Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stadium Bishan dinaik taraf bagi final Liga Juara-Juara Asia 2

May 13, 2025 | 5:19 PM
Stadium Bishan sedang jalani kerja-kerja naik taraf segera demi memenuhi piawaian yang diperlukan untuk menganjurkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2), yang akan berlangsung pada 18 Mei.
Stadium Bishan sedang jalani kerja-kerja naik taraf segera demi memenuhi piawaian yang diperlukan untuk menganjurkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2), yang akan berlangsung pada 18 Mei. - Foto ST

Bagi peminat setia seperti Eddy Hirono dan Tan Chin Heng, menyaksikan perlawanan Lion City Sailors di Stadium Bishan sudah menjadi kebiasaan mingguan.

Walaupun telah mengikuti hampir setiap perlawanan di tempat sendiri sejak 2023, kedua-dua penyokong ini tetap kagum dengan transformasi stadium menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pada 8 Mei, mereka dan pihak media berpeluang melihat lebih awal stadium yang akan menjadi gelanggang pertembungan antara The Sailors dan Sharjah FC dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 18 Mei.

“Reaksi pertama saya memang menakjubkan. Saya sudah dapat membayangkan suasana stadium dengan 10,000 peminat yang bersorak untuk pasukan ini, jadi saya sangat teruja menantikan hari perlawanan,” kata Encik Tan, 35 tahun, seorang jurutera.

Hirono, 37 tahun, seorang penasihat undang-undang, menambah, “Sudah pasti, pemandangannya agak berbeza, tetapi sangat dialu-alukan. Kami berseloroh dan mengatakan ia kelihatan seperti stadium pelangi sekarang, dengan tempat duduknya yang pelbagai warna. Ia sedikit mengingatkan saya kepada suasana Perbarisan Hari Kebangsaan.”

Kerja-kerja menaik taraf segera Stadium Bishan dimulakan pada 3 Mei, setelah mendapat kelulusan sementara daripada AFC.

Perlawanan ini diadakan di Singapura berikutan keputusan AFC bahawa venue untuk perlawanan akhir akan dihoskan secara bergilir-gilir setiap tahun antara wilayah Timur dan Barat Asia.

Bagi edisi 2024-25, pasukan tuan rumah adalah dari Asia Timur.

Sebelum ini, Sailors telah menjadi tuan rumah kepada enam perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) di Stadium Jalan Besar musim ini - menang empat kali, seri sekali, dan kalah sekali.

Bagaimanapun, stadium tersebut dianggap tidak sesuai untuk perlawanan akhir, manakala Stadium Negara yang berkapasiti 55,000 penonton tidak dapat digunakan kerana bertembung dengan konsert Lady Gaga.

Menurut maklumat yang diperoleh The Straits Times, dianggarkan sekitar $1 juta diperlukan untuk menyediakan Stadium Bishan bagi perlawanan akhir ACL 2 itu.

The Sailors, Sport Singapore (SportSG), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), dan AFC telah menyumbang kepada pembiayaan kos persiapan tersebut, termasuk acara hiburan pembukaan dan penutup pada hari perlawanan.

Tiga tingkat tempat duduk penonton telah dibina di sekeliling padang sebagai sebahagian daripada kerja-kerja menaik taraf, meningkatkan kapasiti stadium daripada sekitar 2,800 kepada 10,000 penonton.

Tiket untuk perlawanan akhir itu telah habis dijual.

Tempat duduk tambahan itu diperlukan untuk menempatkan tetamu kehormat (VIP), kakitangan AFC, dan kakitangan media.

Sebuah bilik perubatan di tepi padang, bilik untuk pegawai teknikal AFC, dan jawatankuasa kerja juga telah disediakan di stadium.

Sebuah bilik sidang media dan pusat media yang dapat menampung sekurang-kurangnya 50 orang juga telah dipasang.

Penambahbaikan lain termasuk menaik taraf lampu untuk memenuhi keperluan siaran televisyen.

Gerai makanan bergerak, serta gerai permainan dan barangan, juga dirancang untuk dibuka di luar stadium untuk para penonton.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg