Topik diikuti
Pergi ke BHkuRonaldo gagal bersinar, Portugal diikat DR Congo
Ronaldo gagal bersinar, Portugal diikat DR Congo
Veteran bola sepak kurang ‘berbisa’ berbanding penyerang negara lain
Ronaldo gagal bersinar, Portugal diikat DR Congo
Aksi Piala Dunia pada 16 Jun (17 Jun waktu Singapura) terus dihangatkan dengan kehadiran empat penyerang digeruni dunia yang berjaya mencetuskan kesan besar di atas padang.
Bintang Perancis, Kylian Mbappe, menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Senegal, sekali gus menetapkan dirinya sebagai penjaring gol tertinggi bagi negaranya.
Sementara itu, tonggak Norway, Erling Haaland, melakarkan penampilan sulung beliau di pentas terbesar bola sepak dengan jaringan dua gol ketika menundukkan Iraq 4-1.
Aksi hebat itu menyaksikan beliau menyamai rekod penyerang Jerman, Miroslav Klose, sebagai penjaring gol tertinggi dengan 16 gol secara keseluruhannya.
Penyerang utama England, Harry Kane, juga menyertai persaingan Kasut Emas dengan menyumbang dua gol setelah mengatasi Croatia 4-2.
Kemudian, tumpuan peminat bola sepak terarah kepada seorang lagi gergasi untuk melakar kedatangan secara bergaya – Cristiano Ronaldo.
Stadium Houston yang dibanjiri lebih 68,000 peminat menjadi pentas untuk Ronaldo membuktikan bakatnya ketika menentang DR Congo pada 17 Jun (18 Jun waktu Singapura).
Namun, kapten Portugal itu gagal membawa kesan serupa, walaupun veteran berusia 41 tahun itu diberikan peluang beraksi sepanjang perlawanan.
Portugal diikat seri 1-1, dan Ronaldo gagal melakar sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia yang berbeza.
Portugal bermula dengan langkah kanan menerusi gol awal oleh Joao Neves, yang menanduk masuk bola setelah menemui hantaran tepat oleh Pedro Neto.
Namun, Yoane Wissa, menyamakan kedudukan sebelum babak pertama ditamatkan, menerusi gol tandukan juga.
Walaupun Portugal menguasai rentak perlawanan dengan mencatat 75 peratus penguasaan bola, mereka gagal meraih tiga mata penuh.
Ronaldo sekadar mencatatkan 25 sentuhan bola sepanjang perlawanan, iaitu yang paling rendah antara semua pemain skuad Portugal.
Beliau juga gagal menyempurnakan dua peluang penting walaupun berada di depan gawang.
Kini, Ronaldo sudah bermain 10 perlawanan di kejohanan utama tanpa menjaringkan sebarang gol untuk Portugal.
Beberapa pengkritik bola sepak mempersoalkan prestasi Ronaldo, yang gagal membawa pengaruh yang diperlukan.
Dalam siaran Fox Sports, bekas pemain Perancis, Thierry Henry, berkata keterujaan Ronaldo untuk memburu gol ada kalanya menyekat rakan sepasukan yang lain daripada membawa kesan lebih positif.
Malah, kehadiran gergasi seperti Ronaldo di padang juga mungkin menyebabkan pemain lain terasa tertekan dan enggan beraksi dengan lebih bebas.
Rakan sepasukan ketika di Manchester United, Wayne Rooney, pada awalnya menjangkakan semangat Ronaldo akan melonjak selepas melihat prestasi Messi serta penyerang lain.
Namun, sukar untuk menafikan bahawa aksi Ronaldo kurang berbisa.
Setakat ini, Ronaldo berjaya menjaringkan 143 gol dalam 229 penampilan.
Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, menegaskan bahawa skuad Portugal perlu melibatkan Ronaldo dengan lebih kerap semasa perlawanan.
“Tidak wajar untuk kami mengeluarkan penjaring gol terbaik di pentas bola sepak dunia dalam perlawanan di mana pasukan amat memerlukan kelebihan.
“Bagi kami, dalam detik genting seperti ini, pengalaman luas Ronaldo di dalam kotak penalti sangat penting.
“Cara beliau memperdaya pemain pertahanan lawan merupakan aset berharga, sekali gus membuka ruang yang boleh kami memanfaatkan,” ujarnya.
“Setiap pemain memikul tanggungjawab atau memiliki mutu tersendiri di atas padang. Dan jelas sekali, apabila pasukan sedang memburu gol, anda sememangnya memerlukan kehadiran Ronaldo.”
Nampaknya, kem Portugal sekali lagi dibelenggu dilema sama ada mahu terus mempertaruhkan Ronaldo dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian.
Bagaimanakah Ronaldo dan Portugal akan bangkit bagi perlawanan seterusnya menentang Uzbekistan pada 23 Jun (24 jun waktu Singapura)?
Sekilas keputusan perlawanan pada 17 Jun (18 Jun waktu Singapura)
Kumpulan K:
Portugal lwn DR Congo 1-1
Uzebekistan lwn Colombia 1-3
Kumpulan L:
England lwn Croatia 4-2
Ghana lwn Panama 1-0
