Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cape Verde catat sejarah layak ke Piala Dunia

Negara terkecil kedua yang meraih kelayakan selepas Iceland dalam Piala Dunia 2018
Oct 14, 2025 | 3:32 PM
Cape Verde berjaya menempah tiket ke Piala Dunia 2026 selepas mengatasi Eswatini 3-0 di tempat sendiri. Ini merupakan kali pertama negara yang hanya mempunyai 550,000 penduduk itu layak ke Piala Dunia.
Cape Verde berjaya menempah tiket ke Piala Dunia 2026 selepas mengatasi Eswatini 3-0 di tempat sendiri. Ini merupakan kali pertama negara yang hanya mempunyai 550,000 penduduk itu layak ke Piala Dunia. - Foto GETTY IMAGES

PRAIA: Cape Verde menjadi negara kedua terkecil yang berjaya mara ke Piala Dunia selepas menewaskan Eswatini 3-0 di tempat sendiri.

Kemenangan itu memastikan skuad ‘Blue Sharks’, julukan bagi Cape Verde, menjuarai kumpulan kelayakan mereka dan menempah tempat ke Piala Dunia 2026 – menyingkirkan gergasi benua Afrika, Cameroon.

Dailon Livramento membuka jaringan untuk tuan rumah di Praia apabila pertahanan Eswatini gagal mengeluarkan hantaran Cape Verde ke dalam kotak penalti.

Livramento bertindak pantas dan menyempurnakan peluang tersebut pada awal babak kedua, sebelum Willy Semedo menambah gol kedua dengan tendangan voli tidak lama kemudian.

Pemain pertahanan veteran, Stopira, melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol ketiga pada masa kecederaan, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh di Stadium Negara di Praia yang boleh memuatkan 15,000 penonton.

Cape Verde, negara yang terdiri daripada 10 pulau di Lautan Atlantik, mempunyai penduduk kurang daripada 525,000 orang, menurut data terkini Bank Dunia.

Cape Verde mencapai kemerdekaan daripada Portugal pada 1975 dan kali pertama membuat percubaan untuk layak ke Piala Dunia pada edisi 2002 di Jepun dan Korea Selatan.

Dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) dalam beberapa tahun kebelakangan, pasukan itu sering menunjukkan prestasi membanggakan – mara ke suku akhir dalam penampilan sulung pada 2013 dan sekali lagi pada 2023.

Kini, mereka menduduki tangga ke-70 dunia dalam ranking dunia.

Iceland, yang beraksi dalam Piala Dunia 2018 di Russia, kekal sebagai satu-satunya negara dengan penduduk lebih kecil daripada Cape Verde, yang layak ke pertandingan sedunia itu.

Kemenangan 1-0 ke atas Cameroon pada September lalu di ibu negara menempatkan pasukan pulau itu di kedudukan teratas Kumpulan D.

Mereka hanya memerlukan satu kemenangan daripada baki dua perlawanan untuk mengesahkan tempat mereka di Piala Dunia yang bakal berlangsung di Canada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Mereka terlepas peluang pertama selepas seri 3-3 dengan Libya pada 8 Oktober lalu, walaupun mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol, serta menghadapi keputusan kontroversial apabila jaringan mereka pada masa kecederaan dibatalkan kerana ofsaid.

Namun kali ini, Cape Verde tidak mensia-siakan peluang kedua apabila menewaskan Eswatini yang masih tanpa kemenangan, sekali gus menjadi pasukan keenam dari Afrika yang menempah tiket ke Piala Dunia 2026.

Presiden Cape Verde, Encik Jose Maria Neves, turut hadir menyaksikan perlawanan di mana penyokong tuan rumah dilihat agak gelisah pada babak pertama, apabila percubaan Livramento tersasar dan Jamiro Monteiro dinafikan peluangnya oleh penjaga gawang Eswatini, Khanyakwezwe Shabalala.

Namun kegusaran itu beransur pergi apabila Livramento memecah kebuntuan tiga minit selepas babak kedua bermula.

Sorakan gembira penonton bergema sekali lagi apabila Semedo menolak masuk hantaran Diney.

Pertahanan tengah, Roberto ‘Pico’ Lopes, berkata peningkatan kuota Afrika ke Piala Dunia yang kini menjamin sembilan tempat dalam kejohanan 48 pasukan – berbanding lima pada edisi Qatar 2022 – amat membantu Cape Verde.

“Secara tradisinya, amat sukar untuk layak ke Piala Dunia, terutama di Afrika di mana anda perlu menamatkan saingan di tempat pertama kumpulan untuk berpeluang mara,” kata Lopes kepada agensi berita BBC sebelum perlawanan menentang Libya.

“Kali ini, jika anda muncul juara kumpulan, anda layak terus.

“Motivasi untuk kekal di tangga pertama sangat penting bagi kami,” ujarnya.

Sementara itu, Cameroon – juara Afcon lima kali – menanggung padah akibat prestasi hambar di tempat lawan sepanjang kempen yang bermula pada November 2023.

Pasukan ‘Indomitable Lions’ itu hanya seri dalam perlawanan menentang Libya, Angola dan Eswatini, dan kini perlu melalui pusingan ‘play-off’ benua Afrika serta antara konfederasi jika mahu meneruskan rekod lapan penampilan dalam Piala Dunia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg