Topik diikuti
Pergi ke BHkuBrazil buru kemenangan pertama, Haiti dijangka tarung kekalkan impian Piala Dunia
Brazil buru kemenangan pertama, Haiti dijangka tarung kekalkan impian Piala Dunia
Kehilangan mata lagi boleh sukarkan laluan Brazil ke pusingan kalah mati
Brazil buru kemenangan pertama, Haiti dijangka tarung kekalkan impian Piala Dunia
Brazil bertekad untuk mencatatkan kemenangan pertama mereka di Piala Dunia 2026 apabila menentang pasukan Haiti di Lincoln Financial Field di Philadelphia pada 20 Jun.
Brazil perlu bangkit selepas membuka saingan Kumpulan C dengan hanya keputusan seri 1-1 menentang Maghribi.
Pasukan kendalian Carlo Ancelotti itu diselamatkan oleh aksi hebat individu Vinicius Junior selepas Ismael Saibari meletakkan pasukan Afrika itu di hadapan pada separuh masa pertama yang menyaksikan Brazil tersentak dan tertekan.
Keputusan seri 1-1 dengan Maghribi menyebabkan juara dunia lima kali itu kini berada di bawah tekanan untuk meraih kemenangan pertama kejohanan.
Dengan Scotland dan Maghribi turut bersaing sengit dalam kumpulan yang dianggap antara paling terbuka, Brazil sedar sebarang kehilangan mata lagi boleh menyukarkan laluan mereka ke pusingan kalah mati.
Brazil merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan menentang Haiti. Namun, Piala Dunia sering mengingatkan bahawa reputasi sahaja tidak menjamin kemenangan.
Brazil hadir ke Piala Piala Dunia kali ini dengan harapan besar untuk menamatkan kemarau gelaran dunia yang berlarutan sejak 2002.
Walaupun terikat dengan Maghribi dalam perlawanan pertama, terdapat banyak petanda positif dalam persembahan Brazil.
Mereka menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta lebih banyak peluang bermutu, namun ketumpulan di depan gol menyebabkan mereka gagal meraih tiga mata penuh.
Tumpuan sekali lagi terarah kepada Vinicius Junior yang menjadi tonggak utama serangan Brazil.
Kelajuan, kemahiran menggelecek dan keupayaannya mencipta peluang menjadikan pemain kelab Real Madrid itu ancaman terbesar kepada pertahanan Haiti.
Brazil turut memiliki kekuatan mendalam di bahagian serangan menerusi Rodrygo, Raphinha dan Endrick.
Kehadiran beberapa pemain yang mampu bermain di pelbagai posisi memberikan Ancelotti pelbagai pilihan untuk memecahkan benteng lawan.
Di bahagian tengah, Bruno Guimaraes dan Joao Gomes dijangka memainkan peranan penting dalam mengawal rentak permainan dengan lebih baik berbanding prestasi mereka menentang Maghribi.
Namun, kisah menarik perlawanan ini sebenarnya terletak di kem Haiti.
Kemunculan Haiti di Piala Dunia sudah dianggap satu pencapaian besar bagi negara Caribbean itu.
Dengan sumber dan kedalaman skuad yang jauh lebih terhad berbanding kebanyakan pasukan lain, mereka tiba di kejohanan itu tanpa tekanan besar tetapi dengan semangat untuk membuktikan kemampuan mereka.
Walaupun tewas tipis 0-1 kepada Scotland dalam perlawanan pembukaan pada 14 Jun, Haiti mempamerkan disiplin dan semangat juang mengagumkan.
Mereka berjaya mencabar dan bersaing dengan Scotland sepanjang perlawanan itu dan hanya dibolosi menerusi satu jaringan.
Prestasi itu memberi keyakinan bahawa mereka mampu memberikan tentangan lebih sengit daripada yang dijangkakan ramai pemerhati.
Penjaga gol Haiti, Johny Placide, menjadi antara pemain paling sibuk dalam aksi pertama dan dijangka sekali lagi berdepan malam yang mencabar menentang jentera serangan Brazil yang sarat dengan bakat bertaraf dunia.
Jikalau beliau berjaya mempamerkan aksi luar biasa dan mengekang barisan serangan Brazil, beliau berpotensi muncul wira negara, serupa dengan kisah penjaga gawang Cape Verde, Vozinha, dalam aksinya mengikat Sepanyol 0-0.
Bagi Haiti, kunci utama adalah mengekalkan organisasi pertahanan dan mengehadkan ruang buat pemain kreatif Brazil.
Mereka sedar peluang terbaik mungkin hadir menerusi serangan balas pantas atau situasi bola mati.
Brazil pula dijangka menguasai penguasaan bola hampir sepanjang perlawanan.
Persoalan utama bukan sama ada mereka mampu mencipta peluang, tetapi sejauh mana mereka dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan berkesan.
Jika Brazil berjaya mendapatkan gol awal, perlawanan itu boleh berubah menjadi satu malam yang panjang buat Haiti.
Namun, sekiranya Haiti mampu bertahan sehingga lewat permainan, tekanan mungkin mula dirasai oleh pemain Brazil yang amat memerlukan kemenangan.
Jurang mutu antara kedua-dua pasukan sememangnya besar.
Namun bagi Haiti, perlawanan tersebut adalah peluang untuk menunjukkan bahawa mereka layak berada di pentas terbesar bola sepak dunia, manakala Brazil pula perlu membuktikan bahawa mereka masih memiliki kebolehpercayaan sebagai pencabar utama kejuaraan.
Ramalan wartawan: Brazil 3-0 Haiti
Jadual perlawanan pada 20 Jun
Kumpulan D
Amerika Syarikat lawan Australia (3 pagi)
Turkey lawan Paraguay (11 pagi)
Kumpulan C
Scotland lawan Maghribi (6 pagi)
Brazil lawan Haiti (8.30 pagi)
