Pasukan bola sepak Singa terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang India di perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027.
Ia sekaligus mematahkan hati Singa selepas mendahului sehingga minit ke-90 dan beraksi dengan kelebihan seorang pemain selama 45 minit di perlawanan yang berlangsung Stadium Negara pada 9 Oktober.
Ekoran kelalaian pertahanan Singa pada minit ke-90, gol penyerang India, Rahim Ali berjaya membatalkan jaringan Ikhsan Fandi pada minit ke-45.
Dengan keputusan seri itu, ia bermakna jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, gagal meraih kemenangan pertamanya bersama Singa di depan penyokong sendiri.
Ia mengekalkan pasukan Singa, yang nombor 158 dunia, di persada Kumpulan C, dengan lima mata daripada tiga perlawanan.
Sementara itu, India, pasukan ranking 134 dunia, juga kekal di tangga ketiga, dengan dua mata.
Dalam menguruskan perlawanan kompetitif pertamanya, Lee mengenakan formasi 4-2-3-1, sambil Singapura berusaha mengekalkan penguasaan bola dan melancarkan serangan balas pantas.
Ketika menamakan kesebelasan utama di depan penyokong sendiri buat julung kalinya, Lee mengatur barisan pemain yang seimbang, dengan Ikhsan Fandi menjadi tonggak serangan.
Beliau disokong Song UiYoung, Shawal Anuar dan Glenn Kweh di belakangnya.
Empat pemain pertahanan – Safuwan Baharudin, Hariss Harun, Ryhan Stewart, Shah Shahiran – diturunkan, manakala Kyoga Nakamura dan Harhys Stewart ditugas mengawal bahagian tengah padang.
Pendekatan seimbang itu melihat Singapura lebih banyak mengawal bola dan melakukan hantaran pendek untuk memulakan serangan.
Singa berjaya menguasai perlawanan namun, gagal melakukan serangan berbahaya pada awal separuh masa pertama.
Pada minit ke-27, Singa akhirnya mendapat percubaan tepat ke arah gol yang pertama melalui satu sepakan sudut.
Namun, tandukan Harhys gagal menguji penjaga gawang India, Gurpreet Singh Sandhu, yang menangkap kemas.
Pada minit ke-38, Nakamura melakukan satu hantaran leret berbahaya ke bahagian serangan, yang berjaya dikeluarkan pertahanan India.
Namun, pada masa kecederaan separuh masa pertama, Singa akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi jaringan Ikhsan.
Shawal memanfaatkan kesilapan pertahanan India yang gagal membaca hantaran lambung Hariss, sebelum menewaskan Gurpreet.
Beliau kemudian membuat hantaran kepada Ikhsan, yang mudah menyudahkan ke gawang kosong.
Separuh masa pertama berakhir dengan Singa mendahului 1-0.
Bermula babak kedua, Singa diberi suntikan apabila pemain pertahanan India, Sandesh Jhingan, dilayangkan kad kuning kedua apabila dipersalahkan kerana menampar Ikhsan.
Pengadil dari China, Shen Yinhao, tidak teragak-agak untuk mengarahkannya untuk keluar.
India meningkatkan tempo dengan terus mengasak pertahanan Singa, yang kerap melakukan kesilapan dalam hantaran mereka.
Singa akhirnya menemui rentak mereka dan pada minit ke-72, pemain gantian, Ilhan Fandi, mempunyai peluang keemasan apabila beliau berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gawang India, selepas menerima hantaran leret Harhys.
Beliau gagal mengawal ketenangannya dan merembat terus ke penjaga gawang.
Singa meneruskan momentum serangan dan hampir menggandakan jaringan melalui Ilhan, Harhys, dan Shawal.
Ilhan turut melakukan satu ‘backheel’ di luar kota penalti, yang menemui seorang lagi pemain gantian, Hami Syahin, namun rembatannya tersasar tinggi, pada minit ke-86.
Namun, ketika Singa hampir merasai kemanisan kemenangan, Jordan Emaviwe, melakukan satu hantaran ke belakang yang gagal menemui sebarang baju merah.
Penyerang India, Ali, pantas menyambar bola itu daripada Izwan yang sedang mengejarnya, dan menjaringkan gol dalam gawang kosong.
Dengan Singa terus mengasak untuk gol kemenangan, tonggak pertahanan Singa, Safuwan, terpaksa diusung keluar padang selepas bertembung dengan pemain India.
Singapura seterusnya akan ke Goa, India untuk perlawanan timbal balik di Stadium Jawaharlal Nehru pada 14 Oktober.
Dalam aksi lain Kumpulan C pada 9 Oktober, Hong Kong bertandang ke Bangladesh, dan perlawanan masih berlangsung ketika akhbar ini dicetak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg