Topic followed successfully
Go to BHkuPrestasi City makin kukuh, Arsenal pula mula goyah
Prestasi City makin kukuh, Arsenal pula mula goyah
Perlawanan pada 19 April dijangka jadi penentu utama dalam perebutan juara EPL
Prestasi City makin kukuh, Arsenal pula mula goyah
LONDON: Timbul soalan apakah reaksi Manchester City terhadap kekalahan mengejut Arsenal pada 11 April lalu di tangan Bournemouth?
Persoalan itu dijawab tegas oleh pasukan kendalian Pep Guardiola pada 12 April dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Chelsea yang membuka luas persaingan kejuaraan Liga Perdana England (EPL).
Ketika Arsenal semakin goyah, City pula semakin kukuh dan kini merapatkan jurang kepada enam mata dengan satu perlawanan dalam tangan, memberi tekanan kepada pesaing mereka dari utara London.
Arsenal mempunyai perlawanan Liga Juara-Juara Uefa (Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah) pada 15 April, tetapi tumpuan City kini terarah kepada pertemuan 19 April depan menentang pasukan Mikel Arteta (Arsenal).
City kini berada dalam prestasi terbaik, menjaringkan sembilan gol tanpa bolos menentang Arsenal, Liverpool dan Chelsea, serta memenangi Piala Carabao dan mara ke separuh akhir Piala FA.
“Kami telah melalui tiga perlawanan yang memuaskan, tetapi Arsenal masih pasukan terbaik di England dan di Eropah,” kata Guardiola.
“Data menunjukkan jelas ketekalan mereka. Kami akan membuat persiapan rapi minggu ini. Kami akan menyesuaikan diri selepas final Piala Carabao. Penentu sesebuah pasukan ialah cara mereka beraksi.”
Statistik menunjukkan April adalah bulan terbaik Guardiola dan paling mencabar bagi Arteta. Keputusan hujung minggu lalu menyokong fakta tersebut.
City pernah menjadi ‘pemburu’ dan selesa dalam peranan itu, sesuatu yang Arsenal amat fahami.
Pada musim 2022-2023, The Gunners menjadi pasukan yang paling lama, iaitu 248 hari, mendahului liga tanpa memenanginya.
Mereka mendahului lima mata selepas 32 perlawanan musim itu, tetapi City, dengan dua perlawanan dalam tangan, berjaya mengejar mereka.
Kekalahan Arsenal kepada Bournemouth mungkin memberi kesan besar, manakala City kini tanpa kalah dalam sembilan perlawanan liga dan hanya tewas sekali dalam 19 perlawanan.
“Manchester City kini mengambil kesempatan,” kata Gary Neville, bekas pemain pertahanan Manchester United, kepada Sky Sports.
“Mereka kini bersedia menghadapi pertembungan besar hujung minggu depan.”
Micah Richards, bekas pemain City, menambah pasukan itu perlu melakukannya.
Menurutnya, mereka lebih suka mengejar. Arsenal boleh mendahului 12 mata semalam, dan kini hanya enam mata.
“Kepercayaan penyokong tidak pernah goyah. Saya tidak mengatakan mereka akan menang, tetapi mereka telah memberi diri mereka peluang dan itu sahaja yang boleh mereka lakukan.”
Satu perkara yang mungkin memihak kepada Arsenal ialah jadual baki perlawanan.
Walaupun perlawanan pada 19 April kekal sebagai tumpuan utama, baki lima perlawanan Arsenal adalah menentang pasukan di separuh bawah liga.
City pula perlu menentang Everton dan Brentford yang mengejar tempat Eropah, selain menamatkan musim di padang sendiri menentang pencabar Liga Juara-Juara, Aston Villa.
Adakah segalanya bergantung pada hujung minggu depan bagi Manchester City?
“Jika Arsenal mengalahkan kami, semuanya tamat. Jika seri pun sama,” kata Guardiola.
Jika City berjaya menang dan terus merapatkan jurang, mereka sebenarnya bakal berada di puncak liga apabila Arsenal seterusnya bermain di Stadium Emirates.
City akan bertandang ke Burnley untuk perlawanan dalam tangan mereka pada 22 April.
Kemenangan dalam perlawanan itu akan membawa mereka ke puncak dengan lima perlawanan berbaki.
Guardiola melakukan rombakan skuad musim panas lalu dengan melepaskan pemain berpengalaman termasuk Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan, Kyle Walker dan Ederson.
Gianluigi Donnarumma dan Rayan Cherki dibawa masuk, diikuti Marc Guehi dan Antoine Semenyo pada Januari. Semua pemain itu berusia 26 tahun ke bawah dan memulakan aksi pada 19 April.
Ini menjadikan skuad City agak muda, namun ia mampu menyahut cabaran dan mampu berada di landasan meraih tiga trofi utama dalam pertandingan tempatan dalam satu musim selepas memenangi Piala Carabao.
Kapten Bernardo Silva telah bersama Guardiola sepanjang perjalanan dan memimpin pasukan tanpa mementingkan diri, manakala pemain tengah, Rodri, mula menunjukkan prestasi yang memenangkannya Ballon d’Or 2024, selepas lama diketepikan akibat kecederaan.
Erling Haaland kekal penjaring terbanyak liga dengan 22 gol, tetapi musimnya agak tidak seimbang.
Penyerang Norway itu menjaringkan 19 gol dalam 17 perlawanan awal, tetapi hanya tiga dalam 13 perlawanan seterusnya, membuktikan City tidak terlalu bergantung kepada pemain berusia 25 tahun itu.
Kegagalan City dalam Liga Juara-Juara bermakna mereka mempunyai seminggu rehat sebelum menentang Arsenal, yang perlu berdepan gangguan suku akhir kedua menentang Sporting CP. – Agensi berita.

