LOS ANGELES: Brazil gagal memanfaatkan peluang gol dan dikecewakan dengan kualiti di bahagian serangan selepas mereka diikat 0-0 oleh Costa Rica dalam perlawanan pertama mereka di Kumpulan D saingan Copa America di Los Angeles pada Isnin.
Brazil, yang tiba di Copa America dengan membawa rekod keputusan buruk dalam beberapa bulan sebelum ini, menguasai penguasaan bola tetapi kurang mempunyai ketajaman di depan gawang dengan hanya tiga daripada 19 tendangan mereka menepati sasaran.
“Sekarang kita harus bersikap jujur pada diri sendiri, memikirkan alternatif untuk mencipta peluang, menjaringkan gol.
“Keputusan adalah penting dalam pertandingan ini. Mata yang jatuh pada permulaan boleh merumitkan keadaan akhirnya,” kata pemain pertahanan Brazil, Marquinhos.
Mereka dikecewakan dengan pertahanan Costa Rica yang meletakkan lima pemain pertahanan di belakang, dan menghalang Brazil daripada mempunyai ruang.
Strategi itu membuahkan hasil walaupun pasukan Gustavo Alfaro boleh dianggap bernasib baik pada masa-masa tertentu.
Raphinha mempunyai peluang yang baik pada awal permainan untuk menjaringkan gol selepas berjaya mengawal umpanan dari Rodrygo, namun penjaga gol Costa Rica, Patrick Sequeira, bertindak pantas keluar dari garisannya dan mencegah bahaya.
Brazil sangka mereka berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-30 apabila Rodrygo menanduk ke belakang hantaran sepakan percuma ke kaki Marquinhos, yang menendang masuk bola ke gawang namun dibatalkan VAR (video penolong pengadil) kerana ofsaid.
Penguasaan Brazil berterusan di separuh masa kedua dan Lucas Paqueta menggegarkan tiang gol dengan percubaan jarak jauh pada minit ke-63, sebelum tendangan Guilherme Arana berjaya ditepis Sequeira.
Jurulatih Brazil, Dorival Junior, membawa masuk pemain muda Endrick dan Savio pada minit ke-70 ketika Brazil terdesak mencari kemenangan.
Paqueta kemudian membuat dua rembatan pada 10 minit terakhir permainan namun rembatannya tersasar, mengakibatkan juara sembilan kali itu gagal memecah kebuntuan.
“Kami bermain permainan yang baik, kami berjuang habis-habisan dan saya sendiri mempunyai tiga peluang, kami kecewa tidak menang tetapi kami pulang dengan keyakinan,” kata Paqueta.
Pada perlawanan pertama Kumpulan D, Colombia mencapai kemenangan 2-1 ke atas Paraguay di Houston pada awal pagi Isnin.
James Rodriguez mencipta kedua-dua gol untuk Colombia, sekali gus melanjutkan rekod tanpa kalah juara edisi 2001 itu kepada 24 perlawanan.
Gol separuh masa pertama daripada Daniel Munoz dan Jefferson Lerma memastikan kemenangan untuk Colombia, yang mendominasi majoriti perlawanan. Julio Enciso pula menjaringkan gol tunggal Paraguay.
Kemenangan kesembilan berturut-turut Colombia itu mengekalkan rekod 19 kemenangan dan lima seri sejak Mac 2022, dengan kekalahan terakhir mereka ketika tewas 0-1 kepada Argentina pada Februari 2022. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg