Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Everton rugi £89.1j bagi musim 2022-2023

Apr 1, 2024 | 9:58 AM
Stadium Goodison Park yang menjadi stadium pasukan Everton sejak 1892, dijadual akan digunakan buat kali terakhir sepanjang musim 2024 hingga 2025.
Stadium Goodison Park yang menjadi stadium pasukan Everton sejak 1892, dijadual akan digunakan buat kali terakhir sepanjang musim 2024 hingga 2025. - Foto REUTERS

Everton melaporkan kerugian kewangan berjumlah 89.1 juta paun ($151.7 juta) dalam akaun terkini mereka bagi musim 2022 hingga 2023.

Ia merupakan kerugian yang masuk tahun keenam bagi pasukan bergelar Toffees itu dan lebih seganda daripada defisit 44.7 juta paun yang dicatat bagi musim 2021 hingga 2022.

Everton telah dikenakan potongan 10 mata, yang kemudian dikurangkan kepada enam mata selepas rayuan, kerana melanggar peraturan kewangan Liga Perdana England (EPL) bagi tempoh tiga tahun sehingga musim 2021 hingga 2022.

Mereka kini sedang menanti hasil dakwaan kedua bagi tempoh (termasuk) musim 2022 hingga 2023.

Everton juga melaporkan satu keuntungan hasil pemain yang dijual sejumlah 47.5 juta paun – Anthony Gordon telah dijual kepada Newcastle pada Januari 2023 dalam satu perjanjian yang bernilai 45 juta paun.

Ia juga membelanjakan 210.9 juta paun bagi pembangunan berterusan stadium baru kelab itu di Bramley–Moore Dock yang dijadualkan dibuka menjelang musim 2025 hingga 2026.

Everton juga mencatat hutang bersih yang meningkat kepada 330.6 juta paun.

Satu kerugian tajaan sekitar 20 juta paun selepas perjanjian dengan syarikat-syarikat Russia digantung, menyusuli pencerobohan ke atas Ukraine, juga dicatat – menyumbang kepada pengurangan jualan sebanyak 8.9 juta paun kepada 172.2 juta paun.

Kos sebanyak 7.1 juta paun yang ditanggung hasil pemergian pengurus pasukan itu, Frank Lampard serta kakitangannya pada Januari 2023 juga dicatat. Tambahan 3 juta paun juga dicatat bagi pertukaran anggota lembaga kelab itu.

Di bawah peraturan keuntungan dan kemampanan (PSR) EPL, kelab boleh kehilangan maksimum 105 juta paun bagi tempoh tiga musim, atau 35 juta paun bagi setiap kempen, sebelum berhadapan dengan sekatan.

Kos yang dikait dengan pelaburan prasarana, pasukan belia dan wanita boleh dipotong apabila mengambil kira kerugian PSR.

Pada November, satu suruhanjaya berdikari mendapati kerugian PSR kelab itu pada 2021 hingga 2022 berjumlah 124.5 juta paun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg