KUALA LUMPUR: Badan bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), pada 6 Oktober telah mendedahkan sebab di sebalik penggantungan tujuh pemain yang telah dinaturalisasikan di Malaysia yang dilahirkan di luar negara.
Pendedahan itu turut membongkar ketidaktepatan besar dalam dokumen yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam surat yang dialamatkan kepada FAM dan tujuh pemain terbabit, Fifa berkata hasil siasatan mereka mendapati datuk dan nenek pemain-pemain tersebut sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda, dan bukan di Malaysia seperti yang didakwa.
Pendedahan itu menambahkan tekanan terhadap usaha Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia, menjelang perlawanan menentang Laos pada 9 Oktober, lapor The Straits Times.
Ketujuh-tujuh pemain itu kini tidak dibenarkan menyertai skuad itu akibat digantung.
Sebagai respons, FAM berkata ia akan meneruskan rayuan terhadap keputusan itu.
FAM turut mempertikaikan penemuan Fifa itu dan mendakwa ia tidak menggambarkan keadaan sebenar, serta menegaskan bahawa pemain-pemain tersebut adalah warganegara Malaysia yang sah.
“Jawatankuasa mendapati laporan siasatan menunjukkan terdapat perbezaan ketara antara sijil lahir asal dengan dokumen yang dikemukakan,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Fifa, Jorge Palacio, dalam keputusan yang disertakan bersama surat berkenaan.
Pada 26 September, Fifa turut mengenakan denda ke atas FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta atau sekitar $567,000), manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Aduan terhadap Malaysia dikemukakan selepas didakwa menggunakan dokumen yang telah “diubah suai” untuk mendaftarkan tujuh pemain itu bagi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun, yang dimenangi Malaysia 4-0.
Empat daripada tujuh pemain terbabit diturunkan dalam perlawanan tersebut.
Kemenangan itu merupakan yang pertama bagi Malaysia ke atas Vietnam dalam tempoh 10 tahun.
Namun, kini Malaysia berdepan kemungkinan keputusan perlawanan itu dibatalkan — sesuatu yang boleh memberi impak besar di peringkat serantau.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Cik Hannah Yeoh, dalam satu hantaran Facebook pada 7 Oktober, menyeru FAM agar segera menyelesaikan rayuannya, dan menegaskan rakyat Malaysia perlu terus menyokong pasukan kebangsaan menjelang perlawanan dengan Laos minggu ini.
“FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti memberi penjelasan terhadap segala pendedahan yang dibuat Fifa. Penyokong bola sepak tempatan berasa kecewa, marah dan terluka,” katanya.
Tujuh pemain terlibat:
Gabriel Felipe Arrocha,
Facundo Tomas Garces
Jon Irazabal Iraurgui
Hector Alejandro Hevel Serrano
Rodrigo Julian Holgado
Imanol Javier Machuca
Joao Vitor Brandao Figueiredo
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg