan,” tambahnya.
Ranking ITF Forlan dalam kategori 45 tahun ke atas adalah di kedudukan 108 untuk perseorangan dan kedudukan 88 untuk beregu, daripada sekitar 2,000 pemain yang bersaing dalam pelbagai kejohanan.
Kedudukannya dijangka meningkat apabila beliau menyertai lebih banyak kejohanan.
Prestasinya kini semakin meningkat dengan cepat dan beliau mahu terus berusaha untuk memperbaiki permainannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg