Dua gol daripada Shawal Anuar dan satu penalti yang berjaya diselamatkan Izwan Mahbud, membantu Lion City Sailors seri 2-2 ketika menentang BG Tampines Rovers dalam perlawanan yang menentukan tangga teratas Liga Perdana Singapura (SPL).
Shawal, 33 tahun, yang merupakan penyerang Lion City Sailors, membuka tirai jaringan di Stadium Jalan Besar pada petang 29 September dengan rembatan jarak jauh pada minit kelapan.
Tampines yang dibimbing Gavin Lee mendapat peluang menyamakan kedudukan apabila mereka diberi penalti berikutan kekasaran ke atas pemain tengah mereka, Kyoga Nakamura oleh bek kanan Bill Mamadou.
Penjaring gol terbanyak BG Tampines, Boris Kopitovic, tampil untuk mengambil penalti itu tetapi percubaannya berjaya diselamatkan oleh Izwan.
BG Tampines kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi jaringan pemain sayap Faris Ramli, dan kemudian mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain tengah, Seia Kunori pada minit ke-54.
Sailors peroleh gol penyamaan pada minit-minit terakhir apabila Shawal melonjak paling tinggi untuk menanduk bola ke dalam gol.
Beliau kini mempunyai 11 gol dan buat 10 bantuan atau assist dalam SPL musim ini.
“Saya sentiasa berusaha untuk menyumbang dalam apa cara sekalipun di atas padang. Saya gembira untuk rakan sepasukan saya.
“Sejujurnya, saya tidak memantau matlamat saya. Sebaik wisel penamat dibunyikan, saya tidak lagi memandang ke belakang,” kata Shawal, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.
Menurut ketua jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic, keputusan seri menentang BG Tampines adalah keputusan yang wajar memandangkan jadual perlawanan yang ketat dihadapi mereka baru-baru ini.
Sailors kini mendahului SPL dengan 36 mata, manakala BG Tampines menduduki tangga kedua dengan 33 mata.
“Keputusan seri ini sangat penting. Kami mendahului 1-0, tetapi mereka bertindak balas dengan dua gol.
“Kami juga selamatkan sepakan penalti pada separuh masa pertama. Akhirnya kami mendapat keputusan seri dan mengekalkan perbezaan tiga mata. Itu adalah matlamat kami – untuk tidak kalah dalam perlawanan ini,” jelasnya.
Sailors akan bermain dalam perlawanan keenam mereka dalam tempoh 20 hari apabila pasukan itu bertandang ke Thailand untuk menentang Port FC dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 pada 3 Oktober.
Pada 28 September, Geylang International membelasah Tanjong Pagar United 7-2, manakala Albirex Niigata tewaskan Balestier Khalsa 3-2.
Sementara itu, Hougang United dan Brunei DPMM terikat 2-2 pada 27 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg