Topik diikuti
Pergi ke BHkuCape Verde lawan Argentina: Pentas ‘Cinderella’ cipta sejarah?
Cape Verde lawan Argentina: Pentas ‘Cinderella’ cipta sejarah?
Ramai pasti mahu pasukan dari negara kecil menang, namun sukar bayangkan juara bertahan tersingkir
Cape Verde lawan Argentina: Pentas ‘Cinderella’ cipta sejarah?
Cape Verde – sekumpulan 10 pulau di Lautan Atlantik berhampiran pesisir barat benua Afrika – telah mengejutkan dunia bola sepak dalam kempen Piala Dunia 2026 yang bersejarah.
Sebagai negara ketiga terkecil mengikut jumlah penduduk yang pernah layak ke kejohanan ini, penampilan sulung mereka amat luar biasa.
Kempen peringkat kumpulan tersebut menyaksikan skuad yang digelar The Blue Sharks itu berjaya mengikat juara Eropah, Sepanyol, tanpa jaringan, sebelum meneruskan momentum untuk mengikat bekas juara Piala Dunia, Uruguay.
Prestasi itu memacu mereka untuk melakar sejarah dengan menjadi negara yang paling kecil untuk melangkah ke peringkat kalah mati.
Menjelang 3 Julai (4 Julai waktu Singapura), mereka bakal berdepan ujian terbesar di Stadium Miami iaitu juara bertahan, Argentina.
Argentina telah membuktikan diri mereka sebagai kuasa yang digeruni dan juga dalam misi mencipta sejarah tersendiri – menjadi juara dunia berturut-turut yang pertama sejak 1962.
Mampukah Cape Verde melakar kejutan terbesar dalam kejohanan setakat ini?
Presiden negara itu, Jose Maria Neves, menaruhkan harapan yang tertinggi bahawa skuad itu mampu menewaskan Argentina 1-0, ujarnya dalam temu bual bersama BBC pada 30 Jun.
“Misi kami adalah untuk menang. Apabila sebuah pasukan dipandang rendah tetapi mereka mempunyai keazaman yang membara untuk menang, segala-galanya boleh berlaku.
“Negara sekecil Cape Verde perlu sentiasa memberi usaha sedemikian, untuk terus mencipta detik yang mengejutkan semua orang,” tambahnya.
Prestasi Cape Verde setakat ini mencerminkan semangat juang yang mendalam.
Anak didik pengurus, Pedro Leitao Brito, itu berjaya mengikat Sepanyol, Uruguay dan Arab Saudi untuk mengesahkan tempat mereka di peringkat 32 terakhir.
Tunjang utama mereka adalah taktik pertahanan yang kental, disiplin yang tinggi, serta kerja keras bermati-matian daripada setiap pemain.
Pemain pertahanan seperti Sidny Lopes Cabral berjaya menyekat bakat sensasi seperti Lamine Yamal.
Jika benteng itu ditembusi, penjaga gawang, Vozinha, pula muncul wira untuk menghalang serangan bahaya.
Penjaga gol berusia 40 tahun itu kali pertama mencuri tumpuan ramai menerusi ketangkasannya menghalang serangan bertubi-tubi oleh jentera serangan Sepanyol.
Meskipun pasukan The Blue Sharks itu berjaya mempamerkan semangat juang yang tinggi, tidak boleh dinafikan bahawa mereka perlu menggali segala kekuatan yang ada jika mahu menjinakkan Argentina.
Gergasi Amerika Selatan itu memulakan kempen mempertahankan gelaran Piala Dunia dengan bergaya, sekali gus mendahului Kumpulan J.
Tidak hairanlah, prestasi cemerlang itu dikemudi oleh wira mereka, Lionel Messi.
Beliau menjaringkan hatrik apabila menumpaskan Algeria 3-0, sebelum menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Austria.
Skuad yang digelar Albiceleste itu kemudian melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan menundukkan Jordan 3-1.
Cape Verde pasti akan meneruskan strategi mempertahankan gawang mereka sepanjang perlawanan, satu pendekatan berkesan yang menyaksikan mereka dibolosi hanya dua kali setakat ini.
Mereka boleh bergantung kepada bek tengah di Kelab La Liga Villareal, Logan Costa, untuk menjinakkan penyerang Argentina.
Namun, trio serangan Argentina – Messi, Lautaro Martinez dan Julian Alvarez – pastinya mempunyai mutu untuk menembusi benteng Cape Verde.
Gandingan pemain tengah seperti Alexis Mac Allister dan Enzo Fernandez turut memberi Argentina sentuhan kreatif tambahan untuk mengatur serangan mengikut situasi.
Sama seperti lawan mereka, Argentina turut mempunyai barisan pertahanan yang kebal, selepas hanya dibolosi sekali sepanjang kempen.
Oleh itu, penyerang Cape Verde seperti Dailon Livramento dan Ryan Mendes perlu menyempurnakan setiap peluang yang dihasilkan jika mahu mengatasi penjaga gawang, Emiliano Martinez.
Namun, keputusan pertembungan ini bakal meninggalkan perasaan bercampur baur.
Ramai yang pastinya mahu melihat Cape Verde meneruskan kempen luar biasa ini, namun agak sukar untuk membayangkan Argentina bakal tersingkir seawal peringkat ini.
Kalah atau menang, kempen luar biasa Cape Verde akan sentiasa terpahat dalam sejarah.
Ramalan wartawan: Argentina 3 Cape Verde 1
Jadual perlawanan peringkat 32 terakhir pada 4 Julai:
Australia lwn Mesir (2 pagi)
Argentina lwn Cape Verde (6 pagi)
Colombia lwn Ghana (9.30 pagi)
