Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skuad Brazil damba kembali cemerlang di Copa America

Dipimpin jurulatih baru, skuad ‘Selecao’ dibarisi beberapa pemain berbakat dalam usaha buru kejuaraan ke-10 Copa America
May 19, 2024 | 5:30 AM
Endrick
Penyerang berbakat Brazil, Endrick (kiri), yang meraikan gol jaringannya ketika menentang England, dan Vinicius Junior (kanan), bakal mengukuhkan jentera serangan pasukan itu dalam Kejohanan Copa America yang menjelang. - Foto AFP

LONDON: Brazil akan melangkah ke Kejohanan Copa America 2024 dengan harapan untuk kembali cemerlang selepas persembahan yang kurang menyerlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kekalahan kepada Argentina di final Copa America 2021 menafikan peluang Brazil untuk mengekalkan kejuaraan itu yang dimenanginya pada 2019.

Sejak itu, persembahan juara Piala Dunia sebanyak lima kali itu mula merosot, termasuk disingkirkan di peringkat suku akhir Piala Dunia 2022 oleh Croatia.

Perubahan kepada pihak pengurusan juga mungkin menjejas skuad tersebut, apatah lagi menjelang pertandingan tersebut yang dijadual berlangsung dari 21 Jun hingga 15 Julai.

Pengurus sebelum ini, Tite, digantikan oleh dua pengurus sementara, Ramon Menezes, dan kemudian Fernando Diniz, sebelum akhirnya Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) memilih Dorival Silvestre Junior sejak Januari 2024.

Dalam pertandingan yang akan datang, kesemua 10 pasukan di bawah badan pentadbiran benua bola sepak Amerika Selatan (Conmebol) termasuk Brazil layak ke Copa America.

Enam pasukan di bawah Gabungan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf) akan melengkapi 16 pasukan terakhir untuk pertandingan itu.

Mengikut perangkaan, Brazil adalah pasukan ketiga paling banyak memenangi Copa America dalam senarai pasukan yang menyertainya.

Sejauh ini, Argentina dan Uruguay masing-masing telah menang 15 kali, sementara Brazil muncul juara sembilan kali.

Kali terakhir Brazil menjulang mahkota Copa America ialah pada 2019 selepas menang 3-1 ke atas Peru.

Brazil telah melayakkan diri dalam semua 47 edisi Copa America sejak ia mula diperkenalkan pada 1916.

Dalam pertandingan kali ini, Brazil diundi dalam Kumpulan D – bersama Colombia, Paraguay dan Costa Rica.

Jika dilihat pada pesaing lain dalam kumpulan tersebut, kelihatan seperti Brazil tiada masalah untuk menduduki dua tangga teratas dan kemudian melangkah ke peringkat selanjutnya.

Namun, ia juga bergantung kepada para pemain yang bakal dipilih dan menyarung jersi pasukan bergelar Selecao itu.

Menurut laporan media, pengurus baru pasukan itu, Dorival, dilaporkan telah menamakan beberapa pemain berbakat dalam pasukannya.

Antaranya Endrick, yang kini bermain dengan Palmeiras dan akan menyertai Real Madrid pada musim panas akan datang.

Pada usia 17 tahun, Endrick telah menjaringkan gol pertamanya untuk Brazil semasa pasukan itu menundukkan England 1-0 dan menjaringkan satu gol apabila pasukan negaranya itu seri 3-3 dengan Sepanyol.

Brazil akan ketiadaan bintang utama mereka, Neymar, yang kini mengalami kecederaan lutut.

Meskipun begitu, Brazil tidak ketandusan penyerang apatah lagi dengan dua penyerang berbisa yang bermain dengan juara La Liga, Real Madrid – Vinicius Junior dan Rodrygo.

Malah, Vinicius diramal akan dicalonkan bagi Anugerah Ballon d’Or pada 2024.

Tetapi, seperti yang diketahui, bola sepak memerlukan seluruh pasukan dan bukan seorang dua pemain sahaja untuk mencapai keputusan yang diinginkan.

Menurut laporan media, Casemiro hilang kedudukannya dalam skuad Brazil menyusuli musim yang mengecewakan musim ini bersama Manchester United – sesuatu yang bukan satu kejutan.

Seorang lagi yang mungkin digugurkan daripada skuad Brazil ialah Richarlison.

Penyerang itu juga agak tidak konsisten semasa mewakili Tottenham Hotspur.

Yang dijangka mendapat tempat dalam skuad pilihan Dorival termasuk pemain midfield Aston Villa, Douglas Luiz; Lucas Paqueta (West Ham); dan Bruno Guimaraes (Newcastle). Begitu juga Joao Gomes (Wolves) dan Andreas Pereira (Fulham).

Di bahagian pertahanan pula, pemain bek tengah, Marquinhos dan Gabriel Magalhaes – masing-masing bermain di Paris Saint-Germain dan Arsenal – boleh dijangkakan dalam skuad Dorival.

Seorang lagi, Eder Militao, yang bermain cemerlang bersama Real Madrid juga dijangka disertakan bersama Brazil dalam Copa America kali ini selagi beliau kekal cergas menjelang final Liga Juara-Juara akan datang.

Sesebuah pasukan itu tidak lengkap tanpa penjaga gawang yang mantap dengan Alisson Becker (Liverpool) dan Ederson (Manchester City) dijangka menjadi pilihan dalam skuad Brazil.

Brazil akan bermain dua perlawanan persiapan menentang Mexico pada 8 Jun di Texas dan menentang Amerika Syarikat empat hari kemudian di Orlando, sebelum memulakan kempen Copa America menentang Costa Rica pada 24 Jun, Paraguay pada 28 Jun dan Colombia pada 2 Julai.

Tuan rumah edisi Copa America 2024 ialah Amerika Syarikat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg