Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buat peminat bangga dengan Singa, gesa Gavin

Jurulatih sementara beri peringatan tegas kepada pasukan sebagai persiapan lawan India 9 Okt
Oct 8, 2025 | 7:31 PM
bola sepak, Gavin Lee, Singa
Jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, berkata jika pemain dapat membanggakan peminat di atas padang, keputusan positif pasti menyusul. - Foto ZAOBAO

Berikan peminat satu pasukan negara yang boleh dibanggakan.

Itulah peringatan tegas daripada jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, kepada anak buahnya dalam mempersiapkan mereka bagi pertarungan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027 menentang India pada 9 Oktober.

“Kami banyak berbincang di antara kami dalam satu kumpulan, dan kami sedar tentang peluang di hadapan.

“Namun, pada masa yang sama, kami juga sedar bahawa sudah lama kami tidak merasai kegembiraan dan kebanggaan yang serupa seperti dahulu.

“Maka, salah satu niat atau prinsip panduan kami ialah untuk berikan peminat sebuah pasukan negara yang boleh mereka banggakan,” kata Lee dalam satu sidang media praperlawanan di Stadium Negara pada 8 Oktober.

Beliau menambah, jika mereka dapat melakukannya di atas padang, keputusan positif pasti menyusul.

Ini merupakan perlawanan kompetitif pertama yang dikendalikan Lee sejak mengambil alih daripada Tsutomu Ogura pada Jun.

Sebelum ini, beliau pernah memimpin pasukannya di dua perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Myanmar pada September lalu.

Pasukan Singa kini mendahului Kumpulan C dengan empat mata selepas dua perlawanan.

Singapura, pasukan nombor 158 di dunia, seri 0-0 dengan Hong Kong sebelum menang 2-1 ke atas Bangladesh.

Menanti Singa di medan pertarungan ialah lawan yang berada di kedudukan 134 dunia, India.

Digelar The Blue Tigers, pasukan India mempunyai mutu untuk menerkam Singa.

Antaranya penyerang veteran, Sunil Chhetri, yang sudah menjaringkan 95 gol untuk India dalam 155 perlawanan.

Beliau berada di tempat keempat bagi carta penjaring terbanyak peringkat antarabangsa di belakang Cristiano Ronaldo dari Portugal, Lionel Messi dari Argentina dan Ali Daei dari Iran.

Dalam mempersiapkan jenteranya, Lee akur India tidak akan mengharapkan pada seorang pemain sahaja seperti Chhetri, serta mempunyai gaya permainan tersendiri.

Lantas, beliau menegaskan agar pemainnya mempersembahkan permainan mudah sebaik mungkin, kerana ia mampu menjadi penentu perlawanan.

“Mereka mempunyai gaya permainan yang tersendiri dan berkesan dengan gaya itu.

“Maka, walaupun situasi yang bakal kami hadapi mungkin tidak terlalu rumit, kami tidak boleh memandang ringan.

“Perkara yang dilihat mudah pun akan menjadi sangat penting esok,” ujar Lee.

Kapten pasukan, Hariss Harun, turut menyokong jurulatihnya itu, seraya menegaskan bahawa mereka tidak mahu terlalu selesa dengan kedudukan semasa.

Beliau akur ramai yang berpendapat Singa berada dalam kumpulan yang mudah, namun segalanya tidak akan pasti sehingga Mac 2026 apabila kesemua perlawanan kelayakan selesai.

Terutama sekali dengan India, yang pernah beraksi di Piala Asia dan mampu menghukum Singa.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik sekarang, tetapi itu tidak menjamin apa-apa.

“Kami mahu berada dalam kedudukan terbaik jelang Mac, atau lebih awal jika boleh. Oleh itu, kami tidak boleh mengambil ringan apa-apa esok,” kata Hariss.

Mereka pernah bersama sejak zaman Akademi Bola Sepak Kebangsaan (NFA), di mana Lee dan Hariss merupakan rakan sepasukan. Lantas kapten itu tidak memandang rendah kehebatan jurulatih sementaranya.

Menurut Hariss, para pemain dan Lee saling mengenali antara satu sama lain dan memahami apa yang diharapkan Lee terhadap mereka.

Malah, menurut Hariss, keyakinan Lee terhadap para pemain jauh melebihi keyakinan yang dimiliki oleh pemain itu sendiri.

“Dalam pasukan, saya rasa kami ada membincangkan tentang aspek keyakinan ketika bermain.

“Saya rasa beliau mempunyai keyakinan yang tinggi, malah lebih tinggi daripada keyakinan yang dimiliki pemain-pemain itu sendiri.

“Itu sendiri sudah banyak menceritakan tentang dirinya,” kata Hariss sambil berseloroh.

Kapten Singa, Hariss Harun, berkata keyakinan jurulatih sementara, Gavin Lee, terhadap para pemain jauh melebihi keyakinan yang dimiliki oleh pemain itu sendiri.
Kapten Singa, Hariss Harun, berkata keyakinan jurulatih sementara, Gavin Lee, terhadap para pemain jauh melebihi keyakinan yang dimiliki oleh pemain itu sendiri. - Foto ZAOBAO

Pemain turut jelas dengan apa yang diminta daripada mereka di fasa berbeza dalam permainan, tambahnya.

“Beliau telah banyak membantu kami. Saya harap beliau dapat terus terlibat dalam bola sepak Singapura untuk masa yang panjang.

“Kini, terpulang kepada kami sebagai pemain untuk pergi ke padang, memberikan yang terbaik dan membuktikannya,” ujar Hariss.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg