Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

United lantik Carrick pengurus hingga akhir musim

Carrick akan pimpin United dalam perlawanan pertama menentang City di Old Trafford pada 17 Jan
Jan 14, 2026 | 2:02 PM
Michael Carrick dilantik sebagai ketua jurulatih Manchester United.
Michael Carrick dilantik sebagai ketua jurulatih Manchester United. - Foto REUTERS

LONDON: Manchester United telah secara rasmi melantik bekas pemain Michael Carrick sebagai ketua jurulatih mereka sehingga akhir musim, kata kelab itu pada 13 Januari.

Carrick dijadualkan mengadakan latihan buat kali pertama pada 14 Januari menjelang perlawanan derby Manchester di Old Trafford pada 17 Januari.

Pengurus berusia 44 tahun itu, yang mengalahkan Ole Gunnar Solskjaer dan Ruud van Nistelrooy untuk jawatan itu, akan dibantu oleh bekas penolong kepada pengurus pasukan England, Steve Holland, serta Jonathan Woodgate, Travis Binnion dan Jonny Evans.

Darren Fletcher, jurulatih sementara untuk dua perlawanan terakhir, memutuskan untuk kembali memimpin pasukan bawah 18 tahun kelab itu.

Pengesahan pelantikan Carrick dibuat selepas pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Omar Berrada dan pengarah bola sepak Jason Wilcox pada 8 Januari dan perbincangan lanjut pada 12 Januari.

Carrick menggantikan Ruben Amorim, yang dipecat minggu lalu selepas 14 bulan sebagai ketua jurulatih.

“Mempunyai tanggungjawab untuk memimpin Manchester United adalah satu penghormatan,” kata Carrick dalam satu siaran berita.

“Saya tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di sini; tumpuan saya kini adalah untuk membantu pemain mencapai standard yang kami harapkan di kelab yang luar biasa ini, yang kami tahu bahawa pasukan ini lebih daripada mampu menghasilkannya,” tambahnya.

Carrick telah melakukan tugas itu sebelum ini, mengambil alih tiga perlawanan semasa kempen 2021-22.

Beliau pernah mengurus kemenangan United ke atas Villarreal dan Arsenal, dan seri dengan Chelsea.

Carrick menunjukkan dirinya selesa membuat keputusan besar dengan meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan untuk perlawanan di Stamford Bridge.

“Saya telah bekerjasama dengan beberapa pemain dan jelas sekali terus memerhatikan pasukan dengan teliti dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap bakat, dedikasi dan keupayaan mereka untuk berjaya,” tambah Carrick.

Namun, beliau akur masih banyak yang perlu diperjuangkan musim ini dan pasukannya sedia memberikan peminat persembahan yang terbaik.

Carrick berundur daripada kakitangan kejurulatihan sebaik sahaja Ralf Rangnick dilantik sebagai pengurus sementara pada November 2021 dan setahun kemudian mengambil alih jawatan pengurus Middlesbrough pada Oktober 2022.

Selepas mara ke peringkat suku akhir pada 2023 dan separuh akhir Piala Carabao pada 2024, Carrick telah dipecat pada Jun 2025 selepas Middlesbrough menamatkan musim di tempat ke-10.

Carrick membuat 464 penampilan sebagai pemain United antara 2006 dengan 2018, memenangi Liga Juara-Juara pada 2008 dan lima gelaran Liga Perdana England.

Beliau menyertai kakitangan di Old Trafford sejurus selepas persaraannya pada 2018 dan berkhidmat sebagai jurulatih di bawah Jose Mourinho dan Solskjaer. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg