BIRMINGHAM: Pemain sayap Aston Villa, Moussa Diaby, bersedia untuk melengkapkan pemindahan ke kelab Arab Saudi, Al-Ittihad, dengan harga kira-kira £50.4 juta ($87.4 juta).
Pemain berusia 25 tahun itu telah berangkat ke Saudi untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan menyelesaikan perjanjian itu selepas bersama Villa hanya buat satu musim.
Diaby dilaporkan menyertai Villa daripada Bayer Leverkusen untuk bayaran rekod kelab, sebanyak £51.9 juta pada musim panas lalu.
Namun pengurus Villa, Unai Emery, telah memutuskan untuk melepaskan pemain antarabangsa Perancis itu.
Ia dilakukan selepas kelab tersebut menandatangani pemain, Jaden Philogene dari Hull, dengan bayaran kira-kira £13.5 juta bagi pemain sayap itu pada Julai.
Mereka percaya lulusan akademi pasukan itu boleh memberi impak besar.
Diaby membuat 54 penampilan untuk Villa, menjaringkan 10 gol dan membantu mereka menduduki tempat keempat dalam Liga Perdana England (EPL) sekali gus layak ke Liga Juara-Juara.
Villa sedang membentuk semula skuad mereka menjelang musim baru dan sudah menjual pemain tengah, Douglas Luiz, kepada Juventus dengan harga £42.4 juta pada Jun.
Mereka turut menandatangani, Samuel Iling-Junior dan Enzo Barrenechea, daripada kelab Italy itu.
Selain itu, pemain bek kiri, Ian Maatsen, menyertai mereka daripada Chelsea dengan harga £35 juta dan pemain sayap, Lewis Dobbin, juga menyertai mereka daripada Everton dengan belanja sekitar £9 juta.
Pada 23 Julai, Villa telah menyempurnakan pembelian £50 juta untuk pemain tengah Everton, Amadou Onana.
Sementara itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata kelab itu cuba mengukuhkan “posisi tertentu” selepas mereka menyasarkan pemain pertahanan Italy, Riccardo Calafiori.
Bercakap di Los Angeles untuk tiga perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat, Arteta memberitahu pemberita bahawa “tiada maklumat terkini” mengenai perjanjian untuk pemain Bologna berusia 22 tahun itu yang bernilai kira-kira £34 juta.
Namun, sumber mengatakan perbincangan berjalan dengan baik dan dijangka mencapai kesimpulan positif.
Arsenal juga sedang mencari pemain midfield untuk mengukuhkan bahagian tengah supaya dapat mencapai prestasi lebih baik berbanding dua kempen lepas apabila mereka menduduki tempat kedua di belakang Manchester City.
“Kami perlu (meningkatkan diri),” kata ketua Gunners itu, apabila ditanya sama ada pasukannya perlu meningkatkan prestasi walaupun selepas melalui dua musim yang cemerlang.
“Bila anda sudah menghampirinya, anda ingin mendapatkannya. Memenangi EPL secara cemerlang memerlukan standard berbeza dan itulah yang perlu kita lakukan.”
“Kami masih mempunyai masa dalam tempoh pemindahan dan walaupun itu merupakan tanggungjawab pihak pengurusan, kami sedar terdapat posisi tertentu yang kami mahu perbaiki dan menambah bilangan pemain.
“Namun, perkara utama adalah untuk menjalinkan hubungan baik antara pemain,” tambahnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg