Perlawanan melibatkan dua pasukan teratas Liga Perdana England (EPL) masa kini – Manchester City dan Arsenal – mungkin menjadi tanda awal siapa yang bakal menjadi juara musim ini.
City, yang kini berada di persada liga dengan 12 mata daripada empat perlawanan pembukaan mereka, sekali lagi membuktikan diri mereka sebagai pasukan yang perlu ditewaskan.
Permainan konsisten mereka di bawah bimbingan Pep Guardiola amat mengagumkan; musim demi musim pasukan bergelar Cityzens itu mengekalkan tahap permainan yang tinggi, meletakkan diri mereka sebagai pasukan favorit. Musim ini kelihatan tiada bezanya.
Skuad Guardiola telah memulakan musim dengan prestasi cemerlang, diterajui oleh penampilan sensasi penyerang berbisa Erling Haaland, yang sudah menjaringkan sembilan gol dalam empat penampilan pertamanya musim ini.
Penyerang Norway itu, yang telah mengharungi EPL sejak menyertai City, nampaknya akan meningkatkan piawainya sendiri ke tahap lebih tinggi, dan kemampuan beliau menjaringkan gol awal telah mengekalkan momentum City sejauh ini.
Meskipun begitu, terdapat naratif tambahan bagi Haaland dalam perlawanan menentang Arsenal.
Di sebalik penampilannya yang luar biasa, beliau menghadapi masalah menemui sasaran gol menentang Arsenal dalam pertemuan sebelum ini.
Beliau gagal membuat jaringan dalam dua penampilan terakhirnya menentang pasukan bimbingan Mikel Arteta itu.
Apatah lagi persembahannya dalam kedua-dua persembahan itu kelihatan agak biasa.
Seorang lagi pemain City yang mampu menyuntik semangat ialah Kevin De Bruyne.
Namun menurut beberapa laporan media, De Bruyne telah digantikan semasa separuh masa ketika pasukan itu menentang Inter Milan dalam Liga Juara-Juara akibat kecederaan.
Justeru penyertaan pemain ‘midfield’ itu dalam perlawanan menentang Arsenal masih belum dapat dipastikan.
City hanya mampu seri 0-0 semasa menentang Inter pada 19 September.
Penguasaan City dalam EPL sejak beberapa musim lalu kelihatan agak luar biasa.
Sejauh ini persembahan mereka berada pada tahap tertinggi, dan seolah-oleh tidak dapat ditandingi mana-mana pasukan lain.
Ini meskipun City sedang berhadapan dengan dakwaan pelanggaran peraturan kewangan.
Walaupun dalam tahun-tahun mereka diasak, terutama oleh Liverpool, pasukan Guardiola sentiasa mencari cara mengekalkan atau meningkatkan prestasi permainan.
Justeru kemenangan ke atas pesaing terdekat mereka kali ini, Arsenal, dalam usaha merebut gelaran pada awal musim ini akan menjadi rangsangan psikologi kepada City dan tamparan kepada Arsenal.
Lebih-lebih lagi, melebarkan jurang dengan Arsenal kepada lima mata akan meletakkan City dalam kedudukan baik, walaupun masih awal kempen musim kali ini.
Arsenal, yang ketika ini dalam kedudukan kedua EPL dengan 10 mata, juga menikmati permulaan yang baik dalam musim kali ini.
Pasukan bimbingan Mikel Arteta menduduki tempat kedua di belakang City pada musim lalu, dan selepas meningkatkan skuadnya itu kali ini, mereka kelihatan mampu menjadi pesaing utama kepada City.
Sejauh ini Arsenal, yang juga dikenali sebagai The Gunners, bermain baik dalam perlawanan awal mereka, dan kemampuan mengutip mata semasa dalam keadaan terdesak tampak hebat.
Namun cabaran untuk kekalkan tahap dengan Manchester City sememangnya tidak mudah, dan skuad Arsenal sedar mereka tidak mampu buat kesilapan.
Di sebalik permulaan yang baik, terdapat seperti tekanan yang dirasakan Arsenal sedang mereka menghadapi musim kali ini dengan ramai pemain utama yang cedera.
Salah seorang daripada mereka ialah kapten pasukan, Martin Odegaard, yang mungkin tidak dapat beraksi buat seketika selepas mengalami kecederaan buku lali semasa bermain untuk Norway mingggu lalu.
Pemain berusia 25 tahun itu terhincut-hincut semasa pasukannya tewas kepada Austria dalam Liga Negara-Negara di Oslo pada 9 September. Beliau tidak dapat bermain semasa Arsenal menang 0-1 ke atas Tottenham pada 15 September.
Arsenal sememangnya antara pasukan terhandal dalam EPL dengan corak permainan yang memberi tekanan kepada pihak lawan selain benteng pertahanan yang kukuh pada masa ini.
Musim lalu, Arsenal bermain baik semasa menentang City dengan mendapat empat mata daripada dua perlawanan liga.
Namun City mungkin dapat memecahkan benteng pertahanan Arsenal dalam perlawanan kali ini.
Dan sekiranya City mampu tundukkan Arsenal pada perlawanan ini, jurang mata akan bertambah kepada lima, lantas membuat pasukan pimpinan Arteta itu terpaksa berjuang untuk memberi cabaran kepada City.
Apatah lagi dengan corak permainan City yang terus meningkat sejak beberapa tahun ini, terdapat bukti bahawa Arsenal akan terkial-kial memberi tentangan kepada pasukan itu.
Ramalan wartawan: Manchester City 2-1 Arsenal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg