Topik diikuti
Pergi ke BHkuCanada mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia buat kali pertama
Canada mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia buat kali pertama
Canada mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia buat kali pertama
INGLEWOOD (California): Stephen Eustaquio melepaskan satu rembatan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-92 untuk menghadiahkan Canada kemenangan 1-0 ke atas Afrika Selatan pada 28 Jun.
Kemenangan ini sekali gus membawa pasukan penganjur bersama Piala Dunia 2026 itu ke pusingan 16 terakhir kejohanan buat julung-julung kali.
Aksi pusingan kalah mati pertama mendebarkan itu tamat dengan rembatan kencang Eustaquio yang menewaskan penjaga gol, Ronwen Williams.
Afrika Selatan, yang sebelum itu kelihatan seakan-akan berpuas hati untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dan kemungkinan sepakan penalti penentuan, melakukan beberapa cubaan agresif namun gagal untuk menyamakan kedudukan sebelum wisel penamat ditiupkan di Stadium Los Angeles.
Canada seterusnya bakal berdepan menentang Belanda atau Maghribi pada 4 Julai di Houston, Texas, untuk merebut tempat ke peringkat suku akhir.
“Kami cuma terus percaya, terus berjuang dan saya rasa kami tidak dapat membayangkan penutup lebih baik daripada ini,” kata Eustaquio.
“Ia satu gol yang menakjubkan. Apabila saya melakukan rembatan itu, saya rasa seolah-olah semua orang turut menendangnya bersama saya. Setiap orang memberikan sedikit tenaga pada bola itu, dan ia terkena jaring, jadi saya sangat gembira.”
Jurulatih Canada, Jesse Marsch, berkata pasukannya mempunyai banyak peluang sepanjang perlawanan namun sentuhan mereka “kurang berbisa”.
“Kemudian bola itu singgah ke kaki Steph (Eustaquio) dan saya hanya berharap beliau dapat melakukan rembatan tepat ke arah gawang dan mencuba nasib, dan beliau berjaya menyempurnakannya,” kata Marsch.
“Kerja keras daripada pemain-pemain ini, semangat yang ditonjolkan – mereka adalah wira Canada. Itulah yang saya beritahu mereka pada akhir perlawanan. Mereka kini bergelar wira Canada. Saya sangat gembira buat mereka.”
Peluang jaringan agak terhad dalam aksi separuh masa pertama yang hambar dan tiada perbezaan ketara dapat dilihat antara kedua-dua pasukan yang masing-masing beraksi dalam pusingan kalah mati buat kali pertama.
Peluang terbaik Canada hadir sejurus sebelum rehat separuh masa pertama, apabila sepakan sudut mencetuskan keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti Afrika Selatan.
Pemain Canada, Moise Bombito, melepaskan satu tandukan ke arah gawang namun berjaya dikeluarkan di atas garisan gol oleh pemain lawan, Aubrey Modiba, sebelum rembatan jarak dekat Tajon Buchanan pula terkena dada Williams.
Beberapa ketika kemudian, Richie Laryea dijatuhkan di dalam kotak penalti, menyebabkan pemain Canada merayu supaya diberi penalti.
Namun, keputusan untuk tidak memberikan sepakan penalti itu kekal selepas semakan video penolong pengadil (VAR) dilakukan, yang mengundang ejekan kuat daripada penyokong berbaju merah Canada yang memenuhi stadium.
Marsch terus membantah keputusan itu ketika kedua-dua pasukan berjalan keluar dari padang pada waktu rehat separuh masa pertama, sehinggakan Bombito terpaksa menenangkan dan menjauhkan jurulatihnya itu daripada pengadil.
Kekecewaan Canada semakin memuncak pada awal separuh masa kedua dengan Afrika Selatan kelihatan seakan-akan tidak terburu-buru untuk melancarkan serangan.
Canada meraih satu lagi peluang sejurus sebelum masa rehat hidrasi pada separuh masa kedua apabila rembatan Tani Oluwaseyi terkena penjaga gol.
Namun, Jonathan David gagal menanduk masuk bola tersebut hasil tindakan tangkas pemain pertahanan Afrika Selatan, Mbekezeli Mbokazi, yang berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Jaringan hebat Eustaquio pada penghujung masa kecederaan menamatkan segala kekecewaan Canada dan mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan penyokong mereka yang membanjiri stadium. – Reuters.
