Topik diikuti
Pergi ke BHkuBrazil hanya sekadar seri dengan Maghribi
Brazil hanya sekadar seri dengan Maghribi
Australia sampaikan keputusan mengejutkan, tewaskan Turkey 2-0
Brazil hanya sekadar seri dengan Maghribi
EAST RUTHERFORD (New Jersey): Brazil terlepas peluang memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan selepas diikat 1-1 oleh Maghribi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C.
Maghribi memulakan perlawanan dengan lebih baik dan membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi Ismael Saibari.
Gol itu hadir hasil serangan balas pantas apabila Saibari melakukan larian dari tengah sebelum menyempurnakan hantaran tepat daripada Brahim Diaz.
Maghribi menguasai sebahagian besar babak pertama dan terus mengancam pertahanan Brazil, namun pasukan Amerika Selatan itu berjaya menyamakan kedudukan menerusi Vinicius Junior pada minit ke-32.
Penyerang itu memotong masuk dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang melencong cantik ke penjuru atas gawang.
Brazil kelihatan lebih bertenaga selepas rehat hasil beberapa pertukaran yang dilakukan oleh jurulatih Carlo Ancelotti. Mereka lebih banyak menguasai bola berbanding Maghribi.
Bagaimanapun, Brazil gagal menembusi benteng pertahanan Maghribi yang kekal berdisiplin sehingga wisel penamat.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip satu mata dalam saingan Kumpulan C dalam perlawanan pada 13 Jun (14 Jun waktu Singapura) itu.
Di Stadium San Francisco, jaringan Boualem Khoukhi pada masa kecederaan membantu Qatar untuk bangkit mengikat Switzerland 1-1 dalam aksi Kumpulan B.
Jaringan itu bukan sahaja membantu Qatar bangkit mengikat Switzerland, malah ia turut menyaksikan skuad itu mencipta sejarah meraih mata pertama sepanjang penampilan mereka di pentas Piala Dunia.
Qatar terlebih dahulu mencemaskan kubu Switzeland seawal minit kedua apabila Edmilson Junior mendapat peluang di depan pintu gol, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol, Gregor Kobel.
Selepas itu, permainan dikuasai Switzerland dengan skuad kendalian Murat Yakin melakukan banyak percubaan terutama menerusi Dan Ndoye yang ditepis penjaga gol Qatar, Mahmoud Abunada pada minit kelima.
Asakan bertali arus dilakukan Switzerland akhirnya membuahkan hasil apabila mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-17 selepas Abunada mengasari Remo Freuler dan peluang itu disempurnakan Breel Embolo untuk meletakkan pasukannya di depan.
Qatar yang berusaha keras untuk bangkit menerusi beberapa serangan balas selepas itu turut mendapat peluang, namun sekali lagi percubaan Junior pada minit ke-42 dinafikan Kobel.
Penguasaan Switzerland berterusan pada babak kedua, namun gagal menambah jaringan meskipun memperoleh banyak peluang termasuk rembatan deras Ruben Vargas pada minit ke-75 dinafikan Abunada.
Ketika Switzerland sudah mula membayangkan tiga mata dalam genggaman mereka, namun Khoukhi muncul wira Qatar apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan.
Di Stadium Boston pula, Scotland meraih kemenangan pertama mereka di Piala Dunia sejak 1990 selepas menewaskan Haiti 1-0 dalam aksi Kumpulan C, hasil jaringan John McGinn yang juga mencatat sejarah sebagai pemain Scotland paling tua menjaringkan gol di pentas Piala Dunia.
Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-28 apabila percubaan Che Adams diselamatkan penjaga gol Haiti, namun McGinn menyambar bola yang terbias sebelum menerjah gawang.
Sementara itu di Vancouver, Canada, Australia menyampaikan kejutan apabila menewaskan Turkey 2-0 dalam saingan Kumpulan D Piala Dunia 2026, sekali gus mencemari kepulangan lawan mereka ke pentas kejohanan itu selepas penantian 24 tahun.
Kemenangan itu meletakkan Australia di tangga kedua Kumpulan D di belakang Amerika Syarikat yang membelasah Paraguay 4-1 dalam satu lagi perlawanan sebelum ini.
Turkey pula perlu bangkit dalam aksi seterusnya jika mahu menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati bagi penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak 2002. – Agensi berita.
