Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Detik terbesar sepanjang kerjaya Shawal di padang bola sepak

May 17, 2025 | 5:30 AM
Penjaring terbanyak kedua Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Shawal Anuar dengan lapan gol, menjadi tonggak utama Lion City Sailors. Beliau kini bersedia menghadapi detik paling besar dalam kerjayanya, memikul harapan seluruh negara di pentas Asia.
Penjaring terbanyak kedua Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Shawal Anuar dengan lapan gol, menjadi tonggak utama Lion City Sailors. Beliau kini bersedia menghadapi detik paling besar dalam kerjayanya, memikul harapan seluruh negara di pentas Asia. - Foto ST

Bagi penyerang berbisa Lion City Sailors, Shawal Anuar, final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada 18 Mei di Stadium Bishan bukan sekadar satu lagi perlawanan dalam kerjayanya.

Sebaliknya, beliau menganggap pertarungan final itu merupakan detik terbesar sepanjang kerjayanya di padang bola sepak.

Walaupun sudah beraksi di pusingan akhir Piala Singapura, Piala Komuniti, malah separuh akhir Piala Elektrik Mitsubishi Asia, Shawal tidak teragak-agak untuk menyifatkan final ACL2 itu nanti sebagai antara detik paling penting dalam kerjaya bola sepaknya.

“Saya anggap ini sebagai perlawanan terbesar dalam kerjaya saya.

“Suasana bakal luar biasa, terutamanya dengan kehadiran 10,000 penyokong yang dijangka hadir di Stadium Bishan nanti,” kata penyerang berusia 34 tahun itu.

Dikenali sebagai pemain yang sentiasa gigih berusaha, Shawal telah membuktikan dirinya bukan sekadar pemain biasa-biasa sahaja.

Prestasi hebat sepanjang ACL2

Dengan lapan gol dalam kempen ACL2 musim ini, beliau bukan hanya membuktikan sentuhan hebatnya di depan gawang lawan, bahkan juga penjaring gol utama yang banyak membantu pasukan untuk mara ke peringkat tertinggi antarabangsa.

Beliau turut merupakan penjaring gol terbanyak kedua dalam pertandingan itu, hanya di belakang, Sardar Azmoun, penyerang kelab Iran, Shabab Al-Ahli, yang telah disingkirkan daripada pertandingan tersebut.

Ini bermakna Shawal berpeluang merangkul anugerah penjaring terbanyak pertandingan itu jika beliau berjaya membolosi gawang Sharjah FC.

Namun, Shawal mengakui pada awal pertandingan ini, beliau jarang disertakan dalam kesebelasan utama pasukan, dan perlu bersabar menantikan peluangnya.

“Dari segi detik penting, perlawanan menentang Port FC memang sangat bermakna bagi saya.

“Saya berjaya jaringkan dua gol dan gunakan peluang itu untuk buktikan kemampuan saya,” kata Shawal, merujuk pada perlawanan peringkat kumpulan pertandingan tersebut.

“Sejak itu, keyakinan saya semakin meningkat dan saya terus bina momentum untuk kempen ini. Dalam setiap perlawanan, saya sentiasa beri yang terbaik dan cabar diri untuk jadi lebih baik.”

Dan keyakinan beliau jelas dapat dilihat dalam perlawanan menentang Muangthong United di peringkat 16 terakhir, apabila beliau menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan.

Antara gol beliau merupakan gol terpantas yang dijaringkan dalam sejarah ACL2, apabila beliau mengambil hanya 18 saat untuk mencapai sasaran.

Lokasi Final ‘Tak Penting’

Stadium Bishan, yang telah dinaik taraf untuk menampung 10,000 penonton, akan menjadi tempat bersejarah bagi perlawanan akhir ini.

Walaupun terdapat beberapa kontroversi mengenai pemindahan dari Stadium Jalan Besar, Shawal tetap tenang dan memberi tumpuan pada matlamatnya.

“Stadium tak penting sangat, yang penting adalah apa yang dapat kita lakukan di atas padang nanti,” katanya.

“Apa yang benar-benar penting adalah bagaimana kita bermain dan memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan.”

Bagi Shawal, tempat pertandingan hanyalah latar belakang kepada perlawanan terbesar dalam hidupnya.

Sokongan padu

Beliau sedar setiap peminat bola sepak setempat akan meletakkan harapan tinggi ke atas bahunya dan Sailors.

Dengan semangat dan sokongan padu daripada para penyokong, beliau yakin Sailors akan memberikan segalanya untuk membanggakan negara.

Sokongan para penyokong tidak dapat dinafikan, dan Shawal turut mengakui betapa pentingnya mereka.

“Penyokong adalah segala-galanya bagi kami. Kami menerima banyak sokongan sepanjang kempen ini, dan sekarang dengan semua tiket habis dijual dalam masa yang singkat, kami tahu negara akan menyokong kami,” ujarnya.

Dengan 10,000 penyokong yang dijangka hadir di Stadium Bishan, suasana dijangka meriah sekali.

Walaupun ramai penyokong yang tidak dapat hadir ke stadium, Shawal tetap berterima kasih dan memberi pesanan penuh penghargaan.

“Saya tahu ada ramai penyokong yang ingin hadir tetapi tidak dapat membeli tiket. Usahlah kecewa... sokongan anda tetap dihargai dan kami akan berjuang untuk anda semua,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg