Amerika Syarikat akan membuka tirai kempen Piala Dunia 2026 mereka dengan perlawanan menentang Paraguay pada 13 Jun (3 pagi waktu Singapura) di Stadium SoFi, Los Angeles.

Sebagai salah satu tuan rumah kejohanan bersama Canada dan Mexico, tekanan awal kini terarah kepada skuad kendalian Mauricio Pochettino untuk memastikan permulaan yang meyakinkan di hadapan penyokong sendiri.

Dalam kumpulan yang turut dibarisi Turkey dan Australia, setiap mata pada perlawanan pembukaan ini boleh menjadi asas kepada perjalanan mereka ke pusingan seterusnya.

Bagi Amerika, ini bukan lagi pasukan yang sekadar mahu ‘menyertai’ kejohanan, bahkan skuad yang membawa harapan untuk melangkah lebih jauh daripada pencapaian suku akhir mereka pada edisi terdahulu.

Dengan generasi baharu yang semakin matang di pentas Eropah, jangkaan terhadap mereka meningkat dengan mendadak.

Paraguay pula tiba ke Los Angeles dengan status ‘underdog’, atau pasukan bukan pilihan, yang berbahaya.

Selepas kembali ke pentas Piala Dunia selepas tempoh ketiadaan yang panjang, pasukan kendalian Gustavo Alfaro ini hadir dengan reputasi sebagai pasukan yang sukar ditembusi dan sangat disiplin secara taktikal.

Skuad itu mungkin tidak mempunyai nama-nama besar seperti gergasi Amerika Selatan lain, tetapi struktur permainan mereka sering merumitkan pasukan lawan.

Perlawanan ini juga membawa dimensi sejarah yang menarik.

Amerika memiliki kelebihan dalam rekod pertemuan keseluruhan, termasuk kemenangan dalam pertemuan kompetitif pertama mereka pada Piala Dunia 1930.

Namun, Paraguay juga pernah mencatat kemenangan penting dalam beberapa pertemuan persahabatan dan kejohanan benua, sekali gus membuktikan bahawa jurang antara kedua-dua pasukan tidak terlalu jauh.

Pemain sayap Amerika Syarikat, Christian Pulisic (kanan), bakal menjadi sandaran utama skuad pimpinan Mauricio Pochettino untuk melepasi kubu pertahanan Paraguay yang terkenal dengan disiplin tinggi.
Pemain sayap Amerika Syarikat, Christian Pulisic (kanan), bakal menjadi sandaran utama skuad pimpinan Mauricio Pochettino untuk melepasi kubu pertahanan Paraguay yang terkenal dengan disiplin tinggi. - Foto AFP

Tumpuan utama pastinya menjurus kepada bintang Amerika, Christian Pulisic.

Pemain AC Milan itu kekal menjadi nadi kreativiti dan ancaman utama dari bahagian sayap, dengan kemampuan mengubah tempo permainan serta mencipta peluang dalam ruang sempit.

Di sampingnya, Folarin Balogun dijangka memainkan peranan penting sebagai penyerang utama yang mampu menghukum sebarang kelalaian pertahanan lawan melalui pergerakan tanpa bola yang bijak.

Namun, cabaran terbesar buat Amerika mungkin bukan hanya di bahagian serangan.

Kapten pasukan Paraguay, Gustavo Gomez (kiri), dijangka mengetuai barisan pertahanan pasukan itu bagi mengekang jentera serangan pantas Amerika Syarikat.
Kapten pasukan Paraguay, Gustavo Gomez (kiri), dijangka mengetuai barisan pertahanan pasukan itu bagi mengekang jentera serangan pantas Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Paraguay terkenal dengan barisan pertahanan yang teratur, diketuai kapten Gustavo Gomez serta Omar Alderete di bahagian benteng.

Mereka jarang memberikan ruang dan sering memaksa lawan bekerja keras untuk setiap peluang.

Di bahagian serangan, Paraguay bergantung kepada ketajaman Antonio Sanabria serta kreativiti Miguel Almiron yang mampu memecahkan garisan pertahanan melalui larian pantas dan keputusan segera di zon terakhir.

Dalam perlawanan yang dijangka ketat, kelalaian dalam permainan boleh mengubah keseluruhan naratif.

Bagi Amerika, corak permainan berintensiti tinggi di bawah Pochettino dijangka menjadi kunci – tekanan awal, penguasaan bola di kawasan lawan, serta percubaan untuk menamatkan perlawanan lebih awal sebelum Paraguay sempat menemui rentak mereka.

Namun jika gagal memanfaatkan dominasi awal, perlawanan ini berpotensi menjadi semakin rumit, dengan Paraguay selesa membawa permainan ke fasa lambat dan menghukum melalui serangan balas.

Ramalan wartawan: Amerika Syarikat 2-1 Paraguay