PHILADELPHIA: Arsenal telah menandatangani pemain pertahanan Italy, Riccardo Calafiori, dari Bologna dengan bayaran £42 juta ($72.5 juta) termasuk imbuhan lain.
Pemain berusia 22 tahun itu, yang memulakan tiga perlawanan Italy di peringkat kumpulan Euro 2024, menandatangani kontrak lima tahun dengan pasukan kendalian Mikel Arteta.
Beliau terus menyertai rakan sepasukannya yang baru di Philadelphia, Amerika Syarikat.
“Saya sangat gembira berada di sini. Saya sudah lama menunggu. Saya harap kami akan melakukan sesuatu yang hebat musim ini,” jelas Calafiori.
Beliau yang menghabiskan satu musim di Bologna, boleh bermain di bahagian pertahanan tengah atau di bek kiri – dan pernah bermain di sayap kiri.
Beliau bermain 30 kali untuk Bologna dalam Serie A musim lalu, menjaringkan dua gol dan mencatat lima ‘assist’ (pembuka laluan) ketika mereka menamatkan saingan di tempat kelima dan mengesahkan tempat di Liga Juara-Juara.
Arteta menyifatkan Calafiori sebagai “pemain baru yang hebat”.
Menurut Arteta, Calafiori mempunyai personaliti dan perwatakan besar serta kemahiran khusus yang mampu menjadikan Arsenal lebih kuat ketika mereka berusaha memenangi trofi utama.
“Beliau sudah menunjukkan perkembangan hebat dalam beberapa musim kebelakangan ini dengan persembahannya untuk kededua Bologna dan Italy, dengan perkembangannya pada tahun lalu (2023) sangat mengagumkan.
“Kami tidak sabar untuk bekerja dengan Riccardo, menyertakannya ke dalam skuad, dan menyokongnya pada tahun-tahun akan datang,” tambah Arteta.
Calafiori dinobatkan pemain terbaik Serie A bulan Mei – dan membuat lima penampilan senior untuk Italy pada musim panas ini.
Beliau membuat penampilan seniornya yang pertama untuk Roma pada 2020 dan pernah dipinjamkan di Genoa sebelum menyertai Basel pada 2022.
Pemain pertahanan itu menghabiskan satu musim di Switzerland sebelum Bologna menandatanganinya dengan harga 3.3 juta paun ($5.7 juta).
Calafiori memulakan kerjayanya sebagai bek kiri yang mampu bermain di bahagian hadapan, tetapi kebanyakannya tampil sebagai pertahanan tengah di bawah bos Bologna, Thiago Motta, yang telah berpindah ke Juventus pada musim panas ini.
Juve dan Chelsea adalah antara pasukan lain yang dikaitkan dengannya.
Calafiori dijangka bersaing dengan bek tengah, Gabriel, atau bek kiri, Oleksandr Zinchenko, untuk mendapatkan tempat di Arsenal.
Pasukan Arteta berharap dapat mencabar kejuaraan Liga Perdana England (EPL) yang pertama dalam tempoh 21 tahun selepas hanya menduduki tempat kedua berturut-turut.
Sementara itu Fulham telah mencapai persetujuan dengan Arsenal untuk menandatangani pemain tengah, Emile Smith Rowe, dengan harga 27 juta euro ($46.6 juta) yang berpeluang menjangkau sehingga 7 juta euro ($12 juta) sebagai tambahan.
Fulham bakal mendapatkan Smith Rowe dengan bayaran rekod kelab dan sumber mengatakan jumlah tambahan itu berdasarkan kejayaan Piala dan Eropah untuk The Cottagers.
Pemain berusia 23 tahun itu tidak disertakan dalam dua perlawanan pramusim Arsenal yang lalu untuk menyelesaikan pemindahan tersebut.
Smith Rowe merupakan lulusan akademi dan seorang yang terkenal dalam kalangan penyokong Arsenal tetapi kurang mendapat tempat di Arsenal, yang lebih menyukai Gabriel Martinelli, Leandro Trossard dan Bukayo Saka. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg