Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calvert-Lewin bantu Everton seri dengan Newcastle

Apr 3, 2024 | 1:23 PM
Penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin, menjaringkan sepakan penalti untuk membantu Everton seri 1-1 semasa Everton menentang Newcastle.
Penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin, menjaringkan sepakan penalti untuk membantu Everton seri 1-1 semasa Everton menentang Newcastle. - Foto REUTERS

NEWCASTLE: Dominic Calvert-Lewin menjaringkan penalti lewat dalam perlawanan semasa menentang Newcastle untuk membantu Everton mendapat satu mata penting dalam usaha mengelak penyingkiran daripada Liga Perdana England (EPL).

Alexander Isak sebelum itu meletakkan Newcastle di depan pada minit ke-15 selepas beliau menerima hantaran Harvey Barnes, melepasi pemain pertahanan Everton, Jarrod Branthwaite, untuk menjaringkan golnya.

Jaringan Dan Burn pula dibatalkan akibat ofsaid dan Isak hampir-hampir menjaringkan gol kedua tetapi berjaya dihalang pertahanan Everton.

Everton diberikan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila Paul Dummett mengasari Ashley Young di kotak penalti Newcastle.

Pengadil perlawanan Tony Harrington mulanya tidak memberikan penalti, tetapi setelah dinasihati video penolong pengadil (VAR) untuk melihat semula kejadian tersebut di skrin sebelah padang, penalti akhirnya diberikan kepada Everton.

“Apabila anda lihat kejadian itu semula, keputusan itu diberikan akibat tahap tangan Paul di leher Ashley,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe, yang tidak membantah keputusan itu.

Namun, pengurus Everton, Sean Dyche tertanya mengapa penalti tersebut tidak diberikan dengan lebih pantas.

“Saya tidak tahu mengapa mereka harus semak kejadian tersebut 100 kali. Saya sudah lihatnya dan ia sepatutnya diberikan serta-merta,” kata Dyche yang mengharapkan gol tersebut akan meningkatkan keyakinan Calvert-Lewin.

“Saya yakin Dom akan menjaringkan penalti tersebut dan saya gembira beliau dapat menjaringkannya. Kadangkala ia bermula dengan jaringan penalti dan suasana sekelilingnya akan menjadi lebih baik.

“Beliau sedang bekerja keras dan kami tuntut banyak daripada beliau dan Beto,” tambah Dyche.

Everton kekal berada di kedudukan ke-16 EPL, tetapi berjaya meluaskan jurang mereka dengan pasukan tempat ke-18, Luton, kepada empat mata.

Dengan Everton seri perlawanan menentang Newcastle, kelab itu kini mencatat 13 perlawanan EPL tanpa kemenangan berturut-turut.

Everton kini belum lagi menang perlawanan EPL sejak kemenangan 2-0 atas Burnley pada 16 Disember.

Keputusan seri bermakna Everton kini telah memecahkan rekod 12 perlawanan tanpa kemenangan mereka di bawah bimbingan pengurus Mike Walker pada 1994.

Newcastle pula masih mengejar kelayakan Eropah, di tempat kelapan, satu mata di belakang pasukan tempat ketujuh, West Ham, yang seri dengan Tottenham 1-1.

Namun, Newcastle mempunyai kelebihan satu perlawanan mengatasi West Ham. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg