Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Brunei DPMM bakal tinggalkan SPL?

Tunjuk minat kembali beraksi dalam Liga Super Malaysia (MSL), dapatkan penyerang Geylang International, Tomoyuki Doi
Apr 22, 2025 | 2:51 PM
Miguel Ângelo Agostinho Oliveira,  Azwan Ali Rahman, Liga Perdana Singapura
Liga Super Malaysia (MSL) bakal melihat pemain tengah DPMM, Miguel Ângelo Agostinho Oliveira (kiri), dan kapten pasukan, Azwan Ali Rahman, beraksi di padang Malaysia musim depan. - Foto ST

Penyertaan Brunei DPMM dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim depan kini menjadi tanda tanya, selepas kelab bola sepak tersebut menunjukkan minat untuk kembali beraksi dalam Liga Super Malaysia (MSL).

Menerusi kenyataan di laman rasminya baru-baru ini, DPMM turut menyatakan hasratnya mendapatkan penyerang Geylang International dan penjaring terbanyak SPL, Tomoyuki Doi, demi memperkuatkan skuadnya di MSL musim depan.

“Dengan kehadiran Doi, ia akan membantu DPMM menyerlah dalam musim kami di Liga Super Malaysia,” jelas DPMM mengenai pemain Jepun itu, yang telah menjaringkan 42 gol dan merintis 10 jaringan dalam 27 perlawanan SPL bersama Geylang.

Namun, ketua jurulatih DPMM, Jamie McAllister, menyatakan bahawa perpindahan tersebut belum disahkan lagi.

Menurut laporan The Straits Times (ST), terdapat satu lagi kenyataan di laman rasmi DPMM, di mana kelab itu memaklumkan bahawa terdapat perkembangan positif mengenai kepulangan DPMM ke MSL.

Akhbar Malaysia New Straits Times turut melaporkan minat DPMM menyertai semula saingan MSL pada 21 April.

Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, hanya akan tinggal lapan pasukan di SPL.

Namun begitu, ST difahamkan, terdapat kemungkinan pengganti DPMM akan diperkenalkan, dengan kelab Tengah FC berpotensi menyertai saingan musim SPL 2025-26.

Tengah FC merupakan kelab bola sepak yang bermain di Liga Bola Sepak Singapura (SFL), tahap kedua liga bola sepak Singapura. 

“Brunei DPMM merupakan rakan lama berharga dalam kumpulan bola sepak tempatan, dan kami menantikan aksi mereka di separuh akhir Piala Singapura yang akan datang,” kata jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) apabila diminta mengulas situasi tersebut.

Beliau menambah bahawa FAS sedang dalam proses pemberitahuan permintaan cadangan (RFP) sebagai sebahagian daripada usaha menyegarkan semula SPL.

“Kami sedang menjalankan proses RFP, yang merupakan sebahagian daripada daya usaha kami memperbaharui dan memantapkan lagi SPL. Sebarang perkembangan baru akan diumumkan pada masa yang sesuai,” tambahnya.

Tengah FC sebelum ini telah menerima kelulusan pada dasarnya untuk menyertai SPL bagi musim 2024-25, namun mereka menarik diri sebulan sebelum musim itu bermula pada Mei 2024 disebabkan proses memastikan penyertaan mengikut syarat yang telah mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.

Sekiranya DPMM kembali ke MSL, mereka akan sertai MSL pada masa yang agak mencabar, memandangkan beberapa kelab dalam liga Malaysia ketika ini berdepan masalah kewangan dan masih belum pasti menyertai musim depan.

DPMM sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Perdana Malaysia (liga tahap kedua Malaysia) pada 2005-06 dan berjaya mendapat promosi ke MSL, di mana mereka menamatkan musim di tempat ketiga dan ke-10 dalam dua musim berturut-turut.

Mereka menyertai SPL, ketika itu dikenali sebagai Liga-S, pada 2009 dan berjaya memenangi Piala Liga. DPMM kembali ke Liga-S pada 2012 dan berjaya muncul juara pada musim 2015 dan 2019.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat mempertahankan kejuaraan pada 2020 selepas Covid-19 melanda. 

Ketika saingan liga disambung semula dengan langkah-langkah keselamatan, DPMM terpaksa menarik diri akibat sekatan perjalanan di Brunei.

Selepas tidak menyertai SPL pada musim 2021 dan 2022, DPMM kembali untuk musim 2023 dan menamatkan saingan di tangga ketujuh daripada sembilan pasukan.

Dengan baki lima perlawanan musim ini, mereka kekal di tangga ketujuh tetapi berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Singapura, di mana mereka bakal bertemu pendahulu SPL, Lion City Sailors. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg