Bekas pemain tengah Manchester United, Michael Carrick, tidak asing dengan persaingan sengit ‘derby Manchester’.
Namun, pertembungan pada 17 Januari ini mungkin antara derby paling sukar pernah dihadapinya.
Dengan prestasi United yang semakin tidak menentu dan kelab jirannya, Manchester City, pula berada dalam rentak kemenangan, tugas yang menanti Carrick kelihatan amat berat sekali.
Kekuatan City semakin digeruni selepas ketibaan Antoine Semenyo, yang membawa kelincahan serta ketajaman tambahan kepada jentera serangan berbisa kelab kendalian Pep Guardiola.
Sebagai pengurus sementara yang baru dilantik pada 13 Januari, Carrick pula tidak mempunyai masa untuk melakukan perubahan besar, walaupun beliau percaya dengan kebolehan pasukan.
“Saya telah bekerjasama dengan beberapa pemain tersebut sebelum ini dan tentunya terus mengikuti rapat perkembangan pasukan ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap bakat, dedikasi serta keupayaan mereka untuk mencapai kejayaan di sini.”
Namun, persoalan utama menjelang perlawanan ini tetap adalah sama ada beliau mampu membimbing anak didiknya itu mengelakkan daripada ditimpa keputusan memalukan di hadapan penyokong sendiri di Old Trafford.
United melangkah ke derby ini selepas melalui satu tempoh yang penuh ketidaktentuan.
Kekalahan 1-2 kepada Aston Villa pada 22 Disember mendedahkan kelemahan pasukan, sebelum mereka mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Newcastle United yang menaikkan semangat seketika.
Namun, kemenangan itu gagal menjadi titik kebangkitan.
Tiga keputusan seri berturut-turut dalam liga menentang Wolves, Leeds United dan Burnley menyerlahkan masalah lama, khususnya di bahagian pertahanan serta kegagalan memanfaatkan peluang ketika menguasai sebahagian besar permainan.
Kekecewaan itu memuncak apabila United tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Brighton pada 11 Januari, sekali gus menambahkan tekanan terhadap kempen yang semakin hambar.
Dari segi skuad, United mungkin menerima sedikit suntikan tenaga.
Pemain pertahanan Matthijs de Ligt masih belum cergas akibat kecederaan, namun terdapat harapan Bryan Mbeumo dan Amad Diallo dapat kembali selepas pasukan negara masing-masing tersingkir di peringkat suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon).
Kehadiran mereka berpotensi memberikan kelincahan dan kreativiti tambahan yang amat diperlukan United ketika ini.
Sebelum ke Afcon, kededua pemain itu mempunyai permulaan EPL yang menggalakkan.
Mbeumo muncul sebagai penjaring terbanyak kelab dengan enam gol daripada 16 perlawanan.
Amad pula telah menjaringkan dua gol dan tiga ‘assist’ (hantaran yang berkesudahan dengan gol pasukan) bersama United musim ini.
Beliau memainkan peranan penting dengan tenaga dan semangat juang yang tinggi untuk dapatkan bola semula, bukan sahaja dalam aspek serangan tetapi juga ketika membantu pasukan bertahan.
City pula tiba di Old Trafford dengan keyakinan tinggi.
Walaupun mencatat beberapa keputusan seri dalam beberapa perlawanan lalu, prestasi keseluruhan mereka kekal meyakinkan.
Kemenangan ke atas Crystal Palace dan Nottingham Forest pada Disember diikuti keputusan seri menentang Sunderland, Chelsea dan Brighton, sebelum mereka menghantar mesej jelas dengan kemenangan besar 10-1 ke atas Exeter City dalam Piala FA.
Kemenangan 2-0 ke atas Newcastle pada 14 Januari sekali lagi membuktikan keupayaan City.
Guardiola tetap berdepan masalah kecederaan, dengan Ruben Dias, Josko Gvardiol, John Stones, Mateo Kovacic, Savinho dan Oscar Bobb tidak dapat diturunkan.
Namun, pemindahan Semenyo dari Bournemouth bernilai $110 juta memperkukuhkan lagi kekuatan City.
Beliau tidak membuang masa untuk membuktikan betapa besar nilainya kepada pasukan barunya itu.
Dalam perlawanan sulungnya menentang Exeter, Semenyo diturunkan di sayap kiri dan berjaya menjaringkan gol melalui rembatan kaki kanannya.
Perlawanan berikut pula menyaksikan beliau beraksi di sayap kanan dan sekali lagi menemui jaringan, kali ini dengan kaki kiri, ketika menentang Newcastle.
“Saya hanya membawa keyakinan yang saya miliki ketika bersama Bournemouth ke sini dan bermain dengan senyuman pada wajah saya. Saya menikmati setiap detik beraksi bersama City,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
Jika Semenyo benar-benar melakukan seperti yang dikatakannya, maka Carrick dan United jelas mempunyai alasan untuk berasa gerun.
Pemain terbaru City itu mempunyai rekod 10 gol daripada 20 perlawanan EPL sejauh musim ini.
Bukan itu sahaja, Semenyo juga telah menjaringkan gol dalam setiap tiga penampilan terakhirnya kelabnya semasa menentang United.
Agak sukar untuk menjangkakan United boleh menang. Namun, penyokong boleh jangkakan perlawanan yang menghiburkan, dengan United berjuang untuk mempertahankan maruah mereka, dan City pula bertekad untuk mengejar Arsenal yang menduduki tempat pertama EPL.
Ramalan wartawan: Manchester United 1 - 2 Manchester City


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg