Piala Dunia 2026 bakal menjadi edisi paling besar dalam sejarah kejohanan ini, bukan sahaja dari segi jumlah pasukan, bahkan skala penganjuran yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Edisi 2026 menyaksikan pengembangan terbesar dalam sejarah Piala Dunia, dengan 48 pasukan bertanding, berbanding 32 pasukan pada 2022.

Pasukan bertanding dibahagikan kepada 12 kumpulan yang masing-masing terdiri daripada empat pasukan.

Daripada itu, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati, bersama lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

Ia bermakna 32 pasukan akan mara ke fasa kalah mati, membuka laluan kepada lebih banyak aksi penentuan dan potensi kejutan besar.

Kejohanan kali ini juga akan menjadi ujian terbesar kepada pemain dari segi kecergasan dan adaptasi, dengan perjalanan jauh antara bandar, perubahan cuaca yang ketara, serta tekanan jadual perlawanan yang padat.

Selain format diperluas, edisi 2026 turut hadir dengan beberapa penyesuaian dan penekanan baharu dalam aspek pengadilan, penggunaan teknologi serta pengurusan perlawanan, seiring usaha berterusan untuk meningkatkan ketepatan dan kelancaran permainan di peringkat tertinggi.

Antaranya, pengenalan peraturan kawalan masa yang lebih ketat bagi menangani taktik melengahkan permainan, termasuk pelaksanaan had masa lima saat bagi balingan masuk bola yang mana hak balingan boleh diserahkan kepada pasukan lawan, sekiranya pemain didapati sengaja melambatkan aksi permulaan semula perlawanan.

Peraturan yang sama turut dikuatkuasakan bagi sepakan gol, yang mana percubaan sengaja untuk membazirkan masa perlawanan boleh mengakibatkan pasukan lawan diberi sepakan penjuru.

Selain itu, aspek pertukaran pemain turut diperketatkan melalui peraturan had masa 10 saat, yang mewajibkan pemain digantikan keluar meninggalkan padang melalui jalan terdekat.

Kegagalan mematuhinya akan menyebabkan pemain gantian dilarang memasuki padang selama sekurang-kurangnya satu minit sekali gus memaksa pasukan tersebut beraksi dengan 10 orang buat sementara waktu.

Setiap Piala Dunia melahirkan bintang, dan edisi 2026 dijangka tidak terkecuali.

Selepas mempamerkan impak luar biasa dalam dua edisi terdahulu, penyerang, Kylian Mbappe, memikul tanggungjawab besar mengetuai jentera serangan Perancis selaku kapten.
Selepas mempamerkan impak luar biasa dalam dua edisi terdahulu, penyerang, Kylian Mbappe, memikul tanggungjawab besar mengetuai jentera serangan Perancis selaku kapten. - Foto REUTERS

Antara pemain yang mendapat tumpuan ialah Kylian Mbappe, kapten pasukan Perancis yang memasuki kejohanan itu sebagai salah seorang penyerang paling berbahaya di dunia.

Dengan rekod jaringan luar biasa di peringkat antarabangsa, beliau kekal sebagai pemain yang mampu mengubah perlawanan dalam sekelip mata.

Bintang veteran Portugal, Cristiano Ronaldo, bakal memulakan misinya pada usia 41 tahun demi memburu satu-satunya trofi yang belum berada dalam genggamannya.
Bintang veteran Portugal, Cristiano Ronaldo, bakal memulakan misinya pada usia 41 tahun demi memburu satu-satunya trofi yang belum berada dalam genggamannya. - Foto REUTERS

Tumpuan juga turut diberikan kepada bintang Portugal Cristiano Ronaldo, 41 tahun, yang masih mengejar trofi Piala Dunia pertamanya.

Bintang Argentina, Lionel Messi, turun dengan misi berat untuk mempertahankan kejuaraan, sekali gus melengkapkan legasi gemilangnya di pentas dunia.
Bintang Argentina, Lionel Messi, turun dengan misi berat untuk mempertahankan kejuaraan, sekali gus melengkapkan legasi gemilangnya di pentas dunia. - Foto AFP

Pesaing utamanya, bintang Argentina, Lionel Messi, juga sedang berjuang untuk membantu Argentina mempertahan mahkota mereka selaku juara bertahan pertandingan tersebut.

Ramai mengatakan bahawa Piala Dunia 2026 merupakan piala dunia terakhir buat kededua bintang bola sepak itu.

Namun, terdapat ramai bakat muda yang mempunyai potensi membina nama dalam kerjaya mereke seperti Ronaldo dan Messi.

Di sebalik kehadiran nama-nama besar, permata muda Sepanyol berusia 18 tahun, Lamine Yamal, kini menjadi sebutan global sebagai pencabar utama yang sedia menggegarkan kejohanan.
Di sebalik kehadiran nama-nama besar, permata muda Sepanyol berusia 18 tahun, Lamine Yamal, kini menjadi sebutan global sebagai pencabar utama yang sedia menggegarkan kejohanan. - Foto REUTERS

Antaranya adalah pemain sayap Sepanyol, Lamine Yamal, yang masih berusia 18 tahun.

Pemain muda Barcelona ini hadir dengan reputasi tinggi selepas mempamerkan kelincahan luar biasa serta kematangan permainan yang jauh melampaui usianya di pentas Eropah.

Dengan 48 pasukan, tiga negara tuan rumah, 16 bandar penganjur, serta format baharu yang memperluaskan peluang ke peringkat kalah mati, Piala Dunia 2026 bersedia menjadi edisi paling besar, paling terbuka dan paling tidak dapat diramal dalam sejarah moden bola sepak.

Pertandingan yang dinantikan oleh lebih dari 5 bilion penyokong seluruh dunia akan bermula pada 12 Jun, dengan tuan rumah, Mexico, membuka tirai perlawanan di Stadium Mexico City.

Perlawanan-perlawanan pertama Piala Dunia (12 Jun)

Mexico lawan Afrika Selatan (3 pagi)

Korea Selatan lawan Czech Republic (10 pagi)