LONDON: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) pada 25 Ogos.

Ini selepas beliau menjadi penggerak utama barisan serangan pasukannya dengan memecahkan rekod 21 bantuan gol (assist) dalam Liga Perdana England (EPL) semasa musim 2025-26.

Kapten kelab itu, yang beraksi bersama United sejak 2020, turut menjaringkan sembilan gol bagi membantu pasukannya menduduki tangga ketiga liga utama England tersebut.

Sementara itu, penyerang Manchester City, Khadija Shaw – yang menjadi penjaring terbanyak Liga Super Wanita (WSL) dengan 21 gol – dinobat sebagai Pemain Wanita Terbaik Tahunan PFA buat kali kedua, selepas merangkul anugerah sama pada 2024.

Anugerah tahunan kategori lelaki yang diundi oleh ahli kesatuan itu telah dirangkul oleh pemain United sebanyak 12 kali – rekod tertinggi berbanding mana-mana kelab lain di England dan Wales.

Fernandes merupakan pemain Portugal kedua memenangi anugerah berprestij itu selepas Cristiano Ronaldo, yang pernah merangkulnya dua kali berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Pemain berusia 31 tahun itu tampil lebih menyerlah di bawah kendalian pengurus, Michael Carrick, yang memberikannya serta tiga rakan penyerang lain lebih kebebasan untuk mengawal bahagian serangan.

“Bruno mampu mencetuskan detik-detik hebat. Beliau sangat bijak. Saya rasa sedikit kebebasan amat sesuai dengannya,” kata Carrick pada Februari lalu.

Secara keseluruhan, Fernandes telah menjaringkan 110 gol dan menyumbang 106 bantuan gol sepanjang kerjayanya bersama United.

Beliau mencecah angka 200 penglibatan gol – gabungan jaringan dan hantaran gol – hanya dalam 314 perlawanan. 

Pencapaian itu menjadikannya pemain kedua terpantas dalam sejarah United mencapai tahap berkenaan pada era EPL di belakang Wayne Rooney, yang melakukannya dalam 295 perlawanan.

Anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA pula dimenangi oleh pemain pertahanan kiri Manchester City berusia 21 tahun, Nico O’Reilly, menyusuli kempen cemerlangnya yang turut menyaksikan beliau merangkul gelaran Pemain Muda Terbaik Musim EPL.

Pemain antarabangsa England itu membuat 53 penampilan bersama City dalam semua pertandingan serta menjaringkan sembilan gol.

Sementara itu, penyerang Arsenal berusia 22 tahun, Olivia Smith, dinobatkan sebagai Pemain Muda Wanita Terbaik Tahunan PFA buat kali kedua berturut-turut.

Kesebelasan Terbaik Liga Perdana PFA:

  1. Penjaga Gol: David Raya (Arsenal)
  2. Pertahanan: Gabriel Magalhaes (Arsenal), Nico O’Reilly (Manchester City), William Saliba (Arsenal), Jurrien Timber (Arsenal)
  3. Tengah: Bruno Fernandes (Manchester United), Declan Rice (Arsenal), Rayan Cherki (Manchester City)
  4. Penyerang: Erling Haaland (Manchester City), Antoine Semenyo (Manchester City), Igor Thiago (Brentford) – Reuters.