Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cadangan kawal perjanjian komersial: Aston Villa, Man City akan tentang pindaan

Nov 21, 2024 | 1:07 PM
Nassef Sawiris, yang merupakan individu terkaya Mesir, berpendapat EPL memerlukan “permulaan baru” dan oleh itu undian pada APT harus ditangguhkan sehingga Februari untuk tingkatkan peluang “sokongan sebulat suara”.
Nassef Sawiris, yang merupakan individu terkaya Mesir, berpendapat EPL memerlukan “permulaan baru” dan oleh itu undian pada APT harus ditangguhkan sehingga Februari untuk tingkatkan peluang “sokongan sebulat suara”. - Foto FACEBOOK UP THE VILLA

LONDON: Pemilik Aston Villa, Nassef Sawiris berkata kelab itu akan menyertai Manchester City dalam mengundi menentang pindaan yang dicadangkan Liga Perdana England (EPL) kepada peraturan yang mengawal perjanjian komersial.

Pada 22 November, kelab utama akan mengundi mengenai perubahan kepada peraturan Transaksi Pihak Bersekutu (APT) pada mesyuarat EPL.

Sawiris, yang merupakan individu terkaya Mesir, berpendapat EPL memerlukan “permulaan baru” dan oleh itu undian pada APT harus ditangguhkan sehingga Februari untuk meningkatkan peluang “sokongan sebulat suara”.

Manchester City telah pun menulis surat kepada 19 kelab lain menyatakan kebimbangan terhadap apa yang didakwa sebagai pindaan “melanggar undang-undang” yang dicadangkan EPL.

Pada Oktober, kedua-dua City dan EPL mengisytiharkan kemenangan selepas keputusan panel timbang tara ke atas APT.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Telegraph, Sawiris mengesahkan Villa “akan mengundi menentang” perubahan APT.

“Pada pandangan kami, undian dalam tempoh 90 hari ke atas terma yang dipinda dengan mengambil kira penemuan tribunal, akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk mendapatkan sokongan sebulat suara daripada semua 20 kelab Liga Perdana,” katanya.

“Yang penting, undian sebulat suara akan memberi permulaan baru bagi EPL bermula dengan percubaan gagal melancarkan Liga Super pada 2021.”

Sawiris berkata adalah lebih penting untuk EPL membentangkan perpaduan (antara kelab).

Beliau menambah: “Pada pandangan kami, ini akan jauh lebih mudah dicapai jika undian APT diadakan pada Februari dan disokong sebulat suara oleh semua kelab.”

Antara cadangan perubahan kepada peraturan APT, EPL mahu membuat pinjaman yang diambil pemegang saham tertakluk kepada nilai pasaran yang saksama, serta mengubah pindaan yang dibuat pada Februari.

Sawiris berkata beliau berminat memastikan EPL mengelak sebarang kos perundangan besar selanjutnya.

Dalam surat setebal 11 muka surat yang dilihat oleh BBC, EPL menulis kepada Manchester City, mengatakan ia “menolak sekeras-kerasnya dakwaan berulang dan tidak berasas” bahawa “sama ada liga atau wakilnya telah bertindak dalam apa jua cara yang bertentangan dengan tanggungjawab sebagai pengawal selia, atau telah ‘mengelirukan’ kelab.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg