Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan sekadar menang: Ibu harap AIA HYROX Youngstars bina ketahanan mental anak
Bukan sekadar menang: Ibu harap AIA HYROX Youngstars bina ketahanan mental anak
Bagi Jackson Ehsan yang berusia sembilan tahun, menyertai pertandingan AIA HYROX Youngstars Singapura mungkin merupakan peluang untuk menguji keupayaan fizikalnya dan mengejar kemenangan.
Bagaimanapun, bagi ibunya, Faz Gaffa, 39 tahun, pengalaman itu membawa makna yang jauh lebih mendalam - mendidik anak lelakinya untuk menerima kekalahan, belajar daripada kesilapan dan bangkit semula dengan lebih kuat.
Ehsan tidak menyembunyikan cita-citanya menjelang pertandingan tersebut.
“Saya mahu menang. Saya sentiasa mahu menang,” katanya.
Namun, Faz mempunyai harapan yang berbeza.
Daripada memberi tekanan kepada anaknya untuk meraih kedudukan podium, beliau mahu Ehsan menikmati pertandingan itu dan memahami bahawa kemenangan bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan.
“Bagi saya, menyertai sukan dan perlumbaan serta belajar bagaimana untuk kalah adalah sesuatu yang sangat penting,” kata Faz pula.
Beliau percaya keupayaan menerima kekalahan dan mengambil iktibar daripada kesilapan merupakan kemahiran penting yang boleh dibentuk menerusi sukan.
“Saya rasa ramai kanak-kanak di Singapura tidak mempunyai kemahiran itu. Apabila mereka kalah, mereka perlu belajar daripada kesilapan dan menjadi lebih baik,” tambahnya.
Faz berharap pengalaman menyertai AIA HYROX Youngstars Singapura dapat membantu Ehsan membina ketahanan mental, selain menguji keupayaan fizikalnya.
“Saya mahu dia berseronok. Saya tidak mengharapkan dia menang. Saya dan suami akan berada di sana untuk memberikan sokongan kepadanya,” katanya.
AIA HYROX Youngstars Singapore, yang berlangsung pada 28 dan 29 November di Singapore EXPO, menandakan kemunculan pertama format perlumbaan belia HYROX di Asia.
Ia terbuka kepada kanak-kanak berusia lapan hingga 15 tahun dan menggabungkan larian dengan beberapa stesen.
Minat Ehsan terhadap HYROX turut didorong oleh ibunya, yang sering bercerita tentang acara sukan itu dan menonton video perlumbaan bersamanya.
Selepas melalui sesi percubaan yang diadakan di HAUS217 pada 19 November, Ehsan mengakui ia agak memenatkan, tetapi pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk menyertai perlumbaan sebenar.
Stesen kegemarannya ialah ‘lunges’ - pergerakan yang sudah biasa dilakukannya menerusi sukan lawan pedang.
Faz berkata latihan tersebut turut membantu membina kecergasan anaknya, khususnya menerusi latihan kaki dan tangan, larian serta gerakan ketangkasan yang boleh dimanfaatkan dalam perlumbaan HYROX.
Beliau bagaimanapun menjangkakan beberapa stesen seperti SkiErg mungkin lebih asing bagi Ehsan dan memerlukan latihan tambahan.
Perubahan yang dilihat Faz bukan sekadar dari segi fizikal.
Sejak mula berlatih lawan pedang dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain, Ehsan semakin yakin bergaul, selain menunjukkan peningkatan dalam kemahiran berunding dan berkomunikasi.
Bagi Faz, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membentuk tabiat sihat anak-anak kerana mereka cenderung mencontohi tingkah laku orang dewasa di sekeliling mereka.
Pandangan itu selari dengan matlamat AIA Singapore yang menjadi penaja utama AIA HYROX Singapura untuk tahun kedua, selain meluaskan komitmennya sebagai penaja utama AIA HYROX Youngstars Singapura sempena kemunculan sulung format belia itu di Asia.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Kesihatan AIA Singapura, Cik Irma Hadikusuma, berkata syarikat itu melihat HYROX sebagai wadah untuk membina komuniti menerusi pergerakan, matlamat bersama dan aktiviti fizikal.
Beliau berkata sokongan terhadap format belia itu mencerminkan hasrat AIA untuk menggalakkan generasi muda mengamalkan gaya hidup aktif sejak kecil, sekali gus memupuk minat terhadap kesihatan dan kecergasan sepanjang hayat.
Bagi Faz, pengalaman bersaing itu akhirnya bukan semata-mata untuk membantu Ehsan mencatat masa terpantas atau menewaskan peserta lain.
Sebaliknya, beliau mahu anaknya membawa pulang sesuatu yang lebih bermakna daripada perlumbaan - keyakinan untuk mencuba, keberanian menerima kegagalan dan kesediaan untuk bangkit semula.