Pasukan negara menutup kempen Cabaran Mizuho Blue - Siri Bola Sepak Kallang Singapura dengan kekalahan 0-7 kepada Brazil di Stadium Negara pada 17 November.

Keputusan itu menyamai kekalahan pasukan Singa dengan jaringan sama kepada Korea Selatan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Jun 2024.

Keputusan pada 17 November itu mungkin sukar buat penyokong Singapura, namun peminat bola sepak tetap disajikan aksi menarik dengan kehadiran bintang idaman masing-masing berpesta gol.

Seperti dijangka, Brazil menguasai sebahagian besar permainan sejak wisel permulaan, namun pasukan Singa tidak gentar untuk melancarkan serangan balas.

Ryhan Stewart mempamerkan kelincahan apabila membuat larian melepasi beberapa pemain Brazil, tetapi gagal memanfaatkan gerakan tersebut untuk menghasilkan peluang bahaya.

Brazil membuka tirai jaringan pada minit kelapan apabila kapten pasukan, Bruno Guimaraes melorongkan bola kepada Vinicius Junior di dalam kotak penalti, sebelum bintang Real Madrid itu bijak menemui ruang dengan sentuhan pertamanya dan melepaskan rembatan untuk mendapatkan gol pertama Brazil.

Enam minit kemudian, Brazil sekali lagi menghukum Singapura menerusi serangan balas pantas.

Vinicius mengumpan bola kepada Endrick yang berdepan hanya penjaga gawang Singa Izwan Mahbud, namun penyerang muda itu memilih untuk berikan bola semula kepada Vinicius, bagi pemain sayap itu mendapatkan gol keduanya.

Vinicius melengkapkan hatrik seawal minit ke-20 apabila pemain Chelsea, Estevao, mempamerkan kepantasannya untuk melepasi pertahanan Singa sebelum melancarkan hantaran lintang ke arah penyerang itu, yang tidak dikawal di dalam kotak penalti dan dengan mudah memasukkan gol ke gawang kosong Singa.

Singa bagaimanapun tidak mahu mengalah dan hampir merapatkan jurang menerusi gabungan menarik antara Song Ui-young, Ilhan Fandi dan Harhys Stewart.

Gerakan itu membuka ruang buat Ilhan melepaskan rembatan, namun percubaannya tersasar.

Endrick kemudian menambah jaringan keempat Brazil apabila beliau menerima bola di luar kotak penalti, mencari ruang sebelum melepaskan rembatan rendah ke penjuru gawang yang gagal dicapai Izwan.

Singa sekali lagi hampir menjaringkan gol apabila Ryhan melancarkan hantaran lintang yang disambut Ilhan, tetapi penyerang itu gagal mengarahkan tandukannya tepat ke sasaran dan separuh masa berakhir 4-0.

Pada separuh masa kedua, Brazil tidak mengurangkan tekanan mereka.

Bintang Brazil, Vinicius Junior (dua dari kiri) menolak masuk bola untuk jaringan keduanya selepas menerima hantaran balas daripada Endrick pada minit ke-14.
Bintang Brazil, Vinicius Junior (dua dari kiri) menolak masuk bola untuk jaringan keduanya selepas menerima hantaran balas daripada Endrick pada minit ke-14. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sepakan percuma Guimaraes gagal dikeluarkan dengan baik dan bola jatuh ke Estevao yang melepaskan rembatan untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Singa turut mempunyai peluang untuk mendapatkan gol apabila Ryhan melepaskan Farhan Zulkifli, yang berjaya melepasi Vanderson Campos sebelum melepaskan percubaan yang tersasar tidak jauh daripada sasaran.

Namun, Brazil menambah derita Singa apabila Rayan Rocha melepasi penjaga gawang gantian, Syazwan Buhari, untuk menjaringkan gol keenam pasukannya.

Pemain gantian Brazil, Allan Elias, kemudian melengkapkan kemenangan 7-0 itu menerusi jaringan ketujuh pasukan pelawat.

Kekalahan itu bermakna Singa menamatkan kempen Cabaran Mizuho Blue dengan dua kekalahan, selepas turut tewas 1-4 kepada Paraguay pada 13 November.

Meskipun keputusan mengecewakan, Singa mendapat peluang menguji kemampuan menentang dua pasukan yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia dalam kejohanan tersebut dalam persiapan mereka untuk Piala Asia pada Disember 2027.